AGENSI AGAMA SALUR BANTUAN RM184,700 KEPADA MANGSA RIBUT DI KUALA LANGAT

KUALA LANGAT, 17 Okt (IKIM) — Sebanyak RM184,700 disalurkan kepada mangsa ribut di daerah ini menerusi inisiatif bersama tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu penduduk yang terjejas serta membaik pulih infrastruktur yang rosak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan itu merupakan hasil penyelarasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Taqwa dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) susulan kejadian ribut yang mengakibatkan kerosakan teruk di Surau Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan yang turut mencederakan 13 pelajar.

Beliau berkata JAKIM menyalurkan batuan sebanyak RM86,400 termasuk tunai RM500 kepada 65 ketua isi rumah, RM300 kepada 13 pelajar yang cedera, dan RM50,000 bagi kerja baik pulih surau terbabit.

Sementara itu, Yayasan Taqwa menyalurkan RM65,000, masing-masing RM1,000 kepada 65 ketua isi rumah.

YaPEIM pula menyediakan bantuan bernilai RM33,300 termasuk bakul makanan, bantuan tunai kepada pelajar cedera serta peruntukan RM20,000 bagi membaik pulih surau.

“Bantuan ini mencerminkan prinsip Ihsan dalam gagasan Malaysia MADANI, yang menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika menziarahi keluarga mangsa dan meninjau kawasan terjejas hari ini.

Mohd Na’im turut menyeru masyarakat, institusi masjid dan surau, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor swasta supaya terus berganding bahu membantu mereka yang terkesan.

“Musibah ini wajar dijadikan pengajaran untuk memperkukuh ukhuwah dan solidariti sesama komuniti. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, proses pemulihan dapat disegerakan,” ujar beliau. 

Beliau berkata kerajaan MADANI akan terus cakna dan prihatin terhadap kebajikan rakyat, serta memastikan surau dan sekolah agama yang terjejas dapat beroperasi semula dalam masa terdekat.

Foto: Media Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top