BELANJAWAN 2026: RM2.6 BILION PERKUKUH SYIAR ISLAM DAN PENDIDIKAN INSANI

KUALA LUMPUR, 10 Okt (IKIM) — Kerajaan terus memperkukuh agenda pembangunan insan dan memartabatkan syiar Islam menerusi Tekad Sembilan: Membina Jati Diri, Membangun Nilai Insani, dan Martabat Syiar Islam yang menjadi antara inti pati dalam pembentangan Belanjawan 2026 hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion bagi memperkukuh pendidikan Islam dan memperkasa institusi keagamaan di seluruh negara, selaras dengan aspirasi membina masyarakat MADANI yang berilmu dan berakhlak.

Beliau berkata terdapat lebih 300 sekolah pondok berdaftar dan hampir 160 yang belum berdaftar ketika ini, dan kerajaan berhasrat memperkasa sistem pendidikan pondok dengan menambah elemen ilmu digital, kecerdasan buatan (AI) serta TVET bagi melahirkan pelajar Islam yang bersedia menghadapi cabaran masa depan tanpa meninggalkan akar tradisi ilmu.

Bagi tujuan itu, RM150 juta diperuntukkan bagi menambah baik prasarana sekolah agama rakyat, tahfiz dan institusi pondok termasuk menggantikan peralatan pengajian yang usang. Selain itu, 720 pelajar tahfiz akan menerima latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA, bagi membolehkan mereka memiliki kecekapan tambahan selepas tamat pengajian.

Dalam usaha mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat komuniti, kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan Anugerah Masjid Malaysia bagi mengiktiraf masjid cemerlang di seluruh negara, di samping Konvensyen Masjid yang bakal menghimpunkan imam, ulama, umara, sarjana Islam dan teknokrat bagi membincangkan hala tuju pembangunan ummah.

“Majlis-majlis ilmu diperbanyak bagi meningkatkan kefahamanumat MADANI terhadap Islam. Ini termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 bagi memberi peluang umat Islam menghayati hadis-hadis Baginda Rasulullah SAW yang diperdengarkan dengan bacaan penuh tartil oleh para ulama,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan kejayaan usaha Yayasan Restu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mencetak sejuta naskhah al-Quran dalam 30 bahasautama dunia, yang mendapat sambutan positif daripada masyarakat antarabangsa. 

“Kerajaan turut perkenalkan MUSHAF MADANI sebagai sebahagian program tadabbur al-Quran di peringkat nasional. Seterusnya, kerja-kerja akan bermula untuk membangunkan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya,” tambah beliau. 

Kerajaan juga bersetuju meningkatkan had pengeluaran KWSPuntuk tujuan menunaikan ibadat haji kepada RM10,000, berbanding RM3,000 sebelum ini. Bagi penjawat awam pula, kemudahan pengeluaran awal GCR bagi tujuan haji turut diperluas dengan had penebusan RM10,000 melibatkan peruntukan sebanyakRM10 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan berjumlah RM419.2 bilion.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Parlimen petang Jumaat, beliau berkata daripada jumlah tersebut, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

WhatsApp
Scroll to Top