SELAIN sangat mendalami ilmu keagamaan, Imam As-Syafie juga sangat mahir dalam ilmu keturunan. Perihal mengenai Imam As-Syafie dikongsikan lagi oleh Ustaz Muhadir Hj. Joll menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfmm setiap Isnin, jam 5.15 petang. Ustaz Muhadir berkongsi betapa penting ilmu nasab untuk dipelajari agar kita memahami asal usul keturunan bagi mengelakkan perkahwinan yang tidak sah serta bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Mus’ab bin Abdillah mengatakan “Aku tidak pernah melihat orang yang paling bijak dan pandai tentang nasab keturunan seseorang itu melainkan Imam As-Syafie. Menurut Yunus As-Sadafi “Imam Syafie apabila bercakap tentang keturunan, seolah-olah beliaulah yang membuat keturunan tersebut.
Selain menguasai ilmu feqah dan nasab, Imam As-Syafie juga turut menguasai ilmu hadith. Imam Al-Humaidi berkata, Imam As-Syafie sedang meriwayatkan sebuah hadith lalu Imam Humaidi mengatakan “Kamu menggunakn hadith juga sebagai hujah?” Lalu Imam As-Syafie menjawab “Apakah kamu katakan begini seolah-olah kamu melihat aku baru keluar dari gereja? Tidak mungkin aku menghafal dan mengetahui hadith lalu tidak berhujah dengannya”.
Itu antara kisah ilmu yang dikuasai oleh Imam As-Syafie. Ustaz turut berkongsi mengenai ibadah dan solat Imam As-Syafie. Sheikh Ibrahim Ibn Muhammad As-Syafie berkata “Tidak pernah aku lihat orang yang paling sempurna dan bagus melainkan solat Imam As-Syafie”. Perkara ini kerana beliau sangat menguasai ilmu Feqah serta mendalami ilmu hadith. Antara rahsianya juga ialah beliau mempelajari solat tersebut daripada guru yang bersambung sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.
Dari segi wudhu’ Imam As-Syafie, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam berkata “Tidak pernah aku melihat seseorang yang paling sedikit menggunakan air untuk menyempurnakan wudhu’ daripada Imam As-Syafie”. Selain itu, anak murid Imam As-Syafie, Imam Ar-Rabi’ Ibn Sulaiman mengatakan “Imam As-Syafie membahagikan malam kepada tiga : satu pertiga yang pertama adalah untuk menulis, satu pertiga yang kedua beliau akan mendirikan solat dan satu pertiga terakhir beliau akan tidur”.
Manakala dari sudut pemakanan, beliau jarang kenyang. Menurut anak muridnya, Imam Ar-Rabi’ berkata “Aku mendengar Imam As-Syafie berkata :Aku tidak pernah kenyang selama enam belas tahun kecuali sekali sahaja aku kenyang”. Imam Abi Hatim menambah kata-kata Imam Syafie “..kerana kenyang memberatkan badan, mengeraskan hati, menghilangkan kecerdikan, menyebabkan tidur dan melemahkan badan untuk beramal ibadah.
Antara perkara lain dalam kisah kehidupan Imam As-Syafie yang boleh dijadikan contoh dalam kita mengisi kehidupan ini antaranya beliau tidak pernah bersumpah sama ada perkara itu benar atau sebaliknya. Imam As-Syafie pernah mengatakan “Aku tidak pernah bersumpah atas nama Allah SWT sama ada atas perkara benar atau perkara dusta”. Ini kerana beliau sangat mengagungkan kalimah Allah SWT. Sudah pasti orang yang sangat menjaga nama Allah SWT tidak akan menggunakan nama Allah dalam percakapan harian untuk mengukuhkan hujahnya.
Imam As-Syafie merupakan individu yang sangat dermawan. Imam As-Syafie dilahirkan dalam keadaan keluarga yang tidak begitu mewah. Abu Daud mengatakan “Abu Saur telah berkata kepadaku : Imam As-Syafie sangat jarang memegang sesuatu seperti duit ataupun harta kerana lapang dada dan kedermawanan beliau”. Imam Ar-Rabi’ pernah menemani Imam As-Syafie dalam satu perjalanan. Satu ketika, saat Imam Syafie mahu naik ke kudanya, datang seorang pemuda dan membantu Imam Syafie untuk naik ke kuda. Imam Syafie kemudian berakata kepada anak muridnya “Wahai Rabi’, bagi padanya empat dinar dan katakan aku memohon maaf kerana sedikit sahaja pemberian kerana itu sahaja yang ada”.
Satu lagi kisah kedermawanan Imam As-Syafie dapat kita lihat ketika kisah perkahwinan anak muridnya, Imam Ar-Rabi’. Imam As-Syafie bertanya kepada anak muridya “Berapa kamu guna duit untuk perkahwinan?”. Kata Imam Ar-Rabi’ “tiga puluh dinar. Aku beri dulu enam”. Imam Syafie bila mendengarkan terdapat lagi baki yang belum ditunaikan, beliau kemudian terus memberikan 24 dinar kepada Imam Ar-Rabi’ untuk selesaikan semua perbelanjaan perkahwinan. Ini jelas menunjukkan betapa pemurahnya Imam As-Syafie. Banyak kisah pengalaman dan perjalanan hidup Imam As-Syafie yang boleh kita jadikan contoh dan panduan untuk kita sentiasa beramal. Sekiranya tak mampu kita tunaikan semua, agar kita tidak terus tinggalkan semua.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Julai 2017