Ada Apa Dengan Cinta

DALAM rancangan Topik Jumaat minggu ini jam 9 pagi yang disiarkan secara langsung di radio IKIMfm, Sheikh Rohimuddin Nawawi al-Bentani seorang ulama terkenal dari Indonesia mengupas tentang tajuk “Ada apa pada Cinta”. Cinta, ujarnya terbahagi kepada dua iaitu cinta yang lahir kerana hawa nafsu dan cinta yang tulus kerana Allah SWT. Manakala objek yang dicintai pula ada kalanya kerana “zat” atau diri itu sendiri, dan ada kalanya kerana sifat luaran diri itu.  Mafhum hadith Baginda SAW menyebut bahawa seorang wanita itu kebiasaannya dinikahi kerana tiga perkara; iaitu rupa parasnya, ketururannya, hartanya dan agamanya maka pilihlah agama kerana itu yang selamat. Jika diperhatikan bahawa rupa paras dan harta sifat kedua-duanya adalah luaran dan akan habis dan binasa lama kelamaan. Perempuan yang cantik di usia gadisnya, lama kelamaan tidak lagi cantik di usia emas atau apabila sudah bercucu cicit. Seorang yang memiliki harta juga tidak akan kekal, harta yang banyak juga berkemungkinan akan habis suatu masa nanti.  Lalu yang kekal ialah orang yang memiliki agama. Kenapa cinta kepada orang yang memiliki agama itu lebih kekal berbanding kepada cinta kepada rupa paras dan harta benda. Kerana orang yang memiliki agama itu memiliki unsur-unsur kesempurnaan dan kesempurnaan itu adalah sifat Allah SWT, dan apabila hamba berakhlak sepertimana tuntutan agama, maka ia akan kekal abadi, tidak akan luntur dan rosak kerana peredaran zaman.
Hari ini kebanyakan percintaan adalah kerana nafsu syahwat, untuk memenuhi keinginan diri sendiri. Seorang yang menyintai perempuan yang cantik hakikatnya ingin memenuhi keinginan nafsunya sendiri, agar dia dapat memeluknya dan berbuat apa yang diingini oleh nafsunya bukan kerana benar-benar menyintai zat wanita itu. Sebab itu Islam menganjurkan agar meletakkan kecintaan kepada Allah SWT sebagai cinta yang paling utama, manakala kecintaan kepada selain Allah SWT itu adalah kerana perintah Allah SWT agar menyintainya. Maka dengan sedemikianlah ianya akan menjadi cinta yang hakiki.
Hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan samada bagi pasangan yang berzina atau bagi pasangan yang telah berkahwin dari segi perbuatan kedua-duanya  sama sahaja, tetapi dari segi niat ianya berbeza. Yang berzina itu kerana mengikut hawa nafsu syahwat dan bisikan iblis sedangkan yang berkahwin itu kerana mengikut perintah Allah SWT dan hubungan itu diberkati dan didoakan oleh para malaikat. Yang berzina mendapat dosa dan akan diazab sedangkan perlakuan yang sama oleh pasangan yang telah berkahwin mendapat pahala di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran di Akhirat kelak.
Cinta yang hakiki ialah cinta kepada Allah SWT dan kita tidak akan mampu menyintai Allah SWT tanpa menyintai dan mencontohi Baginda SAW. Ini sepertimana yang disebut dalam al-Qur’an mafhumnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu menyintai Allah SWT, maka ikutklah aku (Muhammad), nescaya kamu akan dicintai oleh Allah SWT” (Surah al-Imran: 31). Mengikut dan mencontohi Nabi Muhammad SAW itu merupakan kunci kepada menyintai Allah dan kita tidak akan mampu menyintai Allah dan dicintai Allah SWT melainkan tanpa menyintai dan mencontohi Baginda SAW.  Mencontohi Nabi Muhammad SAW bermaksud mencontohi setiap perilaku Baginda SAW samada perbuatan Baginda, diamnya, persetujuannya atau dalam ertikata lain akhlak Baginda SAW secara keseluruhannya. Dalam realiti kehidupan kita seharian pun, seseorang itu akan menyintai orang yang memiliki persamaan personaliti, peribadi dengannya. Perompak akan suka dengan perompak, orang alim akan suka dengan orang alim,  kerana masing-masing mempunyai banyak persamaan satu sama lain. Lalu jika kita ingin dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya SAW, maka kita hendaklah memiliki persamaan dari segi akhlak dengan Baginda SAW, maka barulah kita akan dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya SAW. Inilah yang dikatakan cinta hakiki kerana kecintaan ini bukan cinta luaran, tetapi dalaman dan inilah kecintaan yang paling sempurna sekali. Maka apabila seseorang itu telah menyintai Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai cinta yang utama, maka apa jua “kecintaannya” terhadap makhluk atau harta perhiasan duniawi adalah demi kerana menurut perintah Allah SWT. Justeru, tidak salah untuk dia “menyintai” isteri dan anak-anaknya, atau harta bendanya selama kecintaan itu kerana Allah SWT. Lantaran itu kita menemui sabda Baginda SAW, mafhumnya “Sebaik-baik harta yang baik ialah di tangan lelaki yang Soleh” (HR: Imam Ahmad). Sheikh Rohimuddin menutup dengan memberi gambaran misalan bagaimana seorang lelaki yang menyintai seorang gadis dari daerah Gombak, lalu apa sahaja yang berkaitan dengan Gombak akan disukai dan dicintainya, begitu jugalah apabila seseorang itu telah menyintai Allah SWT maka apa sahaja yang terkait dengan Allah SWT, termasuk makhluk yang diciptanya maka akan turut dicintainya kerana ia mengingatkan kepada yang dicintainya, iaitu Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 April 2017
\"\"
Scroll to Top