CETAKAN SENASKHAH AL-QURAN HANYA RM38, BUKAN RM500 – MOHD NA’IM

Kuala Lumpur, 7 Nov (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar berkata kos cetakan senaskhah Al-Quran bagi operasi mencetak sejuta Al-Quran hanya RM38 dan bukannya RM500 seperti didakwa Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad.

Mohd Na’im berkata kos RM38 itu adalah merangkumi kos mencetak, penghantaran serta pengagihan, manakala peruntukan RM10 juta akan digunakan untuk mencetak 265,000 naskhah Al-Quran.

“Jadi dengan RM38 pengiraan saya dalam RM10 juta itu, ada 265,000 insya-Allah pada tahun 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelepasan Konvoi Kembara Zakat 2023, di ibu pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, sehingga kini sebanyak 96,000 naskhah Al-Quran sudah diagihkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, Khmer dan Sweden.

“Sekarang ini kita sudah agihkan 70,000 cetakan dalam bahasa Inggeris, 20,000 Mandarin, 5,000 Khmer dan 1,000 Sweden,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan operasi mewakafkan satu juta naskhah Al-Quran.

“Kita harapkan dengan berwakaf Al-Quran ini dapat menarik minat orang yang bukan beragama Islam untuk mendalami agama Islam,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober, mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk disalurkan kepada Yayasan Restu bagi operasi mencetak terjemahan Al-Quran dalam bahasa asing utama dunia.

Scroll to Top