ISLAM meletakkan ikatan hubungan ukhwah yang terjalin diantara manusia bukan hanya dihubungkan oleh ikatan sesama nasab atau kemanusiaan semata-mata tetapi lebih jauh dari itu iaitu hubungan yang berlandaskan ikatan Islamiah. Dalam erti kata lain ukhwah yang terjalin adalah bermatlamatkan kerana Allah SWT. Justeru, setiap hubungan yang berlaku, kasih sayang yang terjalin dan ikatan yang dibina adalah kerana Allah SWT.
Menerusi Rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Rabu, Ustaz Hj Firdaus Hj Subhi berkata dalam hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud “Terdapat tiga perkara yang barangsiapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman). Pertama, menjadikan Allah dan Rasul paling disayangi dan dicintai berbanding dari keduanya. Kedua, menyayangi seseorang manusia kerana Allah SWT dan ketiga, membenci kekufuran sebagaimana membenci dirinya jika dimasukkan di dalam neraka” (HR Bukhari & Muslim)
Sesungguhnya, ukhuwah Islamiah terbina bukan kerana ada ikatan nasab yang serupa atau keturunan yang sama, tetapi ikatan itu terjalin kerana kasih sayang sesama manusia berlandaskan kepada hubungan islamiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, setiap ikatan yang berlandaskan kepada cinta Allah SWT akan mendatangkan kemanisan iman dalam setiap ikatan dan hubungan yang terjalin. Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Hujurat ayat 10, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
Menariknya agama Islam adalah kerana ajaran agama itu sendiri yang tidak mengenal siapa penganutnya tetapi boleh merapatkan jalinan hubungan sesama manusia. Sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah cara untuk memanjangkan ukhwah adalah dengan memberi salam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu belumlah beriman sebelum saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang menyayangi ? iaitu sebarluaskanlah salam diantara kamu sekalian ’’.( HR Muslim)
Mengapa Nabi mengajar umatnya menyebarkan salam? Salam itu sendiri yang membawa makna ‘salam sejahtera’ merupakan doa untuk memberi kedamaian kepada seseorang yang barangkali berada dalam kondisi yang tidak baik dan sebagainya. Ini kerana salam itu boleh juga menjadi doa buat orang lain. Salam juga boleh bertindak memulihkan hubungan yang keruh, dengan salam juga dapat membina semula semangat dan mahabbah sesama manusia.
Ukhwah menurut ulama adalah satu ikatan yang amat kukuh dan kuat sesama manusia. Ukhwah tidak hanya terikat kerana pertalian persaudaraan sahaja tetapi kerana agama Islam, umatnya ibarat seperti bersaudara melangkaui keturunan, fahaman dan bangsa.
Dalam surah al-Anfal ayat 63, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana”.
Dari ayat ini, seseorang mukmin itu sendiri perlu mencari cara dan jalan untuk membina ukhwah sesama manusia dengan berpandukan dari apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Namun sesungguhnya amat manis dan indah jika ukhwah yang dilandaskan atas dasar rasa kasih sayang kerana Allah. Waima jika terluka sekalipun, namun jika ikhlas dalam berhubungan sesama insan, Allah akan menghadiahkan ketenangan, rahmat dan kebaikan dalam setiap ujian dan kesabaran dalam berukhwah.
Sesungguhnya ikatan atau ukhuwah sesama insan pastinya akan membawa rahmat dalam setiap sudut kehidupan. Malah juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, sesiapa yang mahu usianya panjang, hendaklah memanjangkan ukhwah sesama manusia. Rasulullah SAW pernah juga marah kepada para sahabat baginda iaitu kabilah Aus dan Khazraj yang bermusuh dan memutus hubungan ketika berlaku perselisihan. Baginda memarahi mereka “Apakah dakwah seruan jahiliah yang kamu semua ingin cari?, sedangkan aku ini berada di hadapan kamu semua wahai saudaraku”. Baginda mengingatkan mereka akan permusuhan yang pernah berlaku sebelum ini, tetapi atas rahmat dan kasih sayang Allah SWT kedua kabilah itu bersatu.
Islam melarang permusuhan, perbalahan diantara sesama umat kerana pergaduhan itu antara petanda Islam akan menjadi lemah. Pergaduhan hanya akan menjauhkan manusia dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Orang yang menjaga Allah akan mendapat keizzahan (kemuliaan) dariNya dan begitu juga orang yang menjaga sesama manusia akan mendapat kekuatan kepada Islam itu sendiri. Namun orang yang hanya menjaga Allah tetapi tidak memelihara sesama manusia bererti tidak memelihara agama yang akhirnya hanya akan melemahkan kesatuan, perpaduan dan keutuhan agama Islam itu sendiri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 September 2017