20 ambulans perubatan sudah mula beroperasi sepenuhnya

Mekah, 9 Jun (IKIM) – Sebanyak 20 buah ambulans milik pasukan perubatan Tabung Haji (TH) telah beroperasi sepenuhnya selepas menerima permit daripada kerajaan Arab Saudi bagi membawa pesakit dari maktab ke pusat perubatan.

 

Penyelia Masyair, Muhamad Romzi Husain, setakat ini tempoh tindak balas yang diambil kurang daripada 10 minit berdasarkan keadaan dan jalan yang lancar.

 

Katanya, keadaan mungkin berubah apabila semakin ramai jemaah membanjiri Mekah dan ketika itu dijangka jalan mulai sesak dengan kenderaan dengan sebahagiannya akan ditutup atas sebab tertentu.

 

“Kita menggunakan strategi menempatkan sebuah ambulans bagi setiap maktab di empat zon dan ia terbukti dapat memendekkan tempoh perjalanan atau ‘respond time’ untuk membawa pesakit ke pusat perubatan atau hospital Arab Saudi.

 

“Setiap ambulans telah dilengkapi dengan peralatan kecemasan dan ia membolehkan kita memperoleh permit untuk beroperasi selepas menjalani pemeriksaan di Jeddah,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Syisyah di sini baru-baru ini.

 

Menurut Muhamad Romzi, selepas mendapat permit, ambulans itu akan dibahagikan setiap empat zon dan maktab di Mekah serta Madinah.

 

Tambahnya, pihaknya juga sedang berbincang untuk menempatkan ambulans di beberapa hotspot menjelang operasi masyair dan segalanya akan digerakkan sebaik mendapat permit di Arafah, Mina dan Muzdalifah.

 

“Lokasi itu akan diketahui menjelang masyair kelak. Tabung Haji sedang berbincang dengan Arab Saudi bagi mendapatkan permit untuk operasi di Arafah, Mina dan Muzdalifah,” katanya.

\"\"

Ujar Muhamad Romzi, kelengkapan di dalam ambulans di sini sama seperti yang ada di Malaysia seperti katil, mesin ventilator, monitor, tabung gas dan sebagainya.

\"\"

\"\"

NORHAYATI PARADI

Pusat Perubatan Syisya TH, Mekah

Scroll to Top