SEBAGAI seorang manusia, kita takkan dapat lari daripada masalah yang selalu menghantui kita. Dan sebagai individu yang beriman yang mengaku Allah SWT adalah sebaik-baik perancang, kita perlu sentiasa positif melihat ujian itu adalah tanda Allah SWT sayang akan hamba-hamba-Nya serta membuktikan kita benar-benar beriman.
Pertemuan menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi mengenai tajuk “Hijrah Mengukuhkan Agama”. Ustaz memulakan siaran dengan membacakan ayat daripada surah al-Ankabut, ayat 26 & 27 yang bermaksud : Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu. Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).
Surah ini turun kepada Rasulullah SAW ketika sahabat, Khabbab bin al-Arat diseksa habis-habisan, ditoreh kulitnya sehingga Khabbab mengadap Rasulullah SAW lalu berkata “Wahai Rasulullah, bilakah akan datang bantuan daripada Allah SWT kepada kita?”. Peristiwa permusuhan dan pembantaian umat Islam di Makkah pada tahun keenam atau ketujuh kenabian sangat memeritkan. Surah ini turun bagi menjawab pertanyaan Khabbab untuk menenangkan para sahabat dan membetulkan cara mereka memandang ujian Allah SWT ini.
Surah ini telah menjadi sebab kepada Rasulullah SAW memerintahkan kepada para sahabat untuk berhijrah. Ayat 56 ini adalah isyarat daripada Allah SWT agar para sahabat yang tidak mampu bertahan di bumi Makkah pergi ke bumi Habsyah kerana mereka akan selamat di sana. Lalu kita dapat memahami, surah al-Ankabut sangat memotivasikan para sahabat untuk berhijrah.
Apabila kita melihat dengan lebih teliti akan surah ini, kita akan dapat mengetahui apakah hijrah yang sebenarnya. Sejarah mengajar kita, hijrah adalah perpindahan dan pertukaran lokasi. Itu adalah apa yang kita lihat secara tersurat. Hijrah di dalam surah al-Ankabut adalah hijrah sikap. Seharusnya, apabila kita berhijrah ke sesuatu tempat yang lain, sikap beragama kita menjadi lebih baik.
Kita perlu menilai hijrah kita. Sejauhmanakah kita telah benar-benar berhijrah. Allah SWT menyebut menerusi surah ini pada sebahagian ayat 45 yang bermaksud : sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;. Seolah-olah ayat ini, Allah SWT ingin memberitahu, sekiranya kita telah berhijrah, sejauhmana kita telah tinggalkan syahwat dan maksiat. Kita juga perlu melihat sejauhmana kita benar-benar khusyuk di dalam solat.
Hijrah ini adalah satu tindakan yang berlaku hasil daripada respon yang kita ambil apabila berlaku sesuatu masalah. Apabila berlaku musibah dan masalah kepada para sahabat, maka inspirasi yang diberikan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW ialah hijrah. Dengan berada di Yathrib dan Habsyah, agama di dalam diri dapat ditegakkan. Di sinilah mengapa hijrah itu berlaku, agar kita dapat menegakkan agama. Hijrah adalah kaedah, dan matlamatnya adalah demi memelihara agama.
Kayu ukur dalam diri seseorang yang benar-benar berhijrah ialah bila mana kita benar-benar menjadi hamba Allah SWT dan bukannya menjadi hamba syahwat. Setiap daripada kita tidak dapat lari daripada masalah. Kita seharusnya melihat adakah masalah yang kita hadapi memberi kesan kepada keberagamaan kita. Kita sering memikirkan dengan penuh gelisah bagaimana kita ingin berhadapan dengan masalah yang kita hadapi. Pernahkan kita berfikir dengan serius, adakah masalah yang kita hadapi memberi kesan kepada tahap khusyuk kita di dalam solat serta bagaimana kita melihat masalah yang kita hadapi memberi kesan kepada hubungan kita dengan Allah SWT.
Seharusnya, masalah yang perlu kita ambil berat ialah mengenai ‘ubudiah. Sejauhmana kita merasa sensitif setiap musibah yang berlaku sebenarnya sedang menguji kebergantungan kita kepada Allah SWT. Sebab itu surah al-Ankabut dipermulaannya menceritakan tujuan kehidupan kita adalah unutk diuji.
Semoga dengan ujian yang Allah SWT hadirkan dalam kehidupan kita benar-benar menginsafkan kita dan mendekatkan kita kepada-Nya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Oktober 2016