Sombong

SIFAT sombong di kalangan manusia adalah di antara ciri-ciri sifat orang yang munafik.  Ia merupakan perilaku yang menolak kebenaran dan meremehkan orang lain dengan anggapan kelebihan dan kehebatan dirinya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun. Yang lebih menyedihkan ialah apabila ciri-ciri manusia yang mempunyai sifat sedemikian ialah di kalangan mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi dan sangat menjaga amal dan ibadah, dari keturunan yang baik-baik dan memiliki rupa paras yang cantik. Asbab memiliki ciri-ciri istimewa tersebut, manusia terdorong menjadi orang-orang yang sombong di sisi Allah.

Sebagaimana perkongsian oleh Ustazah Muzayyanah Abdullah di dalam slot Tarbiyah di IKIMfm pada setiap Jumaat, pukul 10.15 pagi, beliau mengajak pendengar menghayati firman Allah menerusi surah al-Nisa’, ayat 36: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;” Setiap perkara yang tidak disukai Allah SWT yang dilakukan oleh manusia, maka segala perbuatan itu hanyalah dianggap sebagai sia-sia.

Manakala di dalam surah al-Nahl, ayat 23: “Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur.” Alangkah menakutkan jika diri tergolong di kalangan mereka yang memiliki ilmu, hebat dalam beribadah atau mempunyai kedudukan di dalam masyarakat, lebih mudah terjebak di dalam sifat sombong. Iblis sangat membenci manusia berilmu yang mampu menyebarkan ilmu pengetahuannya dengan ikhlas atau orang yang memiliki kecantikan tetapi mampu memanfaatkannya dengan cara yang halal. Jalanilah kehidupan yang dipenuhi keistimewaan ini dengan menjaganya agar tidak dipandang Allah seperti manusia yang kufur nikmat disebabkan oleh kesombongan diri.

Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa tidak akan masuk syurga seseorang yang mempunyai sifat sombong di hatinya walaupun hanya sebesar zarah. Sekiranya diri diberi pujian, maka segeralah beristighfar kepada Allah agar tidak terus hanyut di dalam keangkuhan dan kesombongan kerana puji-pujian itu hanya layak diberikan kepada-Nya. Sekalipun dibisikkan oleh iblis agar dirinya menjadi orang yang sombong dengan pujian, dia akan terus merasakan dirinya sebagai insan yang kerdil kerana tidak mungkin dapat menandingi kebesaran Allah SWT dan sesungguhnya kesombongan itu mampu dirawat oleh si empunya diri tanpa bantuan orang lain. Dengan menyedari bahawa yang paling layak menerima pujian hanyalah Allah, maka terimalah pujian dengan memanjatkan rasa syukur kepada-Nya, mudah-mudahan pujian yang diterima juga akan menambahkan semangat diri. Namun jangan sesekali hanya mengharapkan pujian semata-mata, seolah-olah tanpanya akan lunturlah semangat untuk melakukan sesuatu. Perkara ini dapat dinilai apabila semakin banyak pujian yang diterima menyebabkan diri semakin bersemangat untuk melakukan sesuatu, maka disitulah terbitnya sifat sombong.

Pujian itu sendiri merupakan rezeki kerana Allah meletakkan hati orang yang dipuji itu untuk memilih sama ada membesarkan dirinya sendiri atau Allah SWT. Seharusnya jadilah manusia yang tidak terkesan dengan pujian mahupun kejian kerana pada hati mereka hanya mencari redha Allah semata-mata. Di dalam keadaan diri yang penuh dengan kemuliaan disebabkan kejayaan dan pujian, berhati-hatilah kerana natijahnya diri akan dicampakkan ke tempat yang keji, malah akan menerima balasan di alam barzakh yang menjadi persinggahan manusia sebelum tibanya Hari Akhirat kelak. Sudah tentunya pada ketika itu, tiada lagi kesombongan apabila berhadapan dengan malaikat Mungkar dan Nangkir. Rasulullah SAW sangat menggalakkan amalan menziarahi kematian kerana padanya manusia akan beroleh ibrah, apabila tubuh yang terbaring kaku itu tidak lagi mampu berbuat apa-apa bermula saat jenazah dimandikan lalu dikapankan, dan kemudian diusung ke tanah perkuburan ia akan dilakukan oleh orang lain tanpa pilihan.

Pada saat itu hilanglah segala kesombongan pada diri manusia, dan ketika berada di dunia ini lagi, kita telah mempertontonkan kepada mereka yang menziarahi jenazah diri kita sendiri bahawa tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan untuk menguruskan diri sendiri. Ia juga membuatkan diri setiap insan yang melihat akan kematian itu untuk menilai kembali bekalan amalan yang bakal dibawa ketika dipanggil kembali menghadap Allah SWT. Malah amalan menziarahi orang yang sakit juga digalakkan Rasulullah kerana sesiapa yang berbuat demikian akan turut diiringi oleh 70,000 malaikat kerana amalan ini dilimpahi rahmat Allah. Iktibar yang diperolehi daripada amalan tersebut membuktikan sehebat manapun manusia ketika sihatnya, akan terhakis sifat sombongnya apabila mereka tidak lagi mampu berbuat apa-apa ketika terlantar kesakitan.

Selain itu dengan memiliki sahabat yang baik mampu menghindarkan diri dari kesombongan kerana mereka akan berusaha menegur setiap perbuatan yang dilakukan sahabatnya sebelum terjebak ke arah kesombongan dan terus meninggi diri. Akibat perbuatan terlalu meninggi diri juga akan mengakibatkan mereka yang berada di bawah kedudukan tersebut akan hilang rasa hormat kepadanya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Disember 2017
\"\"
Scroll to Top