Rasulullah SAW Sebagai Guru Yang Mursyid

SETIAP seorang daripada kita mesti merasa bertanggungjawab sebagai guru. Perlu ada dalam diri kita sebagai ahli masyarakat untuk memberikan ilmu dan membenihkan akhlak ke dalam diri dan jiwa anak-anak kita.

Menerusi segmen Ibrah minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin, 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah Rasulullah SAW sebagai seorang guru yang mursyid. Ustaz memulakan perbincangan dengan membawakan maksud ayat Al-Quran Surah Al-Anbiya’, ayat 51: Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.

Perkataan ‘Rushd’ banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Menurut Ibn Katsir, seorang ulama tafsir, perkataan ‘rushd’ ini membawa erti ilham yang Allah kurniakan kepada seseorang dan dengan ilham itu dia dapat membezakan antara kebenaran dan dia mendapat hujah. Di dalam Al-Quran, sekiranya kita amati, perkataan ini ada kaitan dengan cerita-cerita yang membabitkan seseorang itu boleh terkeliru.

Begitu juga apabila kita teliti 10 ayat terawal Surah Al-Kahfi yang disebutkan Baginda Nabi SAW, apabila kita membacanya nescaya kita akan dipelihara daripada fitnah dajjal yang datang membawa kekeliruan. Perhatikan perkataan terakhir di dalam ayat ke 10 surah Al-Kahfi yang merupakan doa pemuda-pemuda kahfi yang turut diakhiri dengan perkataan ‘rushd’.

Apabila merujuk kepada babak Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS di dalam Surah AL-Kahfi, Nabi Musa AS turut mengiktraf Nabi Khidir AS sebagai mursyid. Mereka yang diberikan ilham oleh Allah SWT untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Begitulah yang disebutkan di dalam Surah Al-Kahfi ayat 66 yang bermaksud : Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?\”

Betul dan benar adalah dua perkara yang berbeza. Belum tentu yang betul itu benar dan begitulah sebaliknya. Betul adalah cenderung kepada pandangan atau perspektif manusia manakala benar adalah di sisi dan peandangan Yang Maha Esa. Ertinya kayu ukur benar dan tidak benar ini bukanlah pada pandangan manusia.

Apabila kita bicara tentang peranan guru sebagai mursyid, maka kita perlu menjadi seorang guru yang mendidik dalam menyampaikan kebenaran. Bukan sekadar menyatakan apa yang betul tetapi sampaikanlah apa yang benar. Mungkin apa yang betul itu tidak benar pada pandangan manusia lain. Contohnya, agama Islam adalah agama yang benar, tetapi ada segelintir pihak yang merasakan ianya tidak betul dengan cara pandang mereka.

Nabi Ibrahim AS juga disebut memiliki ‘rushd’ kerana Nabi Ibrahim AS sebelum kenabian telah dikurniakan ilham oleh Allah SWT agar Baginda tidak terkeliru.

Terdapat 2 kayu ukur seseorang guru yang bersifat mursyid. Pertamanya adalah apa yang kita sampaikan daripada Al-Quran itu efektif dan terkesan di dalam hati. Sebagai contoh, apabila Nabi Muhammad SAW membacakan ayat-ayat suci Al-Quran lantas jin akan tersentuh dengan apa yang dibacakan oleh Baginda SAW.

Kayu ukur yang kedua, apabila anak murid terkesan dengan ayat Allah SWT yang disampaikan oleh seorang guru, dia bukan semata-mata dengar dan terkesan tetapi lebih daripada itu ingin menyebarkan apa yang didengarnya oleh lisan para guru yang mursyid. Begitulah seperti apa yang berlaku ke atas jin yang diceritakan menerusi surah Al-Ahqaaf ayat 29 yang bermaksud : Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): \”Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!\” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Kita mahukan didikan agama kepada anak-anak kita bukan hanya dilakukan oleh guru-guru agama dan kita mahu sekiranya didikan agama biar terkesan di dalam hati seterusnya mereka mampu menyebarkan ilmu-ilmu tersebut kepada insan-insan lain.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Mei 2016
Scroll to Top