Penyakit Lalai

HIDUP ini antaranya adalah tentang seni membuat keputusan. Siapa yang membuat keputusan yang tepat dan cepat akan berjaya dalam hidup. Tepat dan cepat bagi orang Islam berpandu kepada al-Quran dan as-sunnah.  Bermakna setiap keputusan yang diambil berpandu mengikut kesukaan dan redha Allah  SWT.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata untuk membuat keputusan yang tepat dan cepat bukan suatu yang mudah melainkan mendapat pertolongan Allah SWT. Syarat untuk mendapat pertolongan Allah SWT adalah hati yang lapang dan tenang, justeru segala akan dipermudahkannya jika hati kita sentiasa lapang dan berada dalam situasi yang selalu mengingati Allah.

Berbicara tentang membuat keputusan dalam hidup, ianya ada kaitan dengan bagaimana kita mengurus kehidupan ini. Jika kita bijak menyusun dan mengatur kehidupan selaras dengan apa yang dituntut agama sudah pasti kita akan mendapat kesudahan hidup yang baik. Tetapi jika perjalanan hidup penuh dengan kelalaian kepada Allah hidup ini akan menjadi sia-sia.

Dalam konteks kelalaian (ghaflah) akan menyebabkan kita menderita dunia dan akhirat. Bahkan kelalaian adalah satu penyakit hati yang amat bahaya kerana sifat ghaflah ini permulaan kepada penyakit-penyakit hati yang lain.

Ghaflaah itu adalah satu penyakit lalai yang akan mematikan hati sehingga tidak lagi dapat melihat kebaikan dan kejernihan dalam sudut pandang yang penting dalam hidup. Perkara-perkara yang besar dan penting telah terganggu kepada perkara yang picisan, remeh, pinggiran dan tidak bermanfaat. Sehingga menjadikan kita alpa untuk membuat pertimbangan dan penilaian akan hal-hal yang penting atau sebaliknya.

Justeru Allah SWT menegaskan dalam al-Quran menerusi surah An-Nahl ayat 108 bermaksud “Mereka itulah orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang lalai”. Sebenarnya seseorang mukmin itu berkemungkinan boleh menjadi orang yang ghaflah jika hatinya berada dalam kondisi kelalaian iaitu tidak mengingati Allah SWT. Begitu juga pendengaran dan penglihatan yang tidak mengambil iktibar atas setiap apa yang terjadi.

Manakala perkara yang sinonim dengan lalai adalah ghalib, hilang fokus atau tidak kisah kerana hati telah terjauh dari perkara-perkara yang membawa kepada perbuatan untuk mengingati Allah SWT. Lalai juga kerana hati yang tidak fokus terhadap perkara yang penting. Sifat lalai ini akan menjadi semakin parah apabila manusia tidak lagi memberi perhatian kepada Allah sebaliknya lebih tertarik kepada perhatian manusia. Lalai kepada akhirat kerana tertumpu kepada dunia, lalai kepada kematian kerana terlalu fokus kepada kehidupan yang tidak kekal. Dengan kata lain, manusia hanya tertumpu kepada hal-hal keduniaan sehingga lupa akan perkara-perkara akhirat tempat kekal abadi.

Hakikatnya kesan lalai amatlah memudaratkan. Sebenarnya lalai ini boleh diibaratkan seperti pembunuh senyap. Ini kerana orang yang lalai tidak begitu terserlah seperti orang yang mengumpat atau menipu. Bagaimanapun lalai merupakan penyakit hati yang jika tidak dirawat boleh merosakkan amal ibadah seseorang mukmin.

Paling merisaukan penyakit lalai ini jika tidak dirawat lama kelamaan akan merosakkan hati sehingga pada hujungnya kesan lalai menyebabklan hati menjadi hitam. Lalai yang teruk boleh menyebabkan hati menjadi luntur kepada perkara yang bersifat ibadah. Penyakit ini membunuh segala kebaikan dan ibadat kita. Kita akan hilang arah dan hilang fokus dalam hidup. Orang yang hilang arah menyebabkan hidupnya letih, lesu dan buntu.

Begitu juga orang yang terlalu mengejar dunia menjadi tertekan dan hilang arah. Malah merasa letih dengan karenah dunia. Namun kesan lain yang paling menakutkan bagi orang yang ada ghaflah adalah dikuatiri mati dalam keadaan su’ul khatimah iaitu mati dalam keadaan buruk.

Justeru, penghayatan terhadap setiap perkara yang dilakukan amat penting. Berubahlah dalam setiap amalan dengan istiqamah walau sedikit agar kita tidak tergolong dalam orang yang lalai. Rapatkan diri dengan al-Quran, tingkatkan amal ibadah, bersamalah dengan sahabat atau ahli zikir agar kita selalu terbawa kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri dengan Allah. Berdoalah kepada Allah agar dikurniai sahabat-sahabat yang selalu mengajak kita untuk hampir kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Julai 2017
\"\"
Scroll to Top