TIDAK dinamakan kehidupan andai kita tidak diuji. Ujian adalah satu proses yang dapat mematangkan kita. Namun, bagaimana kita sentiasa melihat positif dan perkara baik setiap kali ujian melanda, itulah sebenarnya kemenangan bila kita faham hakikat ujian yang sebenar.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman memulakan segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu dengan membacakan Surah Al-Kauthar.. Satu surah yang paling ringkas di dalam Al-Quran, tetapi surah yang paling tinggi motivasi buat Rasulullah SAW. Sehinggakan Nabi SAW pernah berkata “Telah turun kepadaku, satu surah yang sangat memberikan kepadaku kekuatan”. Dalam Tafsir Ibnu Katsir menyatakan, bahawa Nabi SAW telah mengukirkan senyuman bila Nabi SAW menerangkan surah yang diturunkan ini kepadanya.
Apabila turun sahaja wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi SAW, Baginda terus menyampaikan kepada para sahabat Baginda. Para sahabat sentiasa melihat setiap wahyu yang diturunkan kepada Baginda adalah sesuatu yang penting tanpa perlu dimaklumkan mengenai kepentingannya.
Kita perlu tahu apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW ketika surah ini diturunkan. Para ulama’ berbeza pendapat, namun pendapat yang paling kuat mengatakan ia ada kaitan dengan satu peristiwa yang menyayat hati Rasulullah SAW. Nabi SAW mengukir senyuman bukan ketika Nabi SAW dalam keadaan senang, kerana apabila kita menyebut tentang surah yang diturunkan di Makkah ini, sudah semestinya kita dapat membayangkan bagaimana keadaan Nabi SAW ketika itu.
Satu musibah yang paling besar telah berlaku sepanjang 23 tahun perjuangan Rasulullah SAW atau secara khususnya 13 tahun dakwah Baginda di Makkah adalah kewafatan anak baginda yang pada waktu itu masih lagi bayi. Nabi SAW mungkin berhasrat pada satu hari nanti, kepimpinan Baginda akan diwarisi oleh anak lelaki. Naum Allah SWT berkehendak kepada Nabi SAW tidak mempunyai anak lelaki. Nabi SAW yang tidak mengetahui perancangan Allah SWT ini telah berduka dengan peristiwa ini.
Dalam pada itu, ketika Nabi SAW diuji dengan musibah tersebut, Abu Lahab yang Allah SWT turut menceritakan tentangnya di dalam al-Quran bagi menggambarkan tentang perangai dan sikap Abu Lahab ini telah meuar-uarkan kepada orang ramai tentang kewafatan anakanda Rasulullah SAW dengan berkata “Muhammad telah terputus zuriat dan nama Muhammad telah terputus”. Nabi SAW yang sedang berduka ditambah lagi dengan kedukaan ekoran kata-kata kesat Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri lalu surah ini diturunkan ditengah-tengah kedukaan yang menimpa Rasulullah SAW.
Tepat sekali surah ini turun dalam keadaan Rasulullah SAW sedang berduka. Ustaz kemudian menceritakan ayat 1 surah al-Kauthar iniyang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Ayat ini mengajar kita, betapa perancangan Allah SWT begitu misteri dan kita kena berfikiran positif atas apa yang berlaku. Sekalipun terdapat ujian yang melanda kita dan kita kehilangan sesuatu yang kita sayang, namun jangan kita lupa dengan pelbagai lagi nikmat yang telah kita miliki dan apa yang akan Allah SWT berikan nanti. Surah ini juga mengajar kita, sekalipun kita kehilangan sesuatu namun kita harus ingat akan perancangan Allah SWT yang tidak kita ketahui. Dalam ayat ini juga Allah SWT menyebut dengan perkataan kebaikan yang banyak yang mana pelbagai lagi nikmat yang akan kita terima daripada ujian dan kehilangan yang satu.
Para ulama turut mentafsirkan al-Kauthar ini dengan sebatang sungai yang dikurniakan kepada Mabi Muhammad SAW di syurga nanti. Juga ada yang berpendapat ia adalah kemenangan buat Rasulullah SAW ketika di padang Mahsyar nanti. Menggambarkan tempat terpuji buat Baginda memberikan syafaatnya kepada kita. Selain itu, ulama juga berpendapat bahawa al-kautsar ketika di dunia ialah kemenangan ke atas Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah. Surah al-Kauthar ini hadir selepas surah al-Maa’uun yang mana Allah SWT menceritakan tentang kegagalan pemimpin Makkah pada ketika itu. Maka, apabila Quraisy telah tidak layak memimpin Kota Makkah, maka disinilah Allah SWT datangkan al-Kauthar iaitu kemenangan kepada Nabi Muhammad SAW untuk membuka Kota Makkah.
Sebagai seorang mukmin, kemenangan kita adalah bebas daripada belenggu dan penjajahan syaitan di dalam diri kita. Surah al-Kauthar mengajar kita setelah kemenangan kita berjaya miliki, jangan sesekali kita lupa untuk solat kepada Allah SWT agar kemenangan kita kekal dan bererti.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 September 2016