TANGGUNGJAWAB lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34). Dalam institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding wanita.
Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al – Amin menyatakan bahawa Islam mensyaratkan lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Suami perlu bertindak sebagai pemerintah yang bertanggungjawab terhadap pemerintahannya iaitu keluarganya . Suamilah yang akan membuat keputusan yang melibatkan keluarganya. Suami juga hendaklah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan ahli keluarganya iaitu isteri serta anak-anaknya. Tanggungjawab yang dipikul ini adalah besar. Oleh itu, suami hendaklah memiliki kekuatan dalam membuat keputusan dalam rumahtangga.
Hal ini penting kerana kerana manusia yang lemah dalam hidupnya adalah mereka yang tidak mampu membuat keputusan manakala manusia yang dlam kerugian diibaratkan sebagai manusia yang silap dalam memberikan keputusan. Seterusnya, suami juga mesti mengakui kesilapannya sendiri, buat perubahan tingkah laku. Malah, sebagai seorang suami mestilah melaksanakan ssegala tanggungjawab dengan sempurna dan membentuk kepimpinan pada diri suami sendiri.
Di samping segala usaha dilakukan suami mesti berdoa dan bertawakal kepada Allah. Tidak dinafikan, kebahagiaan hidup sebuah keluarga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam menjalinkan perhubungan suami isteri. Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan melahirkan ketegangan dan konflik. Justeru, sesuai dengan tanggungjawab dan penghormatan yang begitu tinggi diberikan kepada suami maka dia berkewajipan untuk mencari jalan bagi mengatasi persoalan-persoalan yang timbul di dalam rumahtangganya, termasuklah bila berlaku sebarang pertengkaran dalam rumahtangga dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Menurut Muhammad, seorang suami juga harus mengetahui hak isteri dan batasan-batasan yang perlu diberikan . Perlu diketahui bahawa di antara hak isteri yang paling utama ialah memberikannya nafkah. Menafkahi isteri adalah bentuk ibadah dan taqarub paling besar yang boleh dilakukan seorang hamba. Nafkah itu sendiri mencakupi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, dan segala yang diperlukan oleh isteri baik jasmaninya mahu pun rohaninya.
Namun masih ada isteri mengeluh kerana suami dianggap kurang dalam menafkahinya. Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa lelakilah yang berkewajipan memenuhi keperluan wanita. Oleh sebab itu, lelaki juga memiliki hak kepemimpinan dan keutamaan dibandingkan wanita, kerana lelaki jugalah yang memberi nafkah kepada mereka, dalam bentuk mahar. Allah SWT berfirman: “…Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang maaruf.
Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya….”(Surah Al-Baqarah ,ayat 233). Di samping itu, suami disaran untuk menguruskan nafsu syahwatnya dengan bijak iaitu dengan mengelakkan diri melakukan sesuatu yang haram di sisi ajaran Islam . Misalnya dengan melayari bahan-bahan lucah di internet. Tugas mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan tugas yang mudah. Itulah sifat sebuah peperiksaan penting lagi besar, kehidupan dan cabaran yang diberikan oleh Allah SWT . Bagi yang berjaya, tempatnya amat hebat di Syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Bernikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Tetapi, terdapat sebahagian suami yang ingin menerapkan syariat tersebut atau telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang tidak memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang suami itu tidak mampu melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjurus kepada kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan masa depan anak-anak dan menambah permasalahan keluarga dan juga kepada masyarakat.
Di dalam sebuah kehidupan berumahtangga, pasti ada pasang dan surutnya kerana tidak ada seorang pun manusia yang sempurna. Ada kekurangan diri bagi pihak suami dan isteri.. Manusia yang merancang tetapi Allah yang menentukan, ada juga badai yang melanda alam rumahtangga,kadang-kadang masalah tersebut datangnya daripada orang luar atau pihak ketiga yang berkemungkinan menyimpan dendam, marah dan sebagainya untuk memporak perandakan rumahtangga dengan menggunakan sihir.Oleh itu, dalam menangani situasi sebegini, disaran suami untuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti solat sunat tahajud, taubat, Dhuha dan sebagainya dan perbanyakkan membaca Al Quran.Sentiasa berdoa agar Allah mengampuni dosa-dosa kita dan mengabulkan segala permohonan. Marilah sama-sama kita perbaiki hubungan mesra dan kasih sayang di anara kita sebagai suami dan isteri. Suami yang bertanggungjawab akan memahami dan menjaga hubungan yang baik dengan isterinya, begitu juga isteri yang solehah akan sentiasa taat kepada suami , menjaga kehormatan diri dan sentiasa meneruskan tarbiah mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 April 2017