Redha dengan Kekurangan dan Kelebihan Pasangan

ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaanya yang paling utama ialah Alah SWT menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang teraasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia. Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang  begitu  besar kepada sesorang manusia.

Siapa pun di dunia ini, lelaki mahupun  perempuan, pasti  memiliki kekurangan dan kelebihan. Tiada pasangan sempurna wujud  di muka bumi ini, kecuali mereka yang berumah tangga atas landasan iman, dengan bahtera ketakwaan menuju jalan kebahagiaan yang diredhai-Nya. Ertinya, kebahagiaan sebuah rumah tangga tidak ditentukan dari seberapa besar kelebihan yang dimiliki dan seberapa kecil kekurangan yang dimiliki oleh masing-masing pasangan. Kehidupan rumah tangga suami dan isteri ibarat perjalanan sebuah kapal di lautan yang suatu saat ada gelombang yang akan menghampirinya. Suami ibarat nahkoda dalam kapal tersebut dan isteri ibarat penumpangnya. Kehidupan rumah tangga tidak selamanya berjalan mulus dan lancar, suatu saat akan ada masalah yang akan menguji keutuhan rumah tangga tersebut. Dalam menghadapi masalah tersebut sudah seharusnya suami dan isteri bekerjasama dalam menyelesaikan dan mencari jalan penyelesaian daripada masalah tersebut. Justeru, ketika membincangkan tajuk ‘Zip Mulut, Buka Hati’ dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyarankan agar tidak melafazkan sesuatu yang melibatkan aib dan kelemahan seseorang. Pertama, apabila berbicara bersama pasangan, elakkkan  berkongsi  keburukan yang ada pada ahli keluarga pasangan. Amalan ini sewajarnya perlulah dijauhi kerana ia bakal mendatangkan kemudaratan  di kemudian hari.

Seterusnya, sebarang gambaran atau pandangan yang diberikan oleh ibu bapa tidak harus disampaikan kepada pasangan anda. Ia hanya boleh dilakukan sekiranya gambaran yang disampaikan  mempunyai  unsur-unsur positif. Misalnya, ibu bapa  mertua memuji sifat  rajin  yang ada pada diri pasangan anda. Selain itu, bagi mengukuhkan lagi institusi perkahwinan yang dibina selama ini, adalah dinasihatkan agar tidak sesekali berkongsi dengan pasangan anda tentang penyakit yang pernah anda dapatkan rawatan sebelum ini  terutamanya yang berkaitan dengan mental. Jika anda berada dalam situasi sebegini, ingatlah, tiada guna untuk menceritakan pengalaman lepas anda ditimpa penyakit tersebut. Anggaplah ianya sebagai ujian dari Allah SWT dan yakinlah bahawa  setelah diberi jaminan bahawa anda telah pulih daripada penyakit itu sedikit sebanyak telah mematangkan diri anda untuk  membina hidup baru  dan mencari kebahagiaan  bersama pasangan yang anda kasihi.

Bagi  memantapkan lagi hubungan kasih sayang yang dibajai,  perkara seterusnya yang perlu dielakkan adalah tidak menceritakan kepada pasangan anda  detik-detik manis  yang dilalui  ketika menjalinkan  hubungan dengan bekas kekasih anda satu ketika dahulu. Misalnya, bercerita tentang lelaki lain dalam hidup yang pernah menjadi kekasih sebelum mendirikan rumahtangga menimbulkan cemburu pasangan. Lebih-lebih lagi apabila cerita-cerita berkaitan kelebihan-kelebihan teman lelaki akan menjadikan pasangan lebih terasa dirinya dibanding-bandingkan. Bukan semua orang suka dijadikan perbandingan. Lebihkan kepada keunikan pasangan, seandainya ingin sesuatu daripada pasangan jangan disebut nama kekasih terdahulu dan perbuatan-perbuatan baiknya dengan harapan pasangan  akan melakukan perkara yang sama. Tidak semua lelaki gembira mendengar pasangannya bercerita tentang kekasih lamanya. Meskipun seseorang bertindak ikhlas untuk tidak menyorokan pengalaman-pengalaman hidupnya dari pasangan dan cuba bertindak jujur untuk hidup bersama, tetapi cerita-cerita kekasih lama berkemungkinan memberikan satu persepsi yang berbeza dalam minda lelaki. Seterusnya demi memastikan kelangsungan keharmonian rumah tangga, elakkan menyebut  kepada pasangan  anda sebarang pandangan negatif  serta tidak memberikan kritikan yang buruk  terhadap benda yang zahir  mengenai ahli keluarga pasangan anda. Baik atau buruk sekalipun, anda harus cuba berlapang dada  dan berusaha untuk memperbaiki hubungan yang terjalin.

Di samping itu,  anda disaran menjaga  hati pasangan dengan  tidak menghina bentuk fizikal yang dimiliki  olehnya. Dalam menghadapi situasi sebegini, anda perlu bijak dalam menyampaikan mesej yang membina terhadap pasangan anda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Saling memberi hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu.” (Hadis Riwayat Tabrani). Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Malah, ia juga disifatkan sebagai satu simbol kasih sayang dan mampu menyatukan hati serta mendatangkan rasa saling cinta-mencintai sesama pasangan. Oleh itu,  janganlah melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pemberian hadiah yang diberikan. Hargailah pemberian tersebut yang sebenarnya merupakan  tanda ingatan tulus iklhlas daripada pasangan anda. Bercinta, berkahwin  dan memilki zuriat sendiri, pastinya proses ini menuntut pengorbanan yang  bukan sedikit daripada pasangan suami dan isteri . Sepanjang tempoh tersebut pelbagai jenis sifat mula terserlah. Justeru, bagi mewujudkan  mahabbah  dalam rumah tangga, disarankan agar tidak sesekali menyatakan sesuatu yang anda tidak sukai kepada  pasangan anda. Akhir sekali perlu diingatkan agar tidak menceritakan kepada pasangan anda keaiban yang Allah SWT  telah tutupkan pada diri kita. Sesungguhnya kita dimuliakan oleh Allah bukan dengan kehebatan kita  tetapi kita dimuliakan di kalangan manusia kerana Allah menutup segala keaiban kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Oktober 2016
\"2016-10-24\"
Scroll to Top