Meraih Syurga

DI dalam kehidupan manusia jangan sesekali hanya berangan-angan, tetapi berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapat tempat menghuni syurga Allah. Kesilapan menyintai dunia dan mengikut hawa nafsu ketika menjalani kehidupan hanya akan memusnahkan impian manusia untuk beroleh ganjaran istimewa pada Hari Akhirat kelak. Sebagaimana peringatan oleh Allah di dalam firman-Nya di dalam surah al-Imraan, ayat 133: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;”

Tanda-tanda yang menunjukkan manusia itu di kalangan mereka yang bertaqwa dan bakal menghuni syurga ialah amalan mereka yang rajin bertaubat kepada Allah SWT. Walau apa jua kesilapan dan dosa yang dilakukan manusia, janganlah berputus-asa dan jemu untuk memohon keampunan daripada-Nya. Malas bertaubat membuktikan manusia juga malas untuk masuk ke dalam syurga kerana sesungguhnya agama menggalakkan manusia meraih ganjaran walau apa cara sekalipun.

Di antara usaha yang boleh dilakukan oleh manusia untuk meraih ganjaran syurga ialah dengan melakukan taubat yang berterusan kerana tidak ada seorang pun manusia biasa yang terkecuali daripada melakukan kesalahan dan dosa. Malah berlumbalah di dalam kehidupan di dunia ini dan tidak melepaskan peluang untuk memohon keampunan Allah, sesungguhnya mereka yang melakukan taubat adalah di kalangan mereka yang dipilih oleh Allah SWT.

Selain itu amalan rajin bertamu di rumah Allah dan menghidupkan majlis ilmu adalah tanda bagi manusia yang bakal meraih ganjaran syurga yang dapat dilihat sejak mereka hidup di dunia lagi. Mereka yang sentiasa berada di dalam majlis-majlis ilmu adalah di kalangan orang yang terpilih kerana pada hakikatnya ia merupakan amalan yang sukar dilakukan. Peringatan yang diperolehi menerusi tazkirah, kuliah-kuliah di dalam majlis ilmu memberi manfaat syurga kepada ahlinya.

Menerusi slot Mau’izati di IKIMfm pada hari Khamis jam 5 petang bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, beliau turut berkongsi bahawa amalan sentiasa membantu orang lain akan dapat meraih ganjaran syurga. Apabila membantu orang lain terutamanya di dalam permasalahan agama dan kehidupan tanpa mengharapkan sebarang pujian dan balasan, Allah akan membantu mereka agar dipermudahkan jalan masuk ke syurga.

Abu Bakar as-Syafie meriwayatkan daripada Qulaib bin Har yang menyebut bahawa Rasulullah bersabda, “Carilah syurga sekuat tenaga kamu, kamu perlu berani mengatakan tidak kepada perkara yang mendatangkan dosa, berani menadahkan tangan setinggi mungkin, menangis teresak-esak kepada Allah. Manakala neraka, kamu larilah sekuat mungkin daripadanya. Sesungguhnya mencari syurga itu tidak sepatutnya ia hidup di dalam keadaan terburu-buru, dan orang yang ingin lari daripada neraka itu tidak sepatutnya mereka hidup di dalam keadaan tergesa-gesa atau hanya melakukan amalan secara ala kadar.”

Tanda lain yang dapat dilihat di kalangan mereka yang meraih syurga ialah rajin membaca al-Quran. Sekiranya tidak mampu membaca al-Quran maka perbanyakkanlah berzikir. Bertadabburlah dan menghalusi ayat-ayat al-Quran sehingga dapat merasai sendiri kemanisan hidup di dalam beragama. Nikmat yang dirasai apabila sering membaca al-Quran tidak dapat dibayangkan keindahannya kerana ia merupakan mukjizat agung yang Allah berikan kepada manusia. Tetapi sebaliknya manusia tidak merasai kehebatan al-Quran kerana dibelenggu kemalasan. Oleh itu untuk merasai diri dekat dengan Allah, maka lakukanlah sesuatu yang dapat mendekatkan diri dengan perkara yang dicintai Allah.

Orang yang meraih syurga Allah akan menyambung silaturrahim dengan seramai mungkin manusia ketika hidupnya. Ini kerana semakin ramai orang yang dekat dengan dirinya, semoga ramai juga yang mendoakan dirinya. Sehingga Rasulullah mengingatkan bahawa tidak akan masuk syurga bagi orang yang hidup di atas dunia ini, memutuskan silaturrahim. Dengan menyambung silaturrahim akan melayakkan dirinya untuk memperolehi ganjaran syurga.

Syurga yang disediakan oleh Allah ialah syurga Firdaus yang merupakan ganjaran tertinggi kepada penghuninya. Orang yang beriman kepada Allah dan hidupnya sentiasa beramal soleh telah disediakan syurga Firdaus sebagai tempat tinggal dan mereka akan tinggal kekal di dalamnya buat selama-lamanya dan mereka tidak akan berpindah ke tempat yang lain. Surah al-Mukminun, ayat 10-11: “Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Syurga kedua tertinggi ialah syurga Adni, sebagimana firman Allah di dalam surah Saad, ayat 49-54: “(Segala sifat-sifat yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak), -Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka; (Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya. Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya.  Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal! Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis;”

Syurga ketiga ialah syurga Khuld, sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Furqan, ayat 15-16: “Bertanyalah (kepada mereka): \”Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?\” Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali. Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).”

Syurga seterusnya ialah syurga Makwa yang dijelaskan di dalam surah al-Najm, ayat 13-16: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi \”Sidratul-Muntaha\”; Yang di sisinya terletak Syurga \”Jannatul-Makwa\”. (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa \” Sidratul Muntaha\” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Ogos 2017
WhatsApp
Scroll to Top