Komunikasi Yang Baik

JALINAN perhubungan manusia melalui kalimah ‘Hablun minnan nas’ mentafsirkan sebagai suatu interaksi yang nyata menggunakan sistem pancaindera untuk menerima dan memberi mesej dalam sebuah komunikasi. Kaedah komunikasi berkait rapat melalui pertuturan seseorang manusia sama ada ianya dapat menghasilkan satu perhubungan yang baik ataupun tidak baik. Malah, setiap pergerakkan manusia juga dipandukan oleh komunikasi dimana mesej yang diterima dan diberi diantara satu sama lain mampu mempengaruhi perasaan seseorang individu. Oleh yang demikian, topik ‘Komunikasi Yang Baik’ menjadi sebuah bicara yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm setiap hari Rabu jam 10.15 pagi lalu.

Tamadun Islam menerapkan sebuah peradaban yang tinggi nilainya pada pembangunan akhlak peribadi seseorang muslim. Penerapan sifat-sifat terpuji dalam ajaran Islam juga telah membuka sebuah revolusi hebat melalui akhlak mulia Rasulullah S.A.W dimana sejarah Hadis dan Al-Quran membuktikan kesempurnaan agama Islam dalam mengutamakan keperibadian yang baik. Sifat-sifat terpuji di dalam diri manusia akan terhasil melalui penyampaian mesej yang baik dengan komunikasi dua hala yang dapat difahami. Seruan terhadap berkomunikasi dengan baik ini dapat dilihat menerusi firman Allah S.W.T melalui surah An-Nisa ayat 5 dengan kalimah ‘Qaulan Ma’rufa’ yang menyeru supaya bercakap dengan kata-kata yang baik. Istilah ‘Qaulan Sadida’ juga disebut dalam surah Al-Ahzab ayat 70 yang bermaksud berkatalah pada perkataan yang jujur dan benar dalam semua perkara.

Manusia perlu hidup saling bergantungan diantara satu sama lain melalui persekitaran kehidupan yang aman dan tenteram. Melihat dalam sudut Islam, masyarakat muslim hidup secara berjemaah dengan saling bersilatulrahim dan ziarah-menziarahi diantara satu sama lain. Kebahagiaan yang penuh kesempurnaan dalam sistem kehidupan manusia ini sudah pastinya bermula dengan komunikasi yang baik tanpa adanya perselisihan faham yang berlaku di kalangan masyarakat. Kesan komunikasi yang positif juga turut menghasilkan kejayaan sesebuah negara dalam persekitaran budaya kerja yang berkualiti untuk terus dimajukan dengan kewujudan interaksi yang baik antara pemimpin dan masyarakat.

Pada umumnya, komunikasi dilakukan secara lisan dimana ianya dipandukan melalui tiga elemen iaitu kata-kata baik, intonasi suara yang selesa serta gerak-geri bahasa tubuh yang menterjemahkan kepada tindakan yang baik. Keberkesanan terhadap komunikasi telah di buktikan oleh dakwah Rasulullah S.A.W untuk menyampaikan ajaran agama Islam sebagai pegangan umat manusia di seluruh dunia pada hari ini. Kepakaran Rasulullah S.A.W dalam berkomunikasi diceritakan dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW apabila bercakap sesuatu percakapan yang baik Baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali sehingga percakapan itu dapat difahami. Apabila Baginda pergi menemui satu-satu kaum, Baginda memberi salam kepada mereka sebanyak tiga kali. Maksud hadis ini secara tegas menerangkan sifat-sifat dalam berkomunikasi haruslah dilaksanakan dengan percakapan yang jelas, benar dan mengunakan perkataan yang sopan.

Fungsi pengucapan dan kemahiran intonasi suara Rasulullah S.A.W adalah mengikut suasana dan tempat serta dalam nada bersesuaian yang dapat diterima oleh semua pihak. Hal ini secara tidak langsung mampu melonjakkan penerimaan agama Islam buat umat manusia yang menjadi kejayaan utama dalam amalan berkomunikasi Rasulullah S.A.W melalui sistem penyampaian mesej yang sempurna serta berasaskan kepada kejujuran dan kebenaran. Didikan ALLAH S.W.T kepada Rasulullah S.A.W menjadi inspirasi serta membawa konsep hidup baginda kepada lebih berani dan cekal dalam kebenaran. Pembelajaran dari sifat-sifat komunikasi Rasulullah S.A.W juga adalah ringkas, padat dan tepat dalam menyampai mesej serta dapat mengawal emosi dalam intonasi agar tidak terkasar menyinggung perasaan pihak lain.

Tindakan dan respon dari bahasa tubuh yang baik adalah dengan mengekalkan tumpuan mata semasa berinteraksi tanpa menggunakan pergerakkan yang tidak dikawal. Mata yang juga merupakan jendela bagi hati seseorang memainkan peranan utama dalam mentafsirkan sesuatu penyampaian mesej kearah kejujuran dan keihklasan semasa berinteraksi. Oleh itu, Identiti seseorang yang baik akan digambarkan melalui gabungan intonasi suara yang besesuaian, penggunaan percakapan yang sempurna serta tindakan gerak-geri tubuh badan yang mengikut tertib kesopanan. Umat Islam juga akan terus memperoleh penghargaan diantara satu sama lain dari komunikasi yang berkualiti dalam suasana yang harmoni serta penuh dengan kasih sayang kearah memperoleh sebuah kehidupan yang diredhai.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Julai 2016
\"2016-07-20\"
Scroll to Top