Takdir Ilahi

DALAM kehidupan seharian kita, kita sering melihat sesuatu kejadian berasaskan premis \”sebab-akibat\” (cause and effect), tetapi sebenarnya semuanya adalah af\’al Allah SWT belaka. Suatu kejadian yang berupa \”akibat\” mungkin boleh menjadi \”sebab\” pula untuk suatu kejadian yang yang akan datang yang menatijahkan \”akibat\” lain, dan begitulah seterusnya. Ianya seperti mata rantai yang saling sambung menyambung satu sama lain. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui kenapa sesuatu kejadian itu berlaku dan apakah hikmahnya kejadian tersebut. Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir Sekalian Alam mempunyai sebab-sebab tertentu kenapa suatu kejadian itu berlaku, yang kita sebagai makhluk tidak mengetahuinya dan tidak mempunyai sebarang ilmu.

Lantaran itulah di antara perkara yang dituntut agar diimani oleh umat Islam dalam Rukum Iman ialah Beriman kepada Qada’ dan Qadar. Ia  bermaksud apa jua perkara yang berlaku di alam ini samada kebaikan atau musibah yang menimpa kita telah ditetapkan dan ditakdirkan oleh Allah SWT. Ini sesuai dengan firmanNya dalam Surah al-Taubah ayat 51, mafhumnya: \”Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang orang yang beriman harus bertawakkal\”

Tuntutan Islam agar meletakkan segala yang berlaku kepada Allah SWT ini adalah sebagai menunjukkan betapa kita sebagai seorang hamba yang lemah dan tidak berkuasa dan hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa sepenuhnya atas segala kejadian. Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh berusaha, atau ikhtiar kerana dalam menentukan takdir sesuatu perkara itu, Allah SWT telah mengambil kira samada kita berusaha atau tanpa usaha.  Oleh itu, tidak timbul ungkapan yang kerap kita dengar seperti  \”antara kecuaian dan takdir\” untuk suatu kejadian yang telah berlalu, kerana kecuaian kita itu juga suatu yang telah ditakdirkan.

Kebanyakan umat Islam faham akan perkara ini, namun ada juga segelintir yang masih jahil yang marah dengan mengatakan jangan diletakkan “takdir” itu sebagai punca kesalahan. Siapakah pula yang meletakkan takdir sebagai punca kesalahan, pesoalannya? Hanya orang-orang yang jahil sahaja yang meletakkan “takdir” sebagai punca kesalahan untuk sesuatu kejadian bagi melepaskan diri daripada bertanggungjawab. Namun, bagi orang-orang beriman akan melihat setiap kejadian yang telah berlaku itu akhirnya adalah keputusan muktamad daripada Allah SWT dalam bentuk takdir.  Itu tidak menafikan masih perlu bertanggungjawab, masih perlu menyiasat keadaan, mengenal punca, membaiki situasi, bermuhasabah, post-mortem dll. agar kejadian sama dapat dielakkan, jika yang menimpa itu suatu yang buruk.

Dalam Islam, kita tidak disuruh sekadar berserah semata kepada takdir
seperti kelompok berfahaman Jabariyyah yang mempercayai manusia langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa dan hanya berserah bulat-bulat kepada takdir Allah. Bahkan di sisi manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah  kita dituntut berusaha agar takdir baik menyebelahi kita.  Sebab itu kita disarankan mengambil iktibar dan ibrah terhadap sesuatu kejadian lalu, muhasabah, dan tidak mengulangi kecuaian, kesilapan, ketidakpatuhan, dan segala kelemahan… yang lepas. Al-Qur’an banyak menyarankan kepada kita agar jangan mengikut kaum-kaum lalu yang tidak beriman dan menderhakai Allah SWT seperti Firaun dan kelompoknya. Bahkan kerosakan di alam ini juga adalah kerana tangan-tangan rakus manusia sepertimana mafhum firman Allah SWT yang bermaksud “…kerosakan adalah akibat daripada tangan-tangan manusia sendiri” (al-Rum:41)

Usaha agar memperoleh \”takdir yang baik\” inilah contoh sikap yang telah diambil oleh Sayyiduna Umar RA. Pernah ketika Sayyiduna Umar RA dan rombongan dalam perjalanan ke Syam dari Madinah, tiba-tiba dikhabarkan Syam dilanda wabak taun. Lalu Sayyiduna Umar membuat keputusan memerintahkan balik ke Madinah dan tidak meneruskan ke Syam. Apabila ditanya adakah tuan melarikan diri dari takdir, wahai Amirul Mukminin? Maka Sayyiduna Umar RA menjawab \”aku lari dari satu takdir menuju takdir yang lain\” Namun tindakan ini untuk perancangan akan datang, bukan untuk kejadian yang telah berlalu dan bersikap menyalahkan itu dan ini. Yang berlalu itu adalah takdir yang sudah disuratkan. Sebab itu kita dilarang menyebut terhadap kejadian yang TELAH berlaku dengan kata-kata \”kalaulah aku buat begini, nescaya akan berlaku begini…\” Dalam satu hadith yang agak panjang menyebut, Nabi SAW berpesan mafhumnya: \”..apabila kamu ditimpa musibah, jangan kamu mengatakan jika aku berbuat begini, nescaya akan berlaku begini tetapi katakanlah “Qaddarallahu wa mashaa fa’al” yang bermaksud “apa yang telah ditakdirkan Allah pasti berlaku…\” (HR Muslim).

Kesimpulannya, dalam beriman kepada Qada’ dan Qadar, kita hendaklah meyakini bahawa semua kejadian yang berlaku adalah takdir daripada Allah SWT, samada baik atau buruk. Namun, itu tidaklah bermakna kita tidak perlu berusaha dan menyerah kepada takdir semata. Sebaliknya, kita masih dituntut berusaha dan mengambil pengajaran atas setiap kejadian untuk memperbaiki agar takdir baik menyebelahi kita. Namun apabila berlaku apa yang berlaku, maka itulah takdir.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 September 2017
Scroll to Top