Hari Dunia, Hari Barzakh & Hari Akhirat

APABILA berada di alam barzakh, kita akan mula menjalani kehidupan di alam malakut yang sama sekali berbeza suasananya daripada alam dunia yang kita lalui sekarang. Manusia akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu golongan yang terdiri daripada orang-orang salih yang rohnya berada ditempat yang paling mulia, manakala satu lagi golongan yang terdiri daripada orang-orang talih (sesat) akan berada ditempat yang keji dan sangat dahsyat keadaannya.

Tetapi keadaan pada hari Kiamat lebih menggerunkan dan menggemparkan, malah tidak akan ada seorang manusia pun yang akan terlepas daripada dihisab ketika berada di padang Mahsyar nanti. Riwayat dari Abu Hurairah RA yang menceritakan pernah pada suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh para sahabat, “Ya Rasulullah, bolehkah pada hari akhirat nanti kita melihat wajah Allah SWT?”. Baginda menjawab, “Pernahkah kamu melihat matahari dengan jelas pada waktu siang, dalam keadaan yang cerah dan tidak berawan? Atau pernahkah kamu melihat bulan pada malam hari di dalam keadaan yang terang, cerah dan tidak berawan?”. Lalu dijawab oleh para sahabat bahawa mereka dapat melihatnya. Kemudian Rasulullah berkata, “Kamu akan dapat melihat wajah Allah di hari akhirat nanti seperti mana kamu dapat melihat matahari dan bulan itu, setelah kamu dihitung dan dihisab setiap amalan pada hari kiamat nanti.”

Baginda kemudian menceritakan, dibawa seorang hamba di padang Mahsyar di hadapan khalayak orang ramai dan ditanya oleh Allah, “Tidakkah Aku telah memberikan pendengaran kepada kamu dahulu, penglihatan, harta dan anak-anak kepada kamu? Bukankah telah Aku permudahkan haiwan ternakan dan ladang pertanian dalam hidup kamu? Bukankah Aku telah memudahkan bagi kamu dengan menjadikan di kalangan kamu pemerintah, dan ¼ daripada hasil ternakan dan pertanian diambil oleh pemerintah? Adakah kamu tidak pernah berfikir bahawa kamu akan menemui Aku pada hari ini? Dijawab oleh hamba itu, “Tidak ya Allah, kerana ketika hidup di dunia dahulu, aku terlalu sibuk dan tidak terfikir akan adanya hari di padang Mahsyar”. Lalu Allah berfirman, “Hari ini Aku tidak akan mempedulikan kamu sebagaimana kamu tidak mengingati Aku.”

Kemudian dibawakan hamba yang kedua, disoal oleh Allah perkara yang sama di padang Mahsyar itu. Dan hamba tersebut menjawab, “Tidak ya Allah, kerana ketika hidup di dunia dahulu aku terlalu sibuk dengan pelbagai urusan.” Perkara itu berulang kepada hamba-hamba lain di hadapan Allah sehingga tibanya giliran seorang hamba apabila disoal oleh Allah, dia menjawab, “Ya Allah, ketika hidup di dunia dahulu, aku adalah seorang yang beriman dengan kitab-Mu dan rasul-Mu. Aku mendirikan solat, bersedekah dan berpuasa, kemudian aku melakukan kebaikan semampu ku”. Kemudian Allah berkata, “Sekarang Aku bawakan saksi untuk membuktikan kebenaran kata-katamu.” Hamba tersebut bertanya siapakah yang akan menjadikan saksi kepada dirinya? Lalu Allah menutup mulut hamba itu, dan memerintahkan seluruh anggota tubuh hamba itu untuk bercakap dan menceritakan amalan-amalan yang pernah dilakukannya dahulu.

Selain itu Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’iati di IKIMfm yang ke udara setiap Khamis, jam 5.15 petang, turut menerangkan mengenai firman Allah di dalam surah al-Zukhruf, ayat 45: “Dan bertanyalah kepada umat mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelum mu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain Allah Yang Maha Pemurah.” Di padang Mahsyar nanti Allah akan bertanya sama ada betul atau tidak seseorang itu beriman kepada-Nya dengan membuktikannya di hadapan Allah. Rasulullah SAW juga sering mengingatkan agar sentiasa bersedia untuk menghadapi hari kita  akan disoal semula di atas apa yang dilakukan ketika hidup di dunia. Malah telapak kaki anak Adam ini tidak akan tergerak di padang Mahsyar sehingga selesai disoal oleh Allah SWT tentang empat perkara. Iaitu yang pertama, kemana manusia menghabiskan umurnya di atas dunia? Kedua, apakah yang telah kamu gunakan tubuh badan dan jasad sehingga hari tuamu? Ketiga, adakah kamu mengamalkan ilmu  yang telah kamu perolehi? Perkara keempat yang akan disoal adalah berkaitan harta benda yang diperolehi ketika di dunia dahulu, dari mana sumbernya dan kemanakah ia dibelanjakan.

Para ulama berpendapat hari kiamat juga dikenali sebagai hari penyaksian yang ditafsirkan kepada tiga. Iaitu kesaksian Rasulullah SAW terhadap amalan-amalan oleh umatnya sendiri, kedua ialah hari penyaksian alam ini sama ada bumi, langit dan segala yang berada di atas dunia ini akan menjadi saksi terhadap amalan perbuatan manusia. Dan ketiga ialah penyaksian oleh anggota badan manusia terhadap semua yang dilakukan olehnya, sebagaimana firman Allah di dalam Surah an-Nur, ayat 24: “Pada hari lidah dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Julai 2016
WhatsApp
Scroll to Top