Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Ahmad Ibn Hanbal (Bhgn 2)

IMAM as-Syafie perna megakui kehebatan Imam Ahmad Ibn Hanbal dengan pujiannya “aku keluar dari Baghdad, maka aku tidak tinggalkan di situ seorang lelaki pun yang paling baik, berilmu, paling dalam ilmu feqah dan bertaqwa melainkan Imam Ahmad Ibn Hanbal. Ini pengakuan daripada seorang guru and beliau bukan insan biasa, Imam as-Syafie sendiri mengakui kehebatan Imam Ahmad. Imam Ibrahim al-Harrani katakan “aku meihat Abu Abdillah (Imam Ahmad) seolah-olah Allah SWT telah mengumpulkan ilmu orang-orang terdahulu dan terkemudian pada diri Imam Ahmad.

Ustaz Muhadir Hj Joll menyambung kisah mengenai Imam Ahmad Ibn Hanbal menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran setiap Isnin, 5.15 petang di IKIMfm.

Seorang ulama hadith, Ishak ibn Rahuyah mengatakan “Imam Ahmad adalah hujah di antara Allah SWT dengan makhluk-makhluknya”. Abu Ubaid juga pernah katakan “sesungguhnya, aku cukup dengan menyebut Imam Ahmad dalam hujahku kerana tidak pernah aku melihat seseorang yang paling alim dalam ilmu hadith daripada Imam Ahmad.” Seorang ulama hadith yang lain, al-Imam Yahya ibn Ma’iin menyebut “kalaulah kita duduk raamai-ramai dalam majlis kita untuk memuji Imam Ahmad, pasti kita tidak dapat menyebut keutamaan-keutamaannya secara keseluruhan kerana kehebatan Imam Aahmad sangat banyak.”

Sheikh Nasar ibn Ali al-Jahdami pernah katakan “Imam Ahmad adalah orang yang terbaik pada zamannya.” Ibnu Khuzaimah katakan “aku mendengar Ibn Sahtuyah berkata : Allah SWT telah mengasihinya dengan kesabarannya di atas dunia dan atas akhlaknya ke atas orang-orang yang terdahulu serta teladannya terhadap orang-orang yang soleh.” Telah dibentangkan kepada Imam Ahmad kemewahan dan kesenangan dunia, namun tidak dihiraukannya. Malah yang dilihatnya adalah akhirat, zuhud, sabar dan warak. Muhammad ibn Yahya al-Zuhali katakan “aku jadikan Imam Ahmad sebagai Imam di antaraku dengan Allah SWT. Imam an-Nasaie katakan “Imam Ahmad telah mengumpulkan makrifah, hadith, ilmu feqah, warak, zuhud dan sabar di dalam dirinya”. Ini merupakan satu pujian daripada seorang ulama besar kepada seorang ulama besar yang lain.

Sheikh Ismail ibn al-Khalil pernah katakan “sekiranya Imam Ahmad hidup di zaman Bani Israel, nescaya beliau akan menjadi tanda kekuasaan Allah SWT.” Allah SWT boleh menzahirkan seseorang yang sangat warak, zuhud, punyai ilmu menjadi contoh dan teladan kepada orang lain dan melihatnya membuatkan kita mengingati Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “ulama umatku adalah seperti para nabi di zaman Bani Israel.” Al-Hassan al-Karabisi pernah katakan “perumpaan orang-orang yang mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada Imam Ahmad, orang ini adalah seperti orang yang pergi ke bukit Abi Qubais di Makkah yang ingin meruntuhkannya dengan selipar-selipar mereka.” Ini suatu perara yang mustahil kerana keunggulan dan ketokohan beliau memadakan perkataan buruk orang terdahap beliau.

Imam az-Zahabi merangkumkan mengenai Imam Ahmad, kata beliau “Imam Ahmad adalah seorang yang sangat hebat serta menjadi rujukan tertinggi dalam ilmu hadith, feqah dan ilmu ketuhanan. Musuh-musuhnya sahaja memuji beliau sangat hebat, inikan pula kawan-kawan dan sahabat-sahabatnya.” Antara akhlak mulia yang boleh kita pelajari daripada Imam Ahmad, beliau sekiranya menasihati, beliau tidak akan menasihati secara terang-terangan di khalayak orang ramai. Imam Harun ibn Abdullah katakan “pada satu malam, Imam Ahmad ibn Hanbal datang kepadaku, lalu aku bertanya mengenai hajat beliau. Imam Ahmad lalu menjawab dengan suara yang tenang dan perlahan, sesungguhnya sikapmu siang tadi telah mengusik perasaanku. Imam Harun kemudian bertanya apakah yang mengusik perasaan Imam Ahmad. Imam Ahmad menyambung dengan penuh sopan : pada siang tadi aku telah berjalan melalui majlismu. Lalu aku lihat engkau sedang duduk di bawah teduhan baying-bayang pokok sedangkan murid-muridmu duduk di bawah terik cahaya matahari. Jadi aku megharap engkau tidak akan mengulanginya lagi. Jika engkau mengajar, duduklah sepertimana murid-muridmmu duduk.”

Imam Ahmad tidak suka kepada kemasyhuran. Beliau pernah katakan “aku ingin diam di tempat terpencil di Makkah supaya aku tidak dikenali. Aku telah diuji dengan kemasyhuran. Aku sesungguhnya inginkan kematian pada waktu pagi dan petang.” Beliau ingatkan dirinya tentang mati agar dirinya tidak lalai dengan kemasyhuran. Fatah ibn Nuh mengatakan “aku mendengar Imam Ahmad katakan : aku inginkan supaya sesuatu yang ada ini tidak ada (kemasyhuran), aku inginkan sebuah tempat yang tidak ada manusia padanya supaya boleh menyendiri beribadah kepada Allah SWT.” Betapa beiau tidak mahukan kemasyhuran.

Imam Ahmad ibn Hanbal pernah menangis. Satu ketika saat beliau membeli barang di pasar, beliau memegang barang-barang yang telah dibeli dengan kedua-dua tangannya. Apabila orang ramai menyedari itu adalah Imam Ahmad, maka orang ramai menyerbu datang menghampiri beliau bersalaman dan mencium tangan beliau. Ada yang memuji dan memuliakan beliau dengan ucapan yang tinggi. Imam Ahmad ibn Hanbal kemudian menangis diangkat-angkat sebegitu. Ternyata beliau tidak leka dengan pujian sebegitu malah beliau menangis di hadapan ramai dengan berkata “kami adalah kaum yang miskin. Kalaulah tidak kerana Allah SWT yang menutup keaiban kami, nescaya akan terbukalah keaiban kami. Kalaulah kamu tahu dosa yang aku miliki, nescaya kamu akan letakkan tanah di atas kepalaku.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 September 2017
\"\"
Scroll to Top