INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA TANDATANGAN MoU BERSAMA YAYASAN RESTU

Kuala Lumpur, 6 Nov 2023 (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Restu hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai usaha untuk merapatkan lagi ruang kerjasama antara IKIM dan Yayasan Restu dalam memartabatkan Al-Quran di Malaysia.

Memorandum tersebut ditandatangani Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Mohamed Azam berkata, pemeteraian persefahaman itu merupakan kerjasama di antara IKIM, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran dalam usaha menterjemah audio Al-Quran ke dalam bahasa Melayu dan ini amatlah besar nilainya dan selari dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh IKIM selama ini, justeru dalam hal ini Yayasan Restu dan Nasyrul Quran merupakan pilihan tepat untuk menterjemahkan usaha-usaha IKIM ini.

“Memorandum ini juga secara tidak langsung membantu menjalinkan kerjasama strategik dan mantap yang merupakan langkah penting dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan Al-Quran di kalangan rakyat Malaysia.”

“Kerjasama MoU antara IKIM dan Yayasan Restu serta Nasyrul Quran dalam menterjemah audio Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu akan menjadi satu perkara penting yang akan dikenang dan pastinya akan meninggalkan kesan berpanjangan dalam dunia Islam dan masyarakat Malaysia khasnya.”

“Al-Quran adalah sumber kebijaksanaan dan panduan hidup bagi umat Islam, dengan projek terjemahan audio Al-Quran dalam bahasa Melayu, diharap akan memberi manfaat yang lebih besar kepada pengguna serta pendengar radio IKIM untuk mendekatkan diri dan seterusnya membudayakan al-Quran dalam kehidupan.”

Mohamed Azam berkata pihak IKIM juga berhasrat dan bercita-cita untuk menjadikan Al-Quran lebih terbuka dan relevan kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.

Pada majlis tersebut juga diadakan Forum Bicara Ad_din bertajuk “Di Bawan Lindungan Rahmat Al-Quran” bersama ahli panel Datuk Abdul Latiff Mirasa, Datuk Dr. Hj Zahazan Mohamed (Pengarah Urusan Telaga Biru)  dan penyampai Warna Pagi Radio IKIM Suffian Amrin sebagai moderator.

Hadir sama dalam majlis ini Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail; Pengarah Pusat Media IKIM, Hj. Fuad Mohd Ali dan Mudir Nasyrul Quran, Sheikh Abdullah Sobhi.

WhatsApp
Scroll to Top