KEBAIKAN dikurniakan oleh ALLAH SWT amat mahal harga dan nilainya. Janganlah dipandang remeh dan mengambil ringan dengan kebaikan kerana ALLAH SWT tidak pernah melihat kebaikan itu sebagai satu yang terpinggir dari hidup manusia. Hidup manusia mempunyai dua situasi iaitu kebaikan dan keburukuan. Kebaikan yang sudah tentu membawa kepada kebahagiaan memberi kesan yang positif dalam setiap likunya. Manakala keburukan yang dihadapi membawa kepada suatu dugaan, cabaran serta ujian yang perlu ditempuhi kerana ia tidak akan terpisah dengan kehidupan manusia selagi tidak diselesaikan. Disebabkan ujian kehidupan itu juga membawa hikmah dan pengajaran tertentu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang bersiaran dalam rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm pada hari rabu jam 10.15 pagi yang lalu telah membicarakan topik ‘Saat Diri Diuji’.
Hidup manusia sentiasa berada dalam empat keadaan. Samaada dalam keadaan taat, maksiat, nikmat atau dalam keadaan ujian musibah. Semua keadaan itu perlu ditangani dengan baik kerana ianya untuk menyelamatkan manusia dari kekancahan bahaya yang tidak disukai Allah SWT. Oleh yang demikian, bagamaina untuk menghadapi musibah dan ujian yang datang daripada Allah SWT? Selagi kita hidup selagi itulah kita diuji kerana hidup itu merupakan sebuah ujian.
Kerap kalinya kita menamakan ujian ini sebagai masalah. Tetapi istilah didalam Islam, setiap masalah itu ditafsirkan sebagai sebuah ujian. Dalam menghadapi ujian hidup didunia, seumpama berada didalam dewan peperiksaan. Sekiranya kita gagal menghadapi ujian yang diberikan, ia bukanlah salah soalan tetapi salah jawapan yang kita berikan. Oleh itu, jika ujian diberikan dalam hidup ini dapat dilalui dengan betul dan benar, inn sya ALLAH kita akan dapat kebaikan yang disediakan oleh Allah SWT yang dikatakan Ahsanu ‘Amala iaitu mendapat amal yang terbaik.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: \”Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.\”Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”.
Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila menerima ujian adalah bersangka baik dengan Allah SWT. Apajua takdir-Nya mengikut tauhid Islam, Allah SWT itu maha baik dan maha mengetahui tiap-tiap sesuatu yang berlaku terhadap kita. Kebaikan Allah SWT tidak akan hilang walaupun Dia menguji manusia dengan seberat kepedihan dan kepahitan. Walaupun ujian dan cabaran itu dilalui dalam tangisan, namun letakkanlah akal fikiran dan tanggapan kepada kebaikan kerana disetiap ujian itu tersemat hikmah serta kasih sayang Allah SWT.
Bagaimana pula untuk kita bersangka baik ketika diuji? Pertamanya lihatlah nikmat dan rahmat yang Allah SWT berikan kepada kita selama ini. Allah SWT tidak pernah zalim pada hamba-Nya pada sesuatu tahun, pada setiap bulan mahupun pada setiap hari. Jika selama ini nikmat yang berpanjangan dari Allah SWT kita terus perolehi, pastinya ujian yang hadir pada kita itu mempunyai kebaikan. Ertinya, selama kita hidup membawa usia yang mencecah dewasa sehingga hari ini, Allah SWT telah memberi kita iman, rezeki, udara untuk bernafas, nikmat Islam dan bermacam lagi kurniaan-Nya. Dicelah-celah limpahan nikmat itu, semestinya tersemat sedikit ujian yang pedih untuk kita hayati mengambil ikhtibar sebagai pengajaran.
Allah SWT memberikan sesuatu takdir yang tidak dapat dijangka oleh manusia. Pada peringkat awal pemberian ujian, manusia sendiri tidak mampu mengetahui apa yang terjadi disebalik ujian tersebut mahupun di penghujung ujian itu. Sebagai contoh, kadang-kadang Allah SWT mentakdirkan seseorang itu jatuh sakit disaat kita menjaga kesihatan badan yang sempurna. Lantas itu semestinya kita mempersoalkan ujian kesakitan tersebut dan secara tidak langsung hati kita akan terus mengingati Allah SWT dan berdoa kepada-Nya agar diberikan kesembuhan.
Hikmah dari bermulanya kesakitan itu, ALLAH SWT menjadikan penyebab untuk manusia mengingati-Nya dan mendidik kita supaya lebih mengharap dan akrab kepada-Nya. Waktu itu jugalah kita akan muhasabah diri melihat dosa yang telah dilakukan. Secara tidak langsung diri kita akan kembali kepada fitrah asal iaitu bersama-sama berpaut pada tali Allah SWT. Kesakitan yang diberikan oleh Allah SWT adalah adil dan tidak pernah dipersiakan tanpa hikmah. Allah SWT mentakdirkan sakit pada fizikal kita tetapi masih sihat pada hati.
Secara kesimpulannya, kesakitan itu menjadikan hati kita semakin sihat untuk terus kekal mengingati Allah SWT dengan bertindak lebih akrab pada-Nya, serius dalam beribadah dan istiqamah dalam bertaubat walaupun fizikal kita sakit. Hikmah disebalik ujian yang diberikan adalah suatu pemberian nikmat yang lebih tinggi nailainya yang tidak dapat dijangka oleh fikiran dan firasat manusia. Pada masa yang sama, ketika kita menikmati kesihatan badan yang sempurna, kita tidak nampak kasih sayang dari orang-orang yang akan menolong dan membantu kita. Dengan kesakitan yang datang, kita lebih mengenal erti kasih sayang yang diberikan oleh isteri, anak-anak, kaum keluarga dan sahabat handai dalam mendekati kita disepanjang menghadapi ujian tersebut.
Sangka buruk berasal dari manusia. Ini disebabkan kita dihimpit kejahilan dimana tidak mampu melihat Allah SWT ingin memberikan kebaikan. Dengan ilmu yang manusia ada mereka tidak mahu menggunakan pengetahuan agama itu untuk kebaikan sehingga kedegilan terus menyelubungi hidup mereka. Janganlah hati kita menjadi gelap dan tidak tahu tentang kebaikan yang Allah SWT berikan disaat ujian melanda. Ustaz Pahrol mengajak pendengar untuk melihat dalam kisah ujian nabi Yunus yang dicampak ke lautan luas terbentang dan ditelan dalam perut ikan. Apa yang terdapat pada diri nabi Yunus adalah ingatan dan hati baginda sentiasa ingat pada Allah SWT dengan terus melafaskan doa ‘La Ilaha Illa Anta. Subhanaka, Inni Kuntu Minazzhalimin’.
Disebalik ujian yang dihadapi membawa manusia lebih tinggi nilai dirinya di sisi Allah SWT dalam meletakkan tauhid kepada-Nya. Bersangka baiklah dengan apa yang ditakdirkan oleh Allah SWT seperti yang pernah dinyatakan oleh-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Secara umumnya, Allah SWT memberikan kepahitan kesakitan dalam masa yang sama Dia ingin memberi kemanisan, ukhuwah dan kasih sayang.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 November 2016