Andalusia

MENGAMBIL iktibar daripada alam adalah kaedah mendekatkan diri kepada Al-Khaliq kerana alam ini adalah sebahagian daripada bicaraNya yang indah untuk diteladani. Jadilah umpama helang yang punya sayap yang hebat bukan untuk mendabik dada atas kehebatannya namun menggunakan kekuatannya untuk meringan beban dan membantu orang lain seperti yang termaktub di dalam kisah Ibrahim Adham dengan muridnya. Kutiplah sebanyak mungkin iktibar daripada permusafiran kerana ia akan lebih mematangkan. Moga dengannya akan menjadikan seseorang individu bukan sekadar baik tetapi memberi dan menebar kebaikan pada orang lain.

Itu antara saranan naqib Usrah Nurani; Ustaz Zul Rali M.Razali ketika menaqibkan usrah Jumaat lalu yang bersiaran pada pukul 5.15 petang. Berkongsi mengenai permusafiran di bumi Andalusia bersama rakan usrah di konti Diana Amir dan Farah Fauzana agar setiap jejak yang di tinggalkan membiakkan rasa yang berpanjangan. Menyumbang bukan sekadar cerita malah kongsi rasa yang mampu menarik hati umat yang lebih ramai untuk lebih dekat dengan Ilahi.

Bermula dengan kisah pengembaraan empat selebriti ke bumi Andalusia iaitu Fynn Jamal, Diana Amir, Heliza Helmi dan Farah Fauzana telah mengimbau kembali bekas-bekas kegemilangan Andalusia di bumi Granada dan Sevilla. Umapama putik delima yang baru menampakkan keberanian untuk membesar menjadi buah, begitu juga Islam yang kembali mula meletakkan tapak untuk memijak.

Dalam bermusafir, sebenarnya terlalu banyak hikmah yang dapat dicapai dan boleh dijadikan penenang jiwa. Ia adalah satu tradisi yang biasa dilakukan oleh ulama dan pencari ilmu terdahulu. Menerusinya, wujud bumi yang kenal Allah sebagai tuhan yang di sembah. Itu juga yang berlaku ke atas Andalusia. Menerusi jerih perih ulama yang berhijrah ke bumi Andalusia dengan niat menyebarkan agama suci ini. Islam pernah gah di bumi Andalusia tetapi kian sirna bersama tenggelamnya nama Andalusia itu sendiri yang telah berganti dengan nama Spanyol. Persoalannya, adakah usaha para ulama terdahulu perlu perlu untuk turut sama terkubur? Jika tidak, apakah peranan kita sebagai agen-agen pewaris Rasulullah SAW untuk memastikan dakwah dan Islam kembali terpasak kukuh di tanah Andalusia ini? Persoalan ini perlu di jawab dengan jujur dan ikhlas kerana ia melibatkan rasa persaudaraan sesama Islam.

Sesungguhnya, dalam kehebatan sejarah Sepanyol tersimpan seribu satu rasa yang mula di gali dan di singkap hari ini. Allah itu sebaik-baik Perancang. Saat Islam di bumi Andalusia di pencilkan, Allah buka satu peluang untuk manusia melihat Indahnya Islam dan kebesaran Pencipta. Walau agak terperosok dalam sebuah perkampungan di bumi Granada, sebuah masjid indah terbina bertamankan tumbuh-tumbuhan herba Itali serta bungaan renek. Cantiknya perancangan Allah, melangkaui kebijaksanaan manusia. Kala kerajaan Spanyol membenarkan masjid dibina dengan bersyaratkan ia terbuka kepada siapa sahaja, ia peluang keemasan untuk Islam di sebarkan. Lokasi geografinya walau di atas bukit yang berbeza, agak jauh dari Istana tersergam Indah Al-Hambra, tetapi lokasi itu menjanjikan panorama paling strategik untuk menatap Istana itu. Secara tidak langsung pengunjung yang ingin merakan keindahan Al-Hambra akan berlegar-legar di perkarangan masjid. Dari situ, saban minggu ada sahaja pengunjung yang mengucap syahadah, kembali kepada agama fitrah.

Imam Shafie memperihalkan gesaan untuk tidak statik atau kaku di tempat sama, sebaliknya menggalakkan umat Islam untuk bermusafir. Katanya : “Bukan satu orang yang mempunyai akal dan budi yang bagus duduk di satu tempat. Hendaklah dia tinggalkan tanah airnya dan pergi berdagang dan berasingan. Bermusafirlah, nescaya kau akan dapat ganti orang yang kau tinggalkan.” Selain itu Imam Shafie juga pernah menggesa umat Islam untuk mengembara kerana kelazatan hidup wujud dalam pengembaraan dan menamsilkannya seperti air; jika tidak akan merosakkan kualiti air itu sendiri tetapi sebaliknya jika ia mengalir, ia akan menjadi air yang baik. Juga pada singa; jika tidak meninggalkan hutan, nescaya ia tidak menjadi garang. Dan pada anak panah; jika tidak meninggalkan busar, ia tidak mengenai sasaran.

Selain Masjid Granada, usaha gigih juga sedang di gembeling untuk membangunkan sebuah lagi masjid di kota keempat terbesar di Spanyol.  Pada masa kekhalifahan Al-Muwahhid, Sevilla merupakan ibukota Andalusia. Saat itu Sevilla merupakan pusat pengetahuan Islam, terutama dalam bidang seni dan budaya. Salah satu peninggalannya adalah Masjid Agung yang saat ini hanya tersisa bagian menara azan yang cukup gah suatu ketika dahulu menyaksikan muazzin menaiki kuda untuk sampai kepuncaknya melaungkan nama Allah yang Maha Besar. Kini ia di kenali sebagai  La Giralda. Dan hari ini, satu usaha dijalankan untuk mengumpul dana menyumbang kepada terdirinya sebuah lagi masjid lambing kebangkitan Islam di bumi Sevilla. Moga menjadi pencetus kepada meluasnya Islam kembali di bumi Andalusia.

Begitu besarnya hikmah kembara. Belajar dari alam dan belajar bukan sekadar untuk merubah diri kepada lebih baik malah ia boleh di jadikan sandar asbab kebaikan pada orang lain. Melihat kepada Islam di Spanyol, bagai pahlawan hebat yang baru tersedar dari pengsan. Namun, kaki dan tangan terikat umpama tawanan. Maka, menjadi tanggungjawab bersama untuk sama-sama melihat kebangkitan semula Islam di sana.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Mei 2016
\"20052016\"
Scroll to Top