Rinduku Padamu Ya Rasulullah

BERSEMPENA dengan kehadiran bulan Rabiulawal ini sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan dan peluang untuk memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Nabi Muhammad SAW kerana dengan cara ini seseorang mukmin itu akan dapat menyemarakkan ingatan dan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah SAW.

Menerusi rancangan Islam itu Indah di radio IKIMfm yang bersiaran setiap hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Mohd Meeftah Anuar berkata mulianya seseorang manusia apabila ada jati diri yang tinggi, akhlak yang baik dan tingkah laku yang menyenangkan. Namun jika buruk akhlak seseorang mukmin itu maka buruklah bangsanya, lalu jatuhnya sesuatu bangsa dan negara itu disebabkan oleh perbuatan dan akhlak manusia itu sendiri.

Maka kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah untuk mengembalikan semula peradaban, akhlak, maruah dan ilmu manusia yang pada awalnya penuh dengan sifat-sifat jahiliah yang tidak bertamadun. Allah SWT memilih Nabi Muhammad SAW dengan ciptaan terbaik dari segi fizikal dan kesempurnaan akhlaknya untuk membaiki dan membina manusia yang pada zamannya penuh dengan sifat-sifat mazmumah.

Keindahan akhlak dan perbuatan Nabi Muhammad SAW tiada tolok bandingnya. Baginda adalah sesempurna ciptaanNya untuk diteladani oleh manusia kerana kecantikan akhlak baginda itu akan melahirkan manusia yang jernih iman, tinggi ilmu dan kaya dengan sifat-sifat mahmudah yang seterusnya akan menyumbang kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang tinggi nilai-nilai ketamadunannya.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran menerusi surah al-ahzab ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”.

Kehebatan akhlak Nabi SAW tiada tandingannya dengan manusia lain. Ini jelas dapat dilihat daripada kisah Saidatina Aisyah yang telah ditanya oleh seorang Badwi mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka beliau menjawab; “Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti al-Quran”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Betapa hebatnya akhlak Rasulullah dapat dilihat melalui sebuah riwayat tentang seorang lelaki bernama Adi bin Hatim at-tha’i. Beliau adalah seorang lelaki yang sangat membenci Nabi Muhammad SAW kerana terpengaruh dengan cerita-cerita buruk yang disebarkan ke atas Nabi.  Bagi Adi, tidak ada perkara yang paling dibencinya melainkan ajaran agama Islam dan Nabi Muhammad SAW. Ditakdirkan, beliau bertemu sendiri dengan Nabi Muhammad dan apa yang didapatinya susuk, akhlak, perbuatan dan kata-kata baginda sama sekali berbeza dari apa yang digambarkan dan didengarinya sebelum ini.

Sesungguhnya akhlak baginda sangat luar biasa, sejahat mana pun tingkah laku seseorang manusia itu terhadap dirinya, baginda tetap menyantuni dengan kebaikan. Kebaikan perilaku dan budi bicara Rasulullah SAW ternyata akhirnya mampu melunakkan hati Adi bin Hatim yang pada awalnya penuh kemarahan dan kebencian terhadap Nabi SAW. Akhirnya Adi bin Hatim memeluk agama Islam.

Begitu tinggi keperibadian Rasulullah sehingga mampu menawan sekeras-keras hati manusia. Walau seburuk manapun layanan yang diterima, baginda tetap juga tidak terkesan dengan kejahatan orang lain terhadap diri baginda. Akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah SAW merangkumi seluruh kehidupan yang dilalui oleh Baginda SAW seperti suka memaafkan, bertolak-ansur, sabar, adil, penuh kasih sayang dan rendah hati dalam semua aspek. Sudah pasti ini semua perlu menjadi pegangan yang menyeluruh bagi umat yang kehausan akhlak dan nilai Islam.

Budi pekerti yang dipamerkan oleh Baginda Rasulullah SAW tidak luntur disebabkan kebencian dan kemarahan yang melingkari kehidupan bahkan sering menghiasi diri dengan kesabaran yang menjadi benteng paling utuh dalam memberikan contoh terbaik kepada manusia lain. Justeru, untuk menjadi mukmin yang diredhai Allah dunia akhirat, peganglah akhlak Rasulullah dan ikutilah suri tauladan baginda kerana perbuatan dan akhlak baginda adalah sebaik-baik ciptaanNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Disember 2017
WhatsApp
Scroll to Top