Nafkah

TANGGUNGJAWAB memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga dan suamilah yang memikul tugasan ini serta wajib baginya menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya. Bahkan ketika terjadi perceraian sekalipun, suami masih berkewajipan memberikan nafkah kepada isterinya selama masih dalam masa ‘ddahnya dan nafkah untuk menguruskan anak-anaknya. Begitu juga dengan satu hadis yang bermaksud:“Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami?” Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.”( Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i) .
Walau bagaimanapun nafkah tidaklah bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya. Ada yang lebih berkemampuan dan kaya menyediakan kesemua keperluan dan ada pula yang sebaliknya. Apa yang penting suami memberikan komitmen dan tanggungjawab tersebut  sebaik mungkin dengan kadar yang memberi keselesaan kepada isteri, bukannya kemewahan atau pembaziran yang melampau. Justeru, dalam rancangan Pesona D’Zahra pada minggu lalu di radio IKIMfm jam 1000 pagi hari Isnin, ketika menyambung kembali tajuk  ‘40 Ayat Berkenaan Keluarga’ Ustaz Muhamad Abdullah  Al-Amin   berkata kepentingan nafkah  juga telah digariskan menerusi satu  ayat yang terkandung di dalam al- Quraan.  Allah SWT berfirman maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”.( Surah At-Talaq ,ayat 7).
Menurut Ustaz Muhammad, dari segi aspek pemberian nafkah, terdapat  tujuh  situasi  yang berbeza dalam sesebuah institusi rumahtangga. Situasi pertama adalah  suami yang menanggung  nafkah  yang meliputi  makanan , pakaian dan tempat tinggal dan  pembiayaan  pendidikan untuk anak-anak. Berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang-orang yang di bawah tanggungannya. Situasi yang kedua pula memperlihatkan suami dan isteri sama-sama mampu,  memiliki pekerjaan dan sumber ekonomi yang kukuh serta saling meredhai pemberian antara satu sama lain. Seterusnya, wujudnya keadaan di mana suami dan isteri yang kurang berkemampuan . Oleh itu, dalam hal ini, suami perlu meminta redha isteri  terhadap sesuatu yang tidak mampu ditunaikan olehnya. Dalam situasi sebegini juga akan wujudnya harta sepencarian yang merujuk kepada harta benda yang diperolehi daripada usaha suami isteri. Misalnya, penyertaan isteri dalam kerja-kerja suaminya walaupun secara tidak langsung seperti hanya mengiringi suami dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan hendaklah dianggap sebagai sumbangannya dalam perolehan harta kerana penyertaan isteri itu memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga berjaya dalam pekerjaannya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa setiap individu  perlu memliiki kelulusan yang memuaskan    bagi mendapat   pekerjaan . Realiti yang berlaku dalam dunia serba moden hari ini, kita melihat semakin ramai kaum wanita yang bekerja dalam pelbagai sektor. Sebilangan besar mereka bekerja untuk memberi nafkah kepada ibu bapa, membantu suami untuk perbelanjaan rumah tangga atau mungkin juga untuk diri sendiri. Dalam situasi sebegini, suami perlu meminta redha daripada si isteri  manakala isteri tersebut pula perlu  melafazkan redha terhadap pemberian nafkah dan  lafaz hutang. Suami perlu faham walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik. Walaupun dalam situasi pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami
Di samping itu, adalah menjadi kewajipan suami tersebut  untuk melunaskan kembali tanggungjawabnya apabila mampu  memberikan nafkah kepada isteri dan ahli keluarganya  walaupun sebelum ini dirundung  masalah  kewangan . Dalam aspek pemberian nafkah juga setiap isteri perlu memiliki sifat bertimbang rasa, sabar dan memahami pasangan suaminya   ketika dilanda ujian  yang  tidak  diduga apabila berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan mencari nafkah. Oleh itu, ketika berhadapan  situasi tersebut, maka isteri dinasihatkan agar tidak memaksa suami untuk membeli  barangan keperluan  yang mahal.  Allah SWT  tidak pernah menyulitkan hamba-hambaNYa  yang telah menjadikan agama Islam sebagai pegangan hidup. Allah SWT sentiasa memberi  kemudahan buat umatnya. Oleh itu, adlam aspek pemberian hadiah, sekiranya pasangan suami isteri didapati  hidup dalam serba daif atau kurang berkemamapuan, maka pihak  lain seperti ibu bapa  pasangan   digalak untuk menghulurkan bantuan. Bagaimanapun, apabila suami isteri telah mampu mereka  disaran  membayar balik  segala  bantuan  yang  telah diberikan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 April 2017
\"\"
Scroll to Top