Mekah, 29 Mei (IKIM) – Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi baru-baru ini mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya ribut pasir, hujan lebat dan juga banjir kilat di kebanyakan wilayah di Arab Saudi sehingga 31 Mei ini. Oleh itu, orang ramai, termasuk jemaah haji dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika fenomena hujan lebat berlaku bagi mengelakkan insiden luar jangka.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH telah melaksanakan perancangan dan persediaan untuk menghadapi situasi tersebut. Tambah beliau lagi,”TH telah memuat turun amaran-amaran ini di dalam aplikasi THhujjaj yang telahpun di muatnaik di telefon pintar Jemaah haji bagi mereka mendapat maklumat-maklumat terkini supaya mereka dapat mengambil langkah sewajarnya serta dapat merancang aktiviti dan perlaksanaan ibadah mereka”.
Selain itu, maklumat ini juga disebarkan menerusi whatsapp group yang di wujudkan bagi setiap penerbangan dan pihak TH samada di maktab dan di zon juga sentiasa memantau dan memerhati pergerakan para Jemaah haji dan sentiasa menasihati mereka supaya tidak keluar dan jika sudah berada di masjid hendaklah terus berada di masjid sehingga keadaan reda.
Dalam masa yang sama, Dato’ Sri Syed Saleh juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional 2023 kepada semua rakan media yang berada di Tanah Suci yang bertugas selaku Petugas Media TH. Katanya,” TH sentiasa mengiktiraf rakan-rakan media ini sebagai rakan strategik di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada para Jemaah haji dan juga orang ramai terutama kepada ahli keluarga di tanah air.”
NORHAYATI PARADI
Melaporkan dari Mekah al-Mukarramah