MAJLIS PELEPASAN KONVOI KEMBARA ZAKAT JAWHAR 2023

Kuala Lumpur, 7 November 2023 (IKIM) – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) mengadakan Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023 di ibu pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) di ibu negara hari ini.

Konvoi dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Nai’im bin Haji Mokhtar.

Mohd Na’im berkata objektif program ini adalah bagi mengukuhkan kerjasama antara JAWHAR, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat sebagai entiti yang diberikan amanah untuk menguruskan zakat.

“Objektif kedua program ini adalah bagi memberikan penjelasan kepada masyarakat peranan JAWHAR dan MAIN berkaitan zakat dan objektif ketiga memberi galakan kepada peserta-peserta konvoi dalam memberi pencerahan kepentingan zakat kepada masyarakat.”

“Saya juga mendoakan semoga peserta-peserta konvoi berhati-hati semasa memandu memandangkan cuaca hujan dan semoga mereka selamat sampai ke destinasi di negeri jelapang padi.

Konvoi Kembara Zakat ini merupakan program tahunan yang dianjurkan JAWHAR sejak tahun 2012 dan tema yang dipilih pada tahun ini adalah Al-Barakah di Jelapang Padi, melibatkan wakil-wakil pelbagai agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri seramai 155 orang peserta dan 43 buah kenderaan.

Scroll to Top