Nikmat Yang Tersirat

IBLIS berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. (Surah Al-A’raaf, ayat 16 &17).
Telah termaktub janji sumpah syaitan terhadap bani Adam di dalam Al-Quran menyeleweng manusia selagi tidak tiba hari pembalasan.Ustazah Norhafizah Musa menerusi slot Tarbiyah di IKIMfm yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi Jumaat lalu memberi solusi menewas musuh paling utama dengan menjadi golongan manusia yang bersyukur. Bersyukur pada nikmat yang jelas terlihat dimata malah pada nikmat yang tersirat tersembunyi.
Mereka ini sentiasa sedar hidupnya diliputi nikmat akan dapat melihat kehebatan Si Pemberi Nikmat. Sungguh, Iblis lumpuh pada mereka yang bersyukur. Justeru, jika matlamat utama para syaitan adalah melalaikan manusia daripada sifat syukur maka jadikanlah matlamat utama manusia untuk minta pada Allah agar dibuka pintu pandangan hikmah melihat segala sesuatu sebagai perkara yang mampu di syukuri.
Maha Penyayang Allah, telah meletakkan manusia di dalam lautan nikmat dan kebaikan yang sangat banyak. Allah berfirman mafhumnya: “Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. (Surah  Al-Baqarah, ayat 269).
Hikmah, merupakan salah satu nikmat yang sering dilupakan kerana terkadang hadirnya tidak terasa asbab tidak terlihat oleh pancaindera. Kemampuan seseorang dalam mencari nilai kepada sesuatu perkara dan ketetapan dalam kehidupannya adalah ilmu pemberianNya. Manusia yang dikurnia pandangan hati yang tajam pada menilai sesuatu, hakikatnya telah menerima kebaikan yang sangat banyak daripada Allah SWT.
Setiap takdir yang berlaku dalam kehidupan adalah daripada Allah SWT yang semestinya sarat dengan kebaikan. Manusia yang berjaya, bukan di banding dengan kejayaan demi kejayaan yang di tempa, tetapi makna kejayaan sebenar tatkala bijak mencungkil hikmah pada setiap takdir yang ditetapkan olehNya.
Siapa manusia untuk menyangkal setiap yang berlaku?, sungguh jika seseorang itu berilmu serta tahu pasti akan dapat melihat di balik setiap perkara bukan sekadar pada zahirnya semata. Tetapi semua itu juga datang daripada takdir dan keizinan Allah SWT. Setiap takdir yang wujud memudahkan jalan lain selepasnya. Walau nampak kusut dan menyesakkan pada peringkat awal,  yakin dan percayalah itu cara Allah ingin menunjukkan pintu alternatif lain yang sedang terbuka untuk diri dan hidupnya. Menjadikannya manusia yang lebih bijaksana, lebih berlapang dada dan lebih pintar membolos diri mencari solusi dalam kemelut ujian yang dihampar dalam hidupnya.
Allah memberi bukan pada perkara yang manusia mahu, tetapi Dia memberi pada perkara yang manusia perlu. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui serta tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia . Oleh itu, sebagai hamba tadbirlah takdir semoleknya. Pandang setiap perkara pada letak duduk hikmah serta kebaikan yang terselit sebelum melumpuhkan diri dengan sifat putus asa.
Untaian hikmah ibnu ‘Atho’illah as-Syakandary mengungkapkan “tiada suatu nafas terlepas dari padamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku atas dirimu.” Disebab tiap nafas hidup manusia pasti terjadi suatu samaada taat atau maksiat, nikmat atau musibah (ujian). Pada setiap hela nafas yang keluar sebagai wadah bagi sesuatu kejadian. Juateru, barangsiapa yang tidak boleh kembali dan benar-benar sujud menghambakan diri kepada Allah dengan sebanyak-banyak kebaikan yang telah dikurnikan Allah kepadanya. Maka atas nama kasih sayang, Allah berikan kepadanya ujian demi ujian sehingga manusia itu kembali kepada Allah dalam keadaan senang hati dan rela atau di paksa olehNya.
Lumrah sebahagian manusia, semakin ditabur banyak nikmat maka semakin luput sifat taat. Justeru, atas nama kasih sayang Allah padanya di anugerahkan ujian demi ujian bagi membawa dan mengheretnya kembali kepada Pemberi Nikmat walau dengan rela mahupun terpaksa.
Allah SWT berfirman mafhumnya: “Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun)”. (Surah Al-Israa’, ayat 20). Oleh itu, rebutlah peluang atas segala yang Allah SWT telah sediakan kerana dalam setiap baik dan buruk pemberian tersirat hikmah yang menenangkan bisa mendorong untuk kembali kepada fitrah kejadian serta kembali dalam dakapan kasih sayang si Pemberi segala kejadian.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Mac 2017
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top