Dakwah Kontemporari

MENURUT pengarah kitab al-Hikam yang terkenal, Syekh Ibnu Atha\’illah As-Sakandari, ilmu yang sebenar adalah menjadikan kita merasa takut kepada Allah SWT. Bahkan dengan ilmu yang bermanfaat menjadikan seorang isteri taat kepada suaminya, seorang anak patuh kepada kedua orang tuanya dan seorang pemimpin akan adil kepada rakyatnya. Justeru dengan ilmu menjadikan hati manusia ibarat air sungai yang sentiasa mengalirkan air-air yang bersih dan jernih untuk manfaat makhluk lain.

Hakikatnya dalam pembinaan akhlak seseorang manusia adalah melalui jalan dakwah, begitu juga dalam pembaikan Islam dan pembinaan sistem hidup manusia itu sendiri adalah melalui dakwah. Sebab itu dakwah disebut sebagai enjin yang menggerakkan agama dan manusia. Apabila disebut tentang dakwah tentunya ia ada kaitan dengan ilmu dan kefahamannya.

Dakwah adalah tunjang dalam menggerakkan hati manusia untuk membina kebaikan kepada agama, sistem cara hidup dan seterusnya kepada alam ini. Dakwah itu menyeru dan mendidik manusia untuk menjadi insan yang taat kepada perintah Allah. Begitu juga dalam saat dunia ini berdepan dengan pelbagai karenah dan fitnah, cara menyucikannya adalah melalui dakwah. Dakwah adalah satu bentuk tarbiah bagi mengikis segala kejahatan yang menlingkari kehidupan manusia.

Dakwah biasanya akan memfokuskan kepada manusia yang melakukan kemungkaran dan kejahatan. Dalam melaksanakan proses dakwah kepada manusia yang melanggar perintah Allah perlu diketahui tentang punca dan sebab manusia melakukan kemungkaran, dari itu dakwah yang dilakukan harus menjurus atau memfokus kepada asbab tersebut.

Bagaimanapun perkara-perkara yang dikenalpasti yang menyebabkan manusia melakukan kejahatan adalah kerana seseorang manusia itu tidak yakin kepada Allah SWT, tidak yakin kepada hari akhirat dan seseorang manusia itu merasa cintakan dirinya lebih dari orang lain.   

Begitu juga dengan leburnya nilai kasih sayang atau ukhwah yang semakin luntur menyebabkan manusia itu tidak lagi saling menyayangi antara satu sama lain. Apabila hilang kasih sayang, ukhwah semakin lemah dan perasaan saling membenci semakin menguasai diri. Apabila manusia dihasut dengan kebencian maka timbullah pelbagai prasangka yang boleh merosakkan hubungan, melahirkan kucar kacir dan pelbagai perkara yang boleh memporak perandakan sesuatu hubungan sesama manusia.

Justeru, dakwah hadir dalam suasana hidup manusia yang berpaling kepada perintah Allah SWT. Di sini dakwah memainkan peranannya dalam menyeru manusia kembali kepada ajaran al-Quran dan al-hadis, mentarbiah manusia untuk kembali kepada perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Dalam kata lain dakwah itu menyeru kepada segala perbuatan yang bersifatkan keimanan kepada Allah SWT. Pengukuhan iman itu sebahagian daripada dakwah kerana dengannya manusia akan lebih dekat dengan Allah yang maha pencipta.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110 yang maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Setiap umat Islam adalah sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah untuk melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran. Melakukan kebaikan mestilah secara berterusan walaupun sedikit. Kemudiannya akhir dilakukan secara tetap dan lebih banyak.

Sesungguhnya melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah tugas yang paling murni dan mulia di sisi Allah, kerana ia menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan beribadat hanya kepada-Nya. Apa yang paling utama dalam melaksanakan dakwah adalah mengukuhkan keimanan yang jitu kepada Allah SWT kerana iman yang kuat ini akan mencegah manusia dari terjebak dengan apa sahaja perbuatan yang mungkar.

Sesungguhnya dunia akan menyediakan jalan kepada mereka yang sentiasa mencari jalan kebaikan. Hati yang selalu menagih keampunan daripada Allah SWT akan selalu dilorongkan dengan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Orang yang selalu mencari kebaikan akan mendapat kebaikan dan orang yang selalu lupa akan kebaikan, kejahatan akan datang kepadanya. Justeru berdakwahlah di mana sahaja kerana dakwah sentiasa membuka jalan kebaikan bagi sesiapa sahaja yang melakukannya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top