Ujian Cubitan Sayang Daripada Allah SWT

ANUGERAH agama Islam dalam ketamadunan dunia sehingga hari ini merupakan sebuah kurniaan istimewa dari ALLAH SWT yang perlu dihargai dan dijaga kesuciannya agar dapat menjadi pegangan yang kukuh untuk dijadikan sebagai panduan hidup. Kehadiran agama Islam juga membawa kepada keredhaan, kerahmatan dan kasih sayang dari ALLAH SWT buat seluruh umat manusia. Disebalik kehidupan manusia yang penuh dengan mehnah dan cabaran, sudah pastinya berhadapan dengan dugaan yang tersirat hikmah. Jika manusia tidak diuji dan tidak diberikan cabaran kehidupan, mungkin mereka tidak akan mempelajari sesuatu yang membawa manfaat kepada mereka atas pengalaman cabaran yang dilalui itu. Merangkumi aspek tersebut, Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary dalam rancangan ‘Islam Itu Indah’ yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu telah membicarakan topik ‘Ujian Cubitan Sayang Dari ALLAH SWT’.

Takrif ujian dalam bahasa arab adalah “bala-un” bermaksud musibah. Pandangan manusia apabila berlakunya musibah, selalunya kearah negatif dan menjerumus kepada keadaan yang menjatuh semangat diri. Apabila manusia menyalah tafsir musibah tersebut, mereka tidak akan menyedari bahawa terdapat hikmah disebalik musibah itu. Perkara ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156, yang bermaksud “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”

Hakikat menghadapi sesuatu ujian tidak terlari dari kesakitan samada pada jiwa mahupun pada jasmani. Namun begitu, jikalau kesakikan itu datang dari orang yang disayangi ianya membawa sebuah pengertian yang sangat bernilai. Tujuan ujian yang diberikan kepada umat manusia adalah sebuah peringatan dari Allah SWT. Peringatan tersebut juga merupakan sebuah panggilan dan teguran buat manusia supaya kembali kepada Allah SWT. Sesuatu masalah, ujian, cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh manusia semestinya perlu diterima supaya dapat mengambil iktibar dan berdoa serta berusaha mengharuinya dengan baik. Selain itu, ujian yang diberikan adalah untuk meningkatkan darjah keimanan seseorang manusia itu disisi Allah SWT. Hikmah ujian tersebut dapat dilihat menerusi surah Al-Mulk menerusi ayat 2 yang bermaksud, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”

Nabi-nabi yang mempunyai gelaran ‘Ulul Azmi’ merujuk kepada ujian yang diberikan terhadap mereka. Ibadah dan amalan mereka juga sangat hebat serta semangat jihad untuk mempertahankan agama Islam adalah sesuatu keberanian yang luar biasa dilakukan oleh mereka. Namun begitu, setiap liku-liku kehidupan mereka semestinya menghadapi ujian dan dugaan yang sangat mencabar sehingga menyebabkan nyawa mereka terancam. Geralan Ulul Azmi itu diberikan buat Nabi Nuh A.S, Nabi Musa A.S, Nabi Isa A.S, Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Muhammad A.S. Persoalannya mengapakah hanya 5 orang nabi dari kalangan 25 orang nabi sahaja yang mendapat gelaran Ulul Azmi walaupun amalan ibadat mereka kepada Allah SWT sama? Ini adalah kerana ujian yang dihadapi mereka adalah sangat hebat dan mereka dapat menempuhi dengan penuh istiqamah serta berpegang teguh kepada Allah SWT. Oleh itu, umat Islam perlu mengambil pengajaran dari kisah tersebut untuk menerima ujian dan mengharunginya kerana ia adalah sebuah ‘cubitan sayang’ dari Allah SWT untuk mengingati, mengasihi dan memelihara hamba-Nya.

Penilaian Allah SWT terhadap kualiti diri seseorang manusia adalah berpandukan kepada amalan yang dilakukan. Kecantikan akhlak dari amalan seseorang itu juga mencerminkan nilai agama yang dipegang oleh mereka. Oleh itu, setiap ujian yang hadir juga merupakan pengukuran buat umat manusia untuk manguji tahap keimanan seseorang. Dalam surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3, yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: \”Kami beriman\”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Ujian atau musibah itu juga adalah satu bentuk Allah mengenalkan diriNya kepada hambaNya. Bila kita tidak redha dengan ujian, bererti kita belum benar-benar mengenali kekuasaan Allah dan sebab itulah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa kita dengan cara memberikan ujian mengikut kemampuan hambanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(Surah Al-Baqarah ayat 286). Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan mencubanya dengan ujianNya.” Justeru, lapangkanlah hati, kuatkan jiwa dan luaskan perasaan saat kita menerima apa juga ujian Allah kerana setiap ujianNya tidak diberi secara sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya segala yang terjadi kepada kita pahit ketika berlaku tetapi manis bila dikenang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Oktober 2016
\"doc18019020161026093630_001\"
Scroll to Top