Nukman bin Muqarrin al-Muzani

MENERUSI segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin jam 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai seorang panglima perang di zaman Saidina Umar al-Khattab, Saidina Nukman bin Muqarrin al-Muzani. Di antara kata-kata Saidina Abdullah bin Mas’ud, beliau mengatakan “keimanan itu memiliki rumah dan kemunafikan itu juga memiliki rumah. Rumah Bani Muqarrin, iaitu kabilah kepada Nukman, adalah termasuk salah satu daripada rumah keimanan”. Kabilah Muzainah tinggal tidak jauh dari Kota Madinah, terletak di antara laluan Makkah ke Madinah. Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, khabar tentang Baginda sentiasa sampai ke perkampungan Muzainah melalui orang-orang yang berulang-alik ke Madinah. Sudah semestinya, hanya khabar baik sahaja yang didengari tentang Baginda SAW.
Pada suatu petang, pemimpin Kabilah Muzainah ini, Nukman bin Muqarrin al-Muzani duduk bersama para sahabatnya serta pembesar kabilahnya, lalu beliau berkata kepada mereka “Wahai kaumku, tidak ada yang kita ketahui tentang Muhammad kecuali kebaikan sahaja. Tiada yang kita dengar tentangnya, selain kasih sayang, kebaikan dan keadilan. Mengapa kita masih berlengah-lengah sedangkan orang ramai bersegera untuk menemui Muhammad.  Aku telah bertekad akan mendatanginya esok. Sesiapa yang ingin berangkat bersamaku, maka bersiaplah”. Apa yang dituturkan oleh Nukman itu membekas di hati para sahabatnya. Pada keesokan harinya, beliau dapati 10 orang adik beradiknya dan 400 orang penunggang kuda, pejuang-pejuang daripada kabilah Muzainah telah bersiap sedia untuk berangkat bersamanya ke Kota Yathrib untuk menemui Rasulullah SAW.  
Namun, Nukman berasa malu untuk membawa rombongan yang begitu ramai bertemu Rasulullah SAW tanpa membawa apa-apa buah tangan untuk Baginda dan seluruh kaum Muslimin. Akan tetapi, kemarau panjang yang melanda daerah Muzainah menyebabkan tidak ada hasil ternak dan tanaman yang tersisa yang boleh dibawa sebagai hadiah untuk Rasulullah SAW. Maka Nukman bersama adik beradiknya mengumpul apa sahaja yang ada dan akhirnya mereka dapati yang tersisa hanya beberapa ekor anak kambing, lalu dibawanya kepada Rasulullah SAW dan menyatakan dirinya bersama rombongannya memeluk Islam dihadapan Baginda SAW.
Seluruh Kota Yathrib menjadi gempar kerana gembira mendengarkan berita keislaman Nukman dan para sahabat yang bersamanya. Mereka merupakan kumpulan pertama yang paling ramai memeluk agama Allah SWT. Rasulullah SAW begitu gembira dengan islamnya Nukman serta kaumnya. Allah SWT menerima pemberian Nukman walaupun mungkin pada mata manusia ia pemberian yang kecil sahaja, sehinggakan Allah SWT menurunkan ayat al-Quran, surah al-Taubah ayat 99.
Nukman bergabung di bawah panji Rasulullah SAW. Beliau mengikuti semua peperangan yang Baginda lalui tanpa pernah terlewat. Ketika di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, beliau dan kaumnya, Bani Muzainah memberi sokongan padu kepada Saidina Abu Bakar sepenuhnya. Mereka juga menjadi pendokong kepada perjuangan Saidina Abu Bakar yang memberi kesan besar sehingga berjaya menumpaskan golongan-golongan murtad di zaman Saidina Abu Bakar.
Saat pemerintahan berpindah kepada Saidana Umar al-Khattab, nama Nukman sentiasa diingati dalam sejarah dengan pujian dan sanjungan. Sebelum berlakunya perang al-Qadisiyyah, salah satu  perang besar yang berlaku di antara orang Muslimin dan orang Parsi, Saad bin Abi Waqqas, sebagai panglima pasukan kaum muslimin telah mengutuskan sekumpulan utusan kepada Kisra yang dipimpin oleh Nukman bin Muqarrin untuk menyerunya kepada Islam.
Saat rombongan ini tiba di Ibu Kota Kisra, al-Madain, mereka meminta izin untuk masuk dan kemudian Kisra memanggil seorang penterjemah dan berkata kepadanya “Tanyakan kepada mereka, apa yang membuatkan kalian datang ke daerah kami dan hendak memerangi kami. Mungkin kalian ingin menguasai kami dan berani menyerang kami kerana kami tidak pernah memandang kekuatan kalian. Sehingga kami tidak berkeinginan untuk mengalahkan dan menundukkan kalian”.
Nukman kemudian menoleh ke arah sahabatnya lalu berkata “Jika kalian mengizinkan, aku akan menjawabnya. Jika ada di antara kalian yang mahu menjawabnya, maka akan aku persilakan”. Para sahabatnya berkata “Engkau sahaja yang berbicara”. Nukman kemudian memulakan perbicaraannya dengan memuji Allah SWT dan membaca selawat ke atas Nabinya lalu berkata “Allah telah memberikan rahmat-Nya kepada kami dengan mengutuskan seorang Rasul untuk menunjukkan kebenaran kepada kami. Kami diperintahkan untuk melakukan kebenaran. Rasul juga mengajarkan kepada kami tentang keburukan dan Baginda juga melarang kami untuk melakukannya. Rasulullah SAW menjanjikan kepada kami, jika kami menyukai apa yang didakwahnya, Allah akan memberikan kepada kami kebaikan dunia dan akhirat. Dalam waktu yang singkat, Allah menggantikan kesempitan kepada keluasan. Kehinaan menjadi kemuliaan. Permusuhan menjadi persaudaraan. Rasul memerintahkan kami untuk mengajak manusia mendapatkan kebaikan bagi diri mereka. Kami sekarang mengajak kamu untuk masuk ke dalam agama kami.  Ia adalah agama yang memperbaiki apa yang telah baik dan menyeru untuk melakukan kebaikan. Jika kalian menerima ajakan kami untuk memeluk agama Islam, maka kami akan meninggalkan Kitab Allah kepada kalian dan kami akan tegakkan kehidupan berdasarkan kitab tersebut. sekiranya kamu tidak mahu memeluk Islam maka kami akan meminta kalian untuk membayar jizyah dan sekiranya kalian enggan, maka kami akan memerangi kalian”.
Mendengarkan kata-kata itu, maka meledaklah kemarahan raja Parsi tersebut. Raja Parsi kemudian memerintahkan agar dibawakan sebekas pasir dan dia berkata kepada para pembantunya “bawalah bekas pasir ini di atas kepala mereka semua, iringilah mereka di depan kalian serta disaksikan oleh orang ramai sehingga mereka keluar dari gerbang ibu kota ini”.satu penghinaan yang dibuat oleh raja Parsi mengikut adat mereka. Namun, persepsi para sahaba berbeza tatkala diperlakukan sedemikian. Kata Nukman “belum sempat lagi kita berperang, raja Parsi telah menyerahkan tanahnya kepada kita”.
Mendengarkan kata-kata itu, maka kemudian tercetusnya perang al-Qadisiyyah dan tentera muslim berjaya mengalahkan pasukan Parsi. Parsi yang tidak menerima kekalahan tersebut sedia untuk berperang sekali lagi dan kali ini mengumpulkan 150 ribu orang tentera. Saat itu, Saidina Umar al-Khattab berhasrat untuk menghadapi tentera besar itu. Para sahabat kemudian menolak hasrat Umar dengan berpendapat, hendaklah Umar menghantar panglimanya yang beliau percaya untuk selesaikan permasalahan besar dan menghadapi pasukan tentera yang besar. Umar kemudian meminta para sahabat menunjukkan kepadanya para sahabat yang boleh dilantik. Sahabat menjawab “engkau lebih tahu wahai Amirul Mukminin”. Maka beliau berkata “Demi Allah, aku akan menunjukkan seorang panglima daripada pasukan muslimin iaitu seorang yang jika kedua-dua pasukan sudah bertemu, beliau akan menjadi orang yang lebih cepat dari hujung anak panah. Beliaulah Nukman bin Muqarrin al-Muzani.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 April 2017
\"\"
Scroll to Top