DI dalam kehidupan manusia, setiap masa kita memohon agar Allah dapat memberi petunjuk ke jalan yang lurus, yang dilalui oleh para nabi, para sadiqin, para syuhada dan solihin yang layak untuk mendiami syurga. Allah menggambarkan dua kelompok manusia yang akan dihumban ke neraka Allah iaitu mereka yang sesat dan dibenci Allah. Bagi setiap orang mukmin, selagi mana hidup di atas muka bumi ini, selagi itulah mereka perlu berusaha untuk membebaskan diri daripada kawah neraka bagi membolehkan mereka menghuni taman-taman syurga.
Ahli neraka sentiasa merayu kepada Allah supaya dikeluarkan daripada neraka, bahkan menangis agar dibebaskan daripada azab yang mengerikan itu. Menurut para ulama, sebelum ahli neraka memohon rayuan kepada Allah SWT, mereka terlebih dahulu merayu kepada malaikat yang menjaga neraka. Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran: “Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: \”Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”. (Surah Ghafir, ayat 49). Permintaan mereka tidak diendahkan dan dibiarkan oleh para malaikat selama 80 tahun, lalu dijawab sebagaimana di dalam ayat berikutnya (ayat 50), “Malaikat penjaga neraka menjawab: \”Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?\” Mereka menjawab: \”Ya, telah datang\”. Malaikat itu berkata: \”Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.
Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm menceritakan, setelah ahli neraka kecewa kerana tidak dibantu malaikat penjaga neraka, mereka pula berpaling untuk meminta pertolongan daripada malaikat Malik yang berada di penjuru neraka yang melalui beberapa titian yang hanya dikhususkan untuk malaikat yang ditugaskan untuk menyiksa ahli neraka. Mereka memanggilnya, “Wahai malaikat Malik, katakan kepada Tuhan kamu dan mohon kepada-Nya agar matikan sahaja kami ini, jangan biarkan kami berada di dalam keadaan begini”. Lalu dijawab malaikat Malik, “ Kamu akan kekal seperti ini sampai bila-bila”. Panjangnya masa di dalam neraka, sehari di dalamnya bersamaan seribu tahun lamanya di dunia. Ahli neraka berbicara sesama mereka, “Wahai kawan-kawan, azab yang menimpa kita ini sebagaimana yang dirasakan pada ketika ini, oleh yang demikian kita bersabar sahajalah seperti orang-orang yang bersabar dan taat pada perintah Allah dahulu sehingga mereka dapat masuk ke dalam syurga Allah, mudah-mudahan kita juga akan diberi pertolongan kelak”.
Namun akhirnya kerana dahsyatnya azab yang dikenakan ke atas diri mereka, menyebabkan mereka tidak lagi mampu menahan kesabaran. Ketika mereka berkumpul di hadapan Allah untuk memohon agar dilepaskan daripada azab neraka, lalu berkatalah orang yang lemah kepada orang yang sombong, “Dahulu kamilah yang menjadi pengikut-pengikut kamu yang menyebabkan kami dihumban ke dalam neraka, oleh yang demikian bolehkah kamu menolong kami ini untuk keluar daripada azab Allah?” Lalu dijawab, “Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami nescaya kami akan menyelamatkan kamu semua. Tetapi sayangnya ketika menjadi pemimpin kami tidak mendapat hidayah itu. Sekiranya kita mengeluh ataupun kita sabar, sesungguhnya tidak ada tempat untuk kita melarikan diri ketika ini.”
Pada masa yang sama ketika syaitan sedang diazab mereka berkata kepada ahli neraka yang lain sebagaimana yang terdapat di dalam Surah Ibrahim, ayat 22: “Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: \”Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya\”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.”
Ahli neraka mula mengutuk diri mereka sendiri tentang kebodohan masing-masing, lalu mula merayu kepada Allah pada kali yang pertama. “…Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?” (Lalu dikatakan kepada mereka): \”Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya)”. (Surah Ghafir, ayat 11-12).
Permohonan rayuan kepada Allah oleh ahli neraka untuk kali kedua, ketika ditunjukkan di depan mata mereka, mereka mula melihat balasan Allah kepada mereka dengan menunjukkan keadaan di dalam neraka, lalu mereka menyebut, “Wahai tuhan kami, kami sudah melihat, telah mendengar dan merasakannya, pulangkanlah semula kami ke dunia untuk beramal soleh, hari ini kami telah betul-betul yakin.” Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)\”. (Lalu dikatakan kepada mereka: \”Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.(Surah As-Sajdah, ayat 13-14).
Setelah rayuan kedua ditolak, ahli neraka terus merayu untuk kali ketiga, keempat dan akhirnya sehingga kali kelima sebagaimana Surah Al-Mukminun, ayat 106: “…Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat. \”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.\” (Allah) berfirman: \”Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!” Jawapan Allah itu menyebabkan mereka terdiam dan berpaling sambil menyalahkan di antara satu sama lain, lalu mereka meminta malaikat Malik untuk menyampaikan kepada Allah bahawa mereka rela mati di dalam neraka, namun dijawab malaikat bahawa mereka tidak akan mati tetapi sebaliknya akan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya!
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Februari 2017