BUDAYAKAN AL-QURAN DALAM KEHIDUPAN

Ramadan, bulan penuh kemuliaan yang dinanti-nantikan saban tahun oleh umat Islam, hadir membawa seribu keberkatan. Ia bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah bulan yang membawa cahaya dan petunjuk bagi umat Islam. Dalam bulan yang mulia ini, pelbagai peristiwa bersejarah telah berlaku, termasuk peristiwa Nuzul Quran, iaitu detik turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’ melalui perantaraan Malaikat Jibril AS. Peristiwa ini begitu signifikan sehingga menjadikan Ramadan digelar sebagai ‘Bulan Al-Quran.’

Krisis umat dalam mencintai Al-Quran

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 105-108, Al-Quran diturunkan sebagai mukjizat teragung. Namun, keistimewaan Al-Quran masih belum benar-benar menjadi budaya dalam masyarakat kita. Dalam realiti kehidupan hari ini, masih ramai yang merasa tewas, lemah, dan terhimpit dengan tekanan dunia. Sedangkan Al-Quran adalah sumber kekuatan yang mampu membimbing dan mengalahkan segala cabaran kehidupan. Di masjid, masih ramai yang lebih cenderung menatap Al-Quran di skrin telefon bimbit berbanding membaca mushaf secara langsung. Bahkan, ada yang sekadar singgah untuk menunaikan solat, sementara mushaf Al-Quran terus tersusun di rak, mengumpul debu tanpa disentuh.

Dalam rancangan Usrah Nurani bersama Naqib Ustaz Zul Ramli M. Razali menerusi slot Kembara Inspirasi pada Jumaat, 14 Mac 2025, jam 5 petang, perbincangan mendalam mengenai peranan Al-Quran dalam kehidupan Muslim telah diutarakan. Episod bertajuk “Mutiara Ramadan, Petunjuk Sepanjang Zaman” ini turut menampilkan rakan usrah, Dr. Anuar Bin Hasin, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), serta Koperal Mohamad Syahiri bin Shamsudin dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Cabaran umat mencintai Al-Quran

Sememangnya ia menjadi satu cabaran besar bagi meningkatkan rasa cinta umat Islam di Malaysia untuk membudayakan Al-Quran. Hal ini kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa yang berbeza dengan bahasa pertuturan majoriti umat Islam di negara ini iaitu bahasa Melayu. Oleh itu, Al-Quran hanya menjadi satu ritual yang bermusim; dibaca ketika musim peperiksaan atau meminta kesembuhan untuk orang sakit. 

Hal ini berbeza dengan budaya di negara-negara Islam lain yang sangat mencintai Al-Quran seperti Bangladesh. Menurut Dr. Anuar, Umat Islam di Bangladesh seringkali menyertai majlis-majlis tilawah Al-Quran sehingga berpusu-pusu memenuhkan stadium untuk mendengar bacaan qari mereka yang merdu. Berlainan pula dengan umat Islam di Malaysia yang lebih gemar menghadiri konsert di stadium.

Sedangkan, Al-Quran perlu kerap diamalkan agar ia menjadi penyelamat di akhirat kelak. Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Muslim yang bermaksud: 

“Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”.

Ketika di alam kubur, tiada siapa yang dapat membantu menjawab pertanyaan malaikat. Namun, di padang mahsyar, Al-Quran akan menjadi syafaat bagi mereka yang menjadikannya sebagai wirid harian. Oleh itu, cabaran besar bagi masyarakat Islam adalah untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Membudayakan bacaan Al-Quran

Walaubagaimanapun, ini bukanlah bermaksud bahawa tiada inisiatif yang dijalankan untuk meningkatkan rasa cinta umat Islam di negara ini terhadap Al-Quran. Berkongsi pengalaman beliau di dalam KAGAT, Mohamad Syahiri menjelaskan bahawa KAGAT giat melaksanakan pelbagai aktiviti, termasuk musabaqah Al-Quran di pelbagai peringkat di Angkatan Tentera Malaysia. Kursus bacaan Al-Quran turut disediakan untuk para muallaf serta mana-mana individu yang ingin menambahkan ilmu berkaitan Al-Quran.

Namun, jelas lebih banyak usaha diperlukan untuk membudayakan bacaan Al-Quran dalam kalangan umat Islam di Malaysia ini.

Usaha yang berterusan oleh pelbagai pihak adalah perlu untuk memastikan Al-Quran bercambah dalam hati masyarakat di negara ini. Pelbagai agensi kerajaan termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menggembleng tenaga menyediakan prasarana yang bagus untuk membangunkan kecintaan terhadap Al-Quran. 

Namun, masyarakat turut harus bersama-sama mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membudayakan Al-Quran. Masjid dan surau umumnya digalakkan untuk menganjurkan lebih banyak program-program berkaitan Al-Quran agar budaya membaca Al-Quran terus mekar. Setiap individu juga perlu memainkan peranan masing-masing menerusi kapasiti mereka, sama ada dalam konteks bekerja atau ahli keluarga. Menurut Dr. Anuar, sebagai seorang pensyarah beliau bertanggungjawab untuk menanamkan rasa minat yang mendalam terhadap Al-Quran dalam kalangan pelajar-pelajar beliau. 

Manakala, ibu bapa pula perlu lebih tegas dalam usaha menyemai rasa cinta terhadap Al-Quran ini. Ibu bapa tidak boleh berputus asa dalam mendidik anak-anak mereka untuk membaca Al-Quran. Mereka juga ditegur untuk tidak berkira dengan anak-anak apabila melibatkan pengajian Al-Quran. Adalah sayang seandainya ibu bapa lebih rela menghabiskan duit demi makanan-makanan viral berbanding menghantar anak-anak ke kelas mengaji Al-Quran, kerana Al-Quran adalah bekalan anak-anak yang tersayang ke akhirat kelak.

Hidupkan jiwa dengan Al-Quran

Kalau ditelusuri sejarah penurunan Al-Quran yang mengambil masa 23 tahun, jelas bahawa mendalami pengajian Al-Quran itu merupakan satu disiplin ilmu yang harus dihormati. Rasulullah SAW bahkan hanya mengajar para sahabat sepuluh ayat Al-Quran sahaja, dan hanya akan menambah bilangan ayat apabila mereka benar-benar menguasai dan memahami isi kandungan ayat-ayat tersebut. Tetapi hakikat pada hari ini, umat Islam lebih selesa berlumba-lumba memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan tajwid yang sempurna, serta suara yang paling lunak dan merdu. Namun, berapa ramai yang benar-benar memahami isi kandungan Al-Quran itu dengan sempurna dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian?

Sesungguhnya Al-Quran itu bukan hanya perlu dibaca, namun juga perlu diamalkan. Selaku zikrullah paling utama, membaca Al-Quran secara bertartil dapat mengubati hati yang lelah dengan dunia. Tadabbur Al-Quran juga adalah amat dituntut agar setiap saranan dan perintah di dalam Al-Quran dapat difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Hanya dengan memahami makna dan perintah Allah dalam al-Quran, hati manusia akan kembali hidup dan mendapat cahaya petunjuk. Oleh itu, dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, marilah kita menjadikan al-Quran sebagai teman sejati, bukan sekadar dalam bacaan, tetapi dalam seluruh aspek kehidupan kita.

Artikel ditulis oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top