Views: 1,029
KUALA LUMPUR, 3 Jan (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengumumkan bermula Januari 2024, Radio IKIM dikenali dengan IKIMfm sebagai penjenamaan semula dalam menyasarkan pelbagai golongan pendengar untuk terus mendapat inspirasi dari setiap rancangan yang disiarkan.
IKIMfm dengan wajah baharu, turut memperkenalkan tagline baharu iaitu ‘Inspirasi Utama Anda’ dengan strategi kandungan yang mengangkat tema inspirasi kepada semua dalam usaha meletakkan radio itu sebagai sumber inspirasi kepada para pendengarnya.
Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad menyifatkan barisan penyampai yang bertenaga dan kandungan rancangan yang lebih segar dengan mengekalkan penyampaian mesej dakwah yang menjadi identiti IKIMfm bagi memacu objektif IKIM dalam menyampaikan kefahaman yang sebenar kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.
Beliau berkata IKIMfm telah melakukan beberapa strategi baharu melalui pengisian kandungan rancangan yang lebih banyak menyentuh isu-isu semasa dan terkini dengan semangat untuk menyalurkan maklumat terkini selain penampilan wajah-wajah baharu sebagai baris hadapan IKIMfm.
Pendengar IKIMfm akan disajikan dengan siri rancangan pengajian kitab Bicara Darah Wanita, Isnin pukul 10.00 pagi, Eksplorasi Minhaj, Khamis pukul 3.10 petang serta Rancangan Mutiara Hadis yang membicarakan tentang Hadis 40 Imam Nawawi, Jumaat pukul 3.10 petang.
Mengulas lanjut Ahmad Fuad berkata IKIMfm akan menjadi media yang kehadapan dalam membincangkan isu-isu Palestin sebagai isu ummah yang tidak hanya diperkatakan mengikut musim, tetapi akan dibicarakan sepanjang tahun melalui rancangan Cinta Palestin, Khamis pukul 8.30 pagi.
Selain itu, IKIMfm akan menambahbaik beberapa rancangan antaranya rancangan berbentuk pengajian tafsir al-Quran menerusi Rancangan Lembayung Al-Quran bersama Datuk Dr. Zahazan Mohamad, setiap hari pukul 6.40 pagi.
“Perubahan positif ini diharap akan mengukuhkan lagi jenama IKIMfm dan menjadi misi utama kami agar setiap rancangan yang disiarkan bakal memberi manfaat kepada masyarakat terutama kepada pendengar IKIMfm sendiri sekaligus sebagai satu usaha melebar luas ruang pemasaran kepada pengiklan yang berminat memasarkan produk mereka di radio IKIMfm”.
IKIMfm juga menyediakan platform audio podcast daripada rancangan yang bersiaran di IKIMfm sebagai pilihan pendengar bagi mengikuti rancangan-rancangan di radio secara lebih kerap mengikut keperluan dan kehendak semasa.