RASULULLAH SAW bersabda, barangsiapa yang menjalani satu jalan yang mana dengan jalan tersebut dia menuntut ilmu maka Allah akan menjalankan dengan itu satu jalan daripada jalan-jalan yang menuju ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat merendahkan sayap-sayap mereka di dalam keadaan redha kepada penuntut ilmu. Dan sesungguhnya seorang alim itu diminta ampun untuknya sekalian yang ada di langit dan bumi. Malah ikan-ikan yang berada di lautan juga memohon ampun bagi orang yang alim, dan kelebihan seorang alim mengatasi seorang ahli ibadah yang tidak alim, seumpama kelebihan bulan purnama di atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya para ulama itu merupakan pewaris kepada para nabi. Dan sesungguhnya para nabi itu, mereka tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil ilmu daripada para nabi walaupun tidak hidup di zaman Rasulullah SAW tetapi melalui salasilah mata rantai ilmu daripada guru beliau yang mengambil daripada gurunya sampai kepada para rasul dan Rasulullah, dia telah mengambil satu habuan yang sangat besar.
Menerusi segmen Topik Jumaat yang keudara di IKIMfm bersama Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali, beliau menerangkan ulama mewarisi ilmu daripada nabi serta mewarisi tanggungjawab para nabi untuk menyebarkan ilmu dan membimbing ummah kearah redha Allah. Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya untuk berpegang kepada al-Quran dan Sunnah. Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah apabila kita berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, melalui ulamalah kita dapat belajar memahami maksud daripada pegangan ini. Hendaklah dikembalikan perkara yang menjadi pertikaian itu untuk diselesaikan mengikut ketetapan Allah SWT. Al-Quran dan Sunnah diibaratkan sumber hukum, aqidah dan sebagainya, maka ulama adalah mereka yang dirujuk untuk memahami sumber tersebut.
Allah SWT akan mencabut ilmu dengan mematikan ulama dan ini jelas memberi maksud bahawa ilmu itu adalah melalui bimbingan ulama, walaupun masih wujudnya al-Quran dan Sunnah pada ketika itu. Oleh yang demikian jika ada ulama yang mati sebelum sempat menyampaikan ilmu kepada generasi seterusnya maka ilmu itu hilang dengan kematiannya. Ilmu yang disampaikan oleh para ulama sering dipersoalkan sama ada bertujuan untuk mendapat lebih kefahaman mengenai sesuatu perkara atau kerana kedegilan dan keingkaran. Adalah baik bagi mereka yang ingin memantapkan lagi keyakinan dan mendorong dirinya untuk lebih kuat melakukan amalan ibadah memohon penjelasan berkaitan dalil daripada para ulama, namun ia harus dilakukan mengikut kesesuaian waktu. Jika tidak sesuai pada masanya maka ia tidak mendatang kebaikan.
Misalnya amalan sunat membaca surah al-Kahfi pada malam atau siang hari Jumaat maka Allah memberinya cahaya sehingga menjelang Jumaat yang akan datang. Terdapat banyak pengajaran yang diperolehi apabila mendalami pengertian yang terkandung di dalam surah tersebut dan mampu mengelakkan diri seseorang daripada fitnah dajjal. Dajjal yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada wujudnya makhluk tersebut di akhir zaman, malah termasuk di kalangan orang-orang yang menipu daya manusia dengan ungkapan yang manis seolah-olah kesalahan dan keburukan sesuatu perkara itu dilihat sebagai benar dan baik, maka ia juga mempunyai elemen –elemen dajjal. Di dalam surah al-Kahfi terkandung kisah Nabi Musa AS yang diutuskan di kalangan bani Israel dengan memiliki mukjizat menerusi tongkatnya dan mampu berbicara dengan Allah SWT. Walaupun telah terbukti kehebatannya, namun di dalam kerangka menuntut ilmu juga disyaratkan sekiranya ingin belajar dengan Nabi Hidir AS, Nabi Musa tidak dibenarkan mengajukan sebarang pertanyaan sehingga Baginda sendiri yang akan memberi penjelasan kepada Nabi Musa. Ini membuktikan di dalam adab berguru adanya situasi bahawa guru lebih memahami masa yang sesuai untuk menyampaikan ilmu.
Oleh itu sekiranya belajar di dalam keadaan gopoh sedangkan belum tiba kepada peringkat memahami dalil, terus diajukan soalan berkaitan perkara tersebut (dalil), maka walaupun persoalan itu bertujuan untuk memantapkan kefahaman maka ia tidak mendatangkan kebaikan kerana pertanyaan itu dilakukan sebelum tiba masanya. Contohnya apabila seseorang itu belum memahami asas-asas mengenai dalil bertanya kepada ulama mengenai dalil bidaah hasanah. Diberi penerangan berkaitan bidaah hasanah berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan dari agama, maka perkara tersebut tertolak”. Sekiranya mereka tidak memahami tentang dalil akan lebih keliru dan diterangkan lagi perkara yang tertolak adalah bukan berkaitan dengan urusan agama, namun penjelasan itu juga akan menimbulkan lebih kekeliruan. Ini kerana mereka yang tidak memiliki ilmu asas memahami dalil tidak akan memahami bahawa nas itu terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu yang diucapkan secara nyata atau tidak diucapkan tetapi difahami akan maksudnya.
Para ulama mewarisi ilmu daripada para nabi tetapi tidak mewarisi kemaksuman mereka. Sesungguhnya golongan yang terhindar daripada melakukan dosa hanyalah di kalangan para nabi. Sealim mana ulama sekalipun mereka tidak maksum dan tidak terkecuali melakukan kesilapan dan situasi ini memberi peluang kepada golongan manusia tertentu yang menganggap adalah tidak wajar untuk menghormati para ulama dan hanya berpegang kepada al-Quran dan Sunnah. Namun realitinya apabila menyentuh persoalan berkaitan maksum seolah-olah seseorang itu diikuti kerana dia bersih daripada melakukan apa-apa dosa. Sedangkan di dalam bab bertakliq kepada sesorang bukan kerana kemaksumannya tetapi kerana ketinggian ilmu dan kemahirannya di dalam hukum-hakam di bidang agama. Malah sahabat kepada Rasulullah juga tidak maksum dan ini tidak bermakna kita tidak boleh mengikuti mereka di dalam hal-hal menyempurnakan ibadah kerana mereka paling memahami agama dan anak murid kepada Baginda. Ulama sendiri berfatwa dan memahami hukum-hakam di dalam agama dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah. Ciri utama ulama yang mewarisi nabi ialah dengan mengambil ilmu daripada para nabi dan rasul melalui cara yang bersanad. Selain itu ulama perlu memiliki sikap para nabi iaitu ikhlas kerana Allah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Mac 2017