Akikah Dan Khitan Di Jalan Fitrah

SETIAP bayi yang lahir ke dunia berada di dalam keadaan fitrah, oleh itu peliharalah ia agar tidak berlaku sebarang penyimpangan daripada keadaan asalnya semoga berkekalan sehingga ke akhir perjalanan hidupnya. Ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak-anak dan mengelakkan tanggapan bahawa anak-anak mereka akan memilih jalan kehidupan sendiri apabila dewasa kelak.  Tarbiyah anak-anak bukan hanya bermula apabila dilahirkan ke dunia, tetapi sebenarnya ia bermula sejak mereka berada di dalam kandungan ibu. Ada juga pandangan ulama yang berpendapat untuk melahirkan zuriat yang baik adalah bermula daripada memilih calon isteri yang baik dan salih.

Rasulullah SAW berpesan, apabila mati sahaja anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, termasuklah doa anaknya yang salih. Oleh sebab itu Islam sangat menggalakkan agar umatnya mempunyai zuriat yang ramai. Bagi mereka yang tidak mempunyai zuriat sendiri, digalakkan untuk memelihara anak angkat, anak susuan, anak saudara atau anak yatim agar dapat membantu mendoakan semasa ketiadaan kita nanti.

Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di radio IKIMfm pada hari Khamis jam 5 petang, turut menjelaskan bahawa di dalam Islam digalakkan untuk menamakan bayi dengan nama yang baik kerana ia berkaitan dengan keadaannya ketika berada di padang Mahsyar. Jika diberikan nama-nama yang tidak baik, mereka akan dibenci oleh Allah. Ini kerana di antara kebencian yang paling mengundang kemurkaan Allah ialah manusia yang memiliki nama raja kepada segala raja. Sesungguhnya tidak ada raja selain Allah SWT dan tiada kuasa besar di atas dunia ini kecuali Allah. Malah Rasulullah sendiri tidak menyukai anak-anak yang diberi nama Aflah (orang yang paling berjaya), Nafi’, Rabah dan Yasar. Rujuklah nama yang bakal diberikan kepada si anak kepada alim ulama agar nama itu dapat memberi kebaikan kepadanya pada Hari Akhirat kelak.

Amalan akikah bererti memutuskan hubungan, yang membawa maksud bayi yang lahir masih lagi tergantung di dalam gadaian Allah. Oleh itu untuk melepaskan bayi itu daripada gadaian tersebut, haruslah melaksanakan akikah iaitu disembelihkan kambing pada hari ke-tujuh kelahirannya dan bayi itu diberikan nama serta dicukur kepalanya pada hari tersebut. Pada pandangan para ulama, amalan ini merupakan sunat yang dituntut. Bagi anak lelaki disembelih dua ekor kambing atau dua bahagian daripada lembu, sebagai akikah untuknya. Amalan akikah dilakukan sewaktu anak itu masih bayi dan tidak dilaksanakan ke atas orang yang sudah dewasa kerana bagi mereka ibadat korban itu adalah lebih baik.

Waktu yang paling afdal untuk melakukan akikah ialah pada hari yang ke-tujuh selepas kelahiran bayi atau hari ke-14, 21 atau setidak-tidaknya sebelum bayi itu mencecah umur 2 tahun. Disunatkan juga agar haiwan yang disembelih untuk akikah itu, tidak dipatah-patahkan tulangnya manakala dagingnya dimasak agak manis kerana ia mempunyai hikmah yang tersendiri. Hikmah di sebalik amalan akikah untuk mendekatkan anak tersebut dengan Allah SWT pada awal kehidupannya di dunia dan melepaskan tebusan anak itu daripada mara bahaya dan bencana yang akan datang. Akikah juga memberi peluang supaya anak itu dapat memberi syafaat kepada ibu-bapanya di atas pengorbanan harta benda yang telah dilakukan untuk membesarkan anak mereka agar dekat kepada Allah SWT.

Selain itu dengan melaksanakan akikah akan menunjukkan bahawa manusia suka untuk mentaati dan menunaikan syariat Allah, tanpa mempertikai syarat-syarat yang dikenakan di antara anak lelaki atau anak perempuan. Sifat orang mukmin hanya mengikut perintah Allah dan menerimanya dengan sepenuh hati.

Untuk kembali kepada fitrah juga digalakkan untuk mengkhitankan anak-anak yang baru lahir iaitu dengan memotong kulit yang menutup kepala kemaluannya (anak lelaki). Hadis yang diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir, menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Di antara fitrah di dalam hidup ini ialah berkumur untuk membersihkan mulut. Yang kedua ialah membersihkan hidung dengan air, ketiga ialah menggunting misai dan janggut agar tumbuh dengan rapi, dan bersugi, memotong kuku, membersihkan bulu ari-ari, membuang bulu ketiak untuk mengelakkan bau badan yang tidak menyenangkan, serta berkhitan.” Di dalam mazhab Syafie, berkhitan merupakan perkara wajib dilakukan bagi lelaki manakala bagi perempuan pula disunatkan untuk dikhitankan untuk mengurangkan rangsangan syahwat bagi dirinya.

Afdalnya khitan dilakukan pada hari bayi itu dilahirkan supaya apabila disempurnakan akalnya kelak dan memahami segala urusannya, dia akan dapat membezakan keadaan dirinya dan berada di dalam keadaan yang bersih. Islam menggalakkan umatnya berkhitan supaya mendidik mereka untuk menjadi seorang yang mementingkan kebersihan dan Islam sendiri adalah agama yang fitrah. Semoga apabila kembali menghadap Allah SWT kelak, mereka juga berada di dalam keadaan fitrah dan bersih. Berkhitan juga melambangkan kesempurnaan kebersihan diri dan sebagai tanda keimanan yang kuat kepada Allah. Ia juga akan membezakan di antara orang mukmin dan orang kafir yang tidak berkhitan. Malah berkhitan merupakan tanda keabadian manusia kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan sesungguhnya kebersihan itu adalah tanda keimanan pada diri mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top