ANUGERAH FRANCAIS MALAYSIA ANGKAT IMEJ USAHAWAN FRANCAIS

\"\"

 

KUALA LUMPUR, 2 Julai 2023 (IKIM) : Pencalonan untuk Anugerah Francais Malaysia telah dibuka untuk usahawan francais bersempena Malam Anugerah Francais yang akan berlangsung pada Oktober 2023. Program tahunan anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini adalah kali ke-25 sejak mula diperkenalkan pada tahun 1998.

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, penganjuran anugerah ini merupakan manifestasi penghargaan kepada penggiat industri tempatan yang berusaha mengekalkan prestasi cemerlang bagi memastikan mereka setanding jenama global.

“Bermula dengan hanya lima kategori yang disenaraikan pada awal penganjurannya, kini Anugerah Francais Malaysia telah mengiktiraf lebih 100 syarikat dan individu selain menjadi tanda aras kepada sektor francais serta anugerah antarabangsa. Pada tahun ini, MFA menyasarkan lebih 100 pencalonan untuk semua kategori anugerah yang dipertandingkan.

“Anugerah Francais Malaysia 2023 bakal mengiktiraf 20 pemenang daripada 6 kategori utama yang dipertandingkan merangkumi pelbagai sektor dalam ekosistem industri francais,” katanya dalam sidang media majlis pelancaran anugerah ini yang dianjurkan bersempena persidangan Mesyuarat Agung MFA kali ke-28, pada 27 Jun 2023 yang lepas bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Antara kategori yang akan dipertandingkan adalah kategori utama, kategori sistem francais, kategori francaisor, kategori francaisi, kategori terbuka dan kategori media.

Jelasnya, bagi mengekalkan anugerah francais sebagai anugerah berprestij tinggi dan sentiasa menjadi pilihan utama penggiat francais, pemenang anugerah dipilih oleh panel penilai berkecuali yang terdiri daripada profesional dan pengamal akademik yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri francais.

Kesemua anugerah akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Majlis ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 800 orang tetamu yang terdiri daripada penggiat industri francais, wakil-wakil kementerian dan agensi, badan-badan berkepentingan yang lain, pengamal media dan banyak lagi.

Terdahulu, Anugerah kategori Francais Terbaik pernah dimenangi oleh Daily Fresh, Focus Point, Global Art, Marrybrown, Smart Reader Worldwide, Secret Recipe dan The Manhattan Fish Market sepanjang penganjurannya.

Bagi mereka yang berminat untuk turut sama-sama memeriahkan Malam Anugerah Francais ini, boleh hubungi MFA di talian 03-6241 4141.

Scroll to Top