MENTERI AGAMA UCAP SELAMAT JALAN KEPADA JEMAAH HAJI

\"\"

SEPANG, 6 Jun 2023 (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ,YB Senator Dato\’ Setia Dr. Haji Mohd Na\’im bin Haji Mokhtar hadir mengucapkan selamat jalan kepada bakal-bakal haji di Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1444H/2023M yang bertempat di Kompleks Haji, Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang pada hari Khamis lepas, 1 Jun 2023.

Kumpulan bakal haji seramai 357 orang telah berlepas ke Tanah Suci Madinah menerusi penerbangan SV 5669 pada jam 5.35 petang dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah sekitar jam 9.15 malam waktu Arab Saudi.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im turut mengucapkan tahniah dan memberi kata-kata semangat serta mendoakan agar semua bakal haji Malaysia diberikan keselamatan dan dapat menjalani ibadat haji dengan baik sepanjang di Tanah Suci. 

Dalam sesi ucapan beliau berkata, “Semasa musim haji, jutaan umat Islam pelbagai negara akan berada di Tanah Suci. Keadaan sesak dan cuaca yang panas ini pastinya memberi cabaran besar kepada para jemaah haji. Oleh itu semua jemaah haji perlu sentiasa bersabar dan bersikap toleransi sesama jemaah haji yang datang dari pelbagai jenis negara yang berbeza bangsa, adat resam dan warna kulit”.

“Para jemaah juga disarankan untuk terus menjaga kebersihan serta kesihatan diri dan sentiasa mengikut panduan kesihatan yang diberikan oleh TH dan Kementerian Kesihatan,” Tambah beliau semasa memberi ucapan dalam Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1444H/2023M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Tuan Syed Hamadah Syed Othman turut mendoakan semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan tenang dan sempurna serta pulang dengan haji yang mabrur.

“TH berharap jemaah haji Malaysia dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji seperti yang telah dipelajari semasa kursus-kursus anjuran TH,” tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata pihak TH juga amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah bersetuju meneruskan perkhidmatan ‘Makkah Route’ untuk memudahkan proses pemeriksaan Imigresen dan Kastam di KLIA.

“Projek ‘Makkah Route’ iaitu pemeriksaan imigresen serta Kastam Arab Saudi ini juga masih diteruskan pada tahun ini bagi memudahkan proses bakal jemaah haji kita yang kini tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh terus menaiki bas ke hotel penginapan masing-masing,” kata beliau. 

Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 98 penerbangan sewa khas haji disediakan menerusi Malaysia Airlines serta Saudia Airlines bermula pada 20 Mei 2023 sehingga 21 Jun 2023, membawa seramai 31,600 bakal haji negara ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam ke-lima.

\"\"
Scroll to Top