Islam Ajaran Toleransi

TOKOH sarjana terkenal dari Amerika Syarikat, Sheikh Dr. Umar Faruq Abdullah ketika bercakap di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam satu Syarahan Perdana berjudul “Kenapa Agama itu Penting” (Why Religion Matters) telah menegaskan betapa tanpa agama, dunia ini akan menjadi rosak dan huru hara. Program yang dihadiri oleh seramai lebih 300 orang peserta dalam dan luar negeri itu telah diadakan di Dewan Besar IKIM, dan radio IKIMfm bertindak sebagai radio rasmi.
Beliau berkata, hal ini terpakai bukan sahaja untuk agama Islam, bahkan semua pemuka agama-agama lain juga menerima bahawa tanpa agama, manusia akan musnah dan tidak akan mampu hidup dalam keadaan aman dan damai dalam sebuah masyarakat. Oleh kerana itu kita dapati dalam ajaran Islam begitu amat menitikberatkan tentang kepentingan agama ini sepertimana yang digariskan oleh Maqasid Syariah (matlamat Syariat).
Matlamat Syariat dalam kategori Daruriyat melibatkan 5 perkara, iaitu menjaga agama (din), menjaga diri (nafs), menjaga keturunan (nasl), menjaga harta (mal) dan menjaga akal. Apabila disebut menjaga agama, para ulama Islam silam melihat bahawa kepentingan menjaga agama ini bukan hanya terhad kepada agama Islam sahaja, tetapi juga kepada agama-agama lain bagi penganut agama tersebut.
Namun, sudah pasti bagi penganut agama Islam, kita merasakan bahawa menjaga Islamlah yang paling utama. Ajaran Islam juga ujarnya lagi, tidak pernah memaksa penganut agama-agama lain untuk menganut agama Islam, atau berniat menghapuskan ajaran-ajaran lain. Dalam menjaga diri pula, Dr Umar menegaskan betapa ajaran Islam amat menghormati jiwa dan mementingkan  menjaga nyawa. Lantaran itu, terorisme atau keganasan merupakan suatu dosa besar dalam Islam kerana ianya salah satu bentuk hirabah (rompakan) yang bukan sahaja khusus melibatkan harta benda, tetapi juga nyawa.
Seterusnya matlamat Syariat juga ialah menjaga nasab keturunan di mana agar setiap orang yang dilahirkan itu tahu siapa ibubapa mereka. Suatu kesengsaraan dan penyeksaan jiwa kepada mereka yang tidak tahu siapa ibubapa mereka seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat apabila ramai anak luar nikah yang dilahirkan yang tidak diketahui siapa bapa mereka.  Akhir sekali matlamat Syariat juga, bagi sesetengah ulama memasukkan aspek menjaga kehormatan.
Kehormatan ini bukan tertentu untuk orang Islam sahaja, tetapi juga kepada orang bukan Islam. Adalah menjadi kesalahan dalam Islam jika orang Islam memanggil orang bukan Islam dengan panggilan mengejek “wahai si kafir” kerana ia dikira menghina dan menjatuhkan kehormatan mereka, dan ia boleh didakwa di Mahkamah Islam. Begitu tinggi sekali ajaran Islam letakkan terhadap menjaga kehormatan yang turut merangkumi kehormatan kepada orang-orang bukan Islam juga.
Ajaran Islam di mana sahaja ia masuk samada di Asia Tengah, di China, di India di Indonesia atau rantau Nusantara ini tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk menganut ajaran Islam. Islam amat menghormati agama-agama lain dan seringkali mengajak penganut apa jua agama untuk sama-sama hidup dalam keadaan aman damai dan saling menghormati antara satu sama lain. Apa yang berlaku ialah lama kelamaan hasil akhlak baik yang ditunjukkan oleh umat Islam ketika berinterak dengan orang bukan Islam telah menyebabkan sedikit demi sedikit penganut ajaran bukan Islam itu berpindah kepada ajaran Islam.
Proses ini mengambil masa yang lama dan ianya terbit hasil daripada pergaulan lama orang bukan Islam dengan masyarakat Islam. Ajaran Islam merupakan ajaran yang bertoleransi dalam erti kata bersedia menerima hakikat bahawa ajaran Islam itu memiliki perbezaan asas dan pokok dengan ajaran yang selainnya, dan oleh kerana itu hendaklah saling menghormati satu sama lain dan jangan memaksa penganut agama lain menganut Islam.
Kita harus akui bahawa setiap penganut agama akan merasakan bahawa agama merekalah agama yang paling benar, dan itulah hakikatnya jika tidak, masakan mereka menganut agama tersebut. Adapun harapan atau idealisme agar setiap penganut agama yang berbeza itu hidup berkasih sayang antara satu sama lain dalam sesebuah komuniti masyarakat mungkin merupakan suatu yang ideal tetapi hampir mustahil untuk direalisasikan, dan memadai jika kita dapat berharap agar setiap kita mampu hidup dalam keadaan harmoni, rukun damai dan saling menghormati antara satu sama lain.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Mac 2017
\"\"
Scroll to Top