Malaysia menjadi negara pertama menerima permit operasi hospital di Madinah

Mekah, 30 Mei (IKIM) – Pusat Rawatan Tabung Haji di Madinah menjadikan Malaysia sebagai negara pertama diberi permit untuk menjalankan operasi hospital di Madinah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, “Ini merupakan satu pengiktirafan yang di berikan kepada perkhidmatan kesihatan dan ia menunjukkan bahawa kesediaan Tabung Haji dengan fasiliti serta kemudahan yang ada di Hospital di Madinah ini telah mencapai satu tahap yang tinggi yang membolehkan mereka mendapat permit untuk beroperasi di sana.”

Bagi mendapatkan permit tersebut katanya, Pasukan Kesihatan perlu melalui beberapa saringan, pemeriksaan dan syarat-syarat yang lebih ketat berbanding tahun lepas oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Untuk rekod tahun lepas juga Malaysia muncul sebagai negara pertama mendapat permit kebenaran pengoperasian hospital di Madinah dan juga Mekah.

Dalam perkembangan semasa, Dato’ Sri Syed Saleh berkata, “Buat masa ini, semua Jemaah dalam keadaan yang baik dan hanya ada 8 jemaah haji yang di masukkan ke dalam wad untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tabung Haji dan juga di Hospital Arab Saudi disebabkan jangkitan paru-paru dan seorang daripadanya di masukkan ke wad atas sebab kecederaan pada kaki akibat terjatuh ketika di Madinah.”

Tabung Haji menasihatkan kepada para Jemaah yang mempunyai masalah kesihatan agar mendapatkan rawatan awal di klinik-klinik yang telahpun disediakan di hotel masing-masing supaya tidak mengganggu aktiviti ibadah mereka.

Terdahulu, Dato’ Sri Syed Saleh melaporkan sejumlah 30 penerbangan telah pun berlepas daripada keseluruhan 98 penerbangan yang membawa Jemaah Malaysia ke Tanah Suci sejak mula beroperasi pada 21 Mei lalu. Daripada jumlah 98 penerbangan tersebut, 50 penerbangan akan mendarat di Madinah dan baki 48 penerbangan akan mendarat di Jeddah untuk terus masuk ke Mekah. Penerbangan terakhir di jangka tiba pada 21 Jun 2023.

Sehingga hari ini, sejumlah 9078 orang Jemaah haji telah sampai ke Tanah Suci  masing-masing 2966 di Mekah dan 6112 jemaah di Madinah.

 

NORHAYATI PARADI

Melaporkan dari Mekah al-Mukarramah

Scroll to Top