Mukmin Sebenar

RASULULLAH SAW berpesan kepada umat manusia bahawa sesungguhnya orang yang paling cerdik di kalangan manusia ialah mereka yang mempersiapkan dirinya untuk saat apabila kembali menghadap Allah SWT dan orang yang paling bodoh ialah mereka yang melayan hawa nafsunya ketika hidup di atas dunia dahulu kemudian meletakkan angan-angannya kepada Allah. Ada tiga kelompok manusia yang diciptakan Allah iaitu orang mukmin, orang kafir dan di kalangan orang yang munafik. Sesungguhnya apabila kita tergolong di kalangan orang mukmin, pada hakikatnya Allah sedang memberi peluang agar dapat menikmati ganjaran syurga.

Allah SWT mengajar manusia agar memastikan diri tergolong di kalangan orang mukmin yang sebenarnya memerlukan kekuatan kerana mereka akan menghadapi pelbagai ujian. Ujian yang dihadapi datang dengan dua keadaan iaitu di dalam bentuk fitnah atau musibah. Selain itu ujian juga datang di dalam bentuk ketakutan ketika menjalani kehidupan di atas muka bumi ini yang akan menguji tahap keimanan dan mereka yang tidak beriman akan mencari tempat untuk bergantung selain daripada Allah SWT. Mereka yang tidak memiliki ciri-ciri orang mukmin akan cenderung untuk tergolong di kalangan orang munafik yang merupakan keadaan yang sangat digeruni. Rasa takut seharusnya membawa manusia kembali kepada Allah dan jangan sekali-kali bergantung kepada makhluk.

Ibrah yang wajar diambil disebalik peristiwa ketika Nabi Ibrahim AS sewaktu Baginda akan dicampakkan ke dalam api, datangnya rasa takut menyelubungi Baginda. Pada ketika itu datang malaikat Jibril dan berkata kepada Baginda, “Wahai Ibrahim, apakah bantuan yang kamu perlukan daripadaku?” Baginda menjawab, “Adapun kalau kamu, maka aku tidak memerlukannya. Tetapi kalaulah aku bergantung kepada Allah, maka aku amat memerlukannya.” Lalu menyebut, “Cukuplah Allah sebagai pelindung, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan kehendak Allah”. Manusia yang beriman akan memiliki keyakinan yang kuat kepada Allah SWT.

Salah satu tanda kekuatan iman yang didapati di kalangan orang mukmin ialah mereka sentiasa menjaga Allah di dalam hidupnya. Sesungguhnya mereka yang menjaga Allah, akan sentiasa dipelihara dan dilindungi Allah. Oleh itu apabila mempunyai sebarang hajat, maka mintalah daripada Allah dan pohonlah pertolongan daripada-Nya.

Selain itu, orang mukmin akan turut diuji dengan ujian kelaparan yang mampu menggoncang keyakinan mereka. Kebanyakan daripada orang yang lapar tidak akan mempedulikan perihal halal dan haram selagi mana ia mampu memuaskan nafsu laparnya, termasuklah amalan memakan rasuah, melakukan khianat kepada keluarga mereka sendiri dan mendorong sifat tamak. Tetapi mereka yang beriman akan mampu mengawal perasaan lapar dengan sebaik mungkin. Ujian lain yang akan dihadapi juga termasuk apabila manusia dilanda kekurangan harta benda yang akan menyebabkan mendorong berlakunya kecurian dan khianat kepada orang lain serta perkara yang dilarang di dalam agama. Dan sudah tentunya mukmin yang sebenar, tidak akan melakukan perkara-perkara sekeji itu.

Setiap mukmin juga akan menghadapi ujian dengan kehilangan insan yang disayangi di dalam hidup mereka. Kematian keluarga dan insan tersayang adalah ujian kepada mereka yang masih hidup kerana ramai di kalangan manusia yang tuduh-menuduh dan menyalahkan orang lain, malah ada yang tidak mampu menghadapi ujian kehilangan ini. Pada ketika inilah setiap manusia memerlukan iman yang kuat dan tidak harus tergolong di kalangan mukmin yang hanya ala-kadar dan merosakkan orang lain. Misalnya apabila berlakunya kematian ibu bapa  yang meninggalkan harta, maka akan tercetusnya perbalahan di kalangan anak-anaknya sehingga akhirnya tidak bertegur sapa di antara satu sama lain.

Ujian lain termasuklah berlakunya kekurangan buah-buahan di dalam hidup orang mukmin atau memberi maksud kurangnya pendapatan sampingan. Tetapi mereka yang menghadapi ujian ini dengan penuh kesabaran dengan menyebut, “Kita datang daripada Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”

Untuk menjadi mukmin yang sebenar memerlukan kepada keyakinan yang tinggi kepada Allah dan juga pada Hari Akhirat. Mereka yakin kepada perkara-perkara ghaib yang mempunyai dalil iaitu kehidupan di Padang Mahsyar, alam barzakh dan titian sirat. Tetapi hakikatnya manusia lebih mempercayai perkara ghaib yang tidak mempunyai dalil termasuklah hantu dan perkara tahyul, walaupun sentiasa diingatkan agar mereka beriman kepada Allah. Jadilah mukmin yang sebenar dengan menambah keyakinan kepada Allah di dalam segenap perjalanan hidup termasuklah kehidupan selepas berlakunya kematian.

Yakinlah kepada Allah dengan hanya menerima Islam sebagai cara hidup dan elakkan diri dengan bergantung kepada tangkal dan azimat serta fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada jalan Allah kerana pada akhir kehidupan kelak apabila kembali menghadap di hadapan Allah, mereka akan dibebani dengan penyesalan yang amat berat. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan tentunya segala yang buruk itu datangnya daripada diri manusia itu sendiri.

Tanda kedua yang menunjukkan manusia itu tergolong di kalangan mukmin sebenar iaitu ibadah yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Semakin berusia, seharusnya semakin dekat diri kepada Allah dan selepas beriman kepada-Nya, dirikanlah solat tanpa culas kerana ia merupakan asas kepada agama. Tutuplah aurat kerana ia merupakan tuntutan agama, malah dengan mengabaikannya kita dianggap cuai di dalam beragama. Malah harta benda yang dimiliki perlu dizakatkan tanpa bertangguh serta memelihara amalan ibadah khusus dan ibadah umum ketika hidup di dunia agar tergolong di kalangan mukmin yang sebenar disisi Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 September 2017
\"\"
Scroll to Top