Korbankan Ismailmu

SETIAP sisipan kehidupan manusia tidak akan pernah sunyi dari pelbagai ujian dan cabaran. Justeru, dalam menangani segala kesulitan dan kesukaran hidup, hanya hati yang cekal mampu melaluinya. Hati yang kuat dan utuh hanya mampu diperolehi melalui bersujud kepada Allah SWT kerana hanya DIA tempat untuk memohon dan meminta pertolongan.

Menurut Ustaz Pahrol Hj. Juoi melalui rancangan Islam Itu Indah, setiap hamparan ujian dalam kehidupan perlu ada penyelesaiannya. Bahkan jarak antara masalah dan penyelesaian adalah antara dahi dan tempat sujud. Ini bererti untuk mendapat kekuatan dalam mencari penyelesaian masalah sama ada kecil atau besar adalah dengan bersujud kepadaNya kerana hanya Allah SWT yang memiliki segala-galanya. Namun demikian, bagi sesetengah orang, bukan mudah untuk bersujud meminta kepadaNya kerana untuk sujud bukan kerja dahi tetapi sujud itu adalah kerja hati. Oleh itu, hati yang jauh dari Allah sudah pasti tidak mampu untuk bersujud kepadaNya. Manakala hati yang ada rasa cinta akan mudah untuk merintih, meminta dan bersujud kepadaNya.

Sesungguhnya dalam hati itulah wujudnya sebuah cinta. Cinta yang hakiki iaitu cinta yang hanya kepada Allah SWT akan mengatasi segala-gala cinta kepada yang lain. Ini kerana apabila kita memberi cinta kepada Allah secara sepenuhnya, cinta terhadap perkara lain tidak lagi menjadi bermakna kerana cinta Allah itu sudah mencukupi untuk kita.

Sebagaimana amalan Nabi Ibrahim a.s yang kemudian diajar oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh umatnya adalah “Aku memohon cintaMu, aku memohon cinta orang yang mencintaiMu, aku memohon segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMU”. Oleh itu, apabila kita mencintai Allah bererti kita memiliki segala-galanya. Pada Allah ada kasih sayang, ada keadilan, ada kebaikan, ada kekuatan, ada kekayaan, ada kecukupan dan ada segala-galanya yang diperlukan oleh setiap manusia.

Manusia yang lemah tidak akan mampu melalui hidup ini tanpa pertolongan Allah SWT. Lalu, dengan cinta Allah akan mendekatkan manusia kepadaNya seterusnya hanya dengan cinta Allah memberi kekuatan kepada mukmin untuk mendepani kesukaran dalam hidup ini.

Tetapi lumrah kehidupan sesuatu yang berharga itu bukan mudah untuk diperolehi, umpamanya antara permata dan kaca sudah pasti kaca itu lebih senang dibeli berbanding permata. Begitu juga antara pasir dan emas, pasir ada di merata-rata sedangkan emas hanya berbilang dan mereka yang berkemampuan sahaja mampu memiliki.

Begitulah aturan atau sunatullah hidup ini, apabila kita telah medapat sesuatu yang bernilai (cinta Allah), kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang lain. Dengan kata lain, apabila kita ingin sesuatu, kita juga perlu melepaskan sesuatu. Seperti kata bijak pandai, musuh perkara yang sangat penting adalah perkara yang penting dan musuh kepada perkara yang sangat berharga adalah perkara yang berharga. Oleh itu, dalam membuat pilihan dan keputusan kita sering berdepan kesukaran kerana terpaksa melakukan pengorbanan. Namun dalam kita membuat pilihan, pilihlah perkara-perkara yang akan mendekatkan kita dengan cinta Allah SWT.

Dalam hidup, kita tidak akan memiliki semuanya. Justeru bagi seseorang mukmin dalam membuat pengorbanan dalam pilihan, biarlah kita berkorban untuk memperolehi sesuatu yang lebih berharga dari apa yang kita hilang. Begitu juga dengan semangat pengorbanan yang dididik melalui peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh ayahandanya Nabi Ibrahim as. Pengorbanan yang mahu dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah untuk meraih cinta Allah yang sangat tinggi. Beliau sanggup mengorbankan segalanya demi cinta Allah SWT.

Tingginya nilai cinta Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail terhadap cinta Allah SWT tiada galang ganti. Akhirnya ketaatan terhadap perintah Allah SWT atas nama cinta itu berbalas dengan nikmat syurga yang tiada penghujung. Justeru, keluhuran sebuah pengorbanan atas nama cinta agung hanya untuk Allah SWT wajar diikuti dan dijadikan pedoman untuk kita semua. Falsafah melalui peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim adalah, sesungguhnya apabila kita mengorbankan cinta yang kecil, cinta yang lebih besar akan dapat kita miliki, dan cinta yang kecil yang telah dikorbankan akan kembali kepada diri kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Ogos 2017
Scroll to Top