Debaran Menanti Titian Sirat

SETELAH melalui saat-saat mendebarkan ketika berada di Padang Mahsyar, diadili dan dimizankan amalan, seluruh manusia akan digerakkan untuk menerima balasan masing-masing sama ada dihumban ke neraka atau dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi sebelum itu mereka akan melalui beberapa lokasi pusat semakan atau ‘checkpoint’ yang mendebarkan  dan seterusnya berjalan melalui sirat atau jambatan. Selepas melalui titian sirat yang utama, adanya titian kecil sebelum masuk ke syurga.

Menurut para ulama ada tujuh pusat semakan yang akan dilalui oleh manusia dan mereka bergerak dengan cara masing-masing bergantung kepada amalan ketika hidup di dunia dahulu. Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, pusat semakan yang awal yang dilalui, manusia akan ditanya mengenai iman iaitu kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Sekiranya syahadah yang dilafazkan itu sesuai dengan perbuatan dan amalan, maka akan terselamatlah mereka. Pusat semakan kedua pula akan disoal mengenai solat dan jika dilakukan dengan sempurna, maka mereka juga akan terselamat untuk meneruskan perjalanan. Kemudian ujian ketiga disoal pula mengenai ibadah puasa pada bulan Ramadan, jika disempurnakan dengan baik maka akan terselamat. Ujian keempat di lokasi seterusnya akan disoal mengenai zakat dan jika ditunaikan dengan baik, akan terselamatlah mereka.

Setelah berjalan menuju lokasi seterusnya, manusia akan disoal pula mengenai haji dan umrah, sama ada beroleh haji yang mabrur atau tidak diterima oleh Allah. Jika kedua-dua ibadah ini dilakukan dengan penuh kesempurnaan maka mereka akan terselamat. Kemudian apabila tiba di lokasi keenam, disoal pula mengenai mandi janabah atau mandi hadas besar serta wuduk yang dilakukan sama ada sempurna atau tidak. Setelah meneruskan perjalanan dan tiba di lokasi ketujuh iaitu yang terakhir, akan dipersoal tentang perbuatan penganiayaan terhadap manusia, sama ada ketika hidup di dunia dahulu mereka pernah melakukan kezaliman kepada manusia atau mengambil hak orang lain. Pusat semakan yang terakhir ini adalah lokasi yang paling sukar untuk ditempuhi manusia.

Ketika melalui titian sirat, Rasululullah SAW adalah manusia pertama yang akan melaluinya dan umat Baginda adalah umat pertama yang akan meniti titian ini. Perjalanan meniti titian sirat adalah berbeza keadaannya di antara setiap manusia dan menurut Baginda ada yang dapat melalui titian ini sepantas buraq. Setelah Rasulullah melalui titian sirat, Baginda akan berada di penghujung titian dan setiap kali umatnya naik meniti titian sirat ini Baginda akan menyebut “Ummati ya Rabb” (Umatku wahai Tuhanku). Lalu Rasulullah akan terus berdoa dan menyebut “Selamatkanlah ya Allah” dan berharap umatnya selamat ketika meniti titian itu.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Said al-Qudri menyebut, “Sewaktu dibentang al-jisr (jambatan) di atas neraka jahannam, pada waktu itu Rasulullah akan dibenarkan memberi syafaat dan berdoa: “Ya Allah, selamatkanlah”. Baginda akan merasa berdebar, begitu jugalah umatnya yang sedang meniti titian itu. Apabila ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan al-jisr itu, Baginda berkata ia adalah titian sirat yang licin, mempunyai lengan yang hujungnya runcing dan duri yang ada padanya dikenali sebagai as-sa’dan. Duri yang tajam dan beracun  itu akan mengait manusia yang melalui titian sirat itu. Menurut Rasulullah, ada di kalangan orang mukmin yang berlari meniti titian itu hanya sekelip mata. Ada yang sepantas buraq dan selamat menitinya, ada yang bagaikan angin, ada yang menitinya bagai burung yang berterbangan dan ada pula yang berlalu seperti kuda dan tunggangan lain. Malah ada juga orang Islam yang terkena kaitan duri ketika meniti titian itu lalu dilempar ke neraka jahannam. Titian sirat itu sehalus sehelai rambut yang dibelah tujuh dan lebih tajam daripada mata pedang, dalam keadaan gelap, berbau hanyir dan kedengaran api neraka sedang marak serta duri yang sedang kait-mengait di bawahnya.

Selain itu ada juga orang Islam yang meniti titian itu di dalam keadaan merangkak lalu terjatuh dan menaiki semula titian. Apabila titian itu digoncang dan dikait sehingga terjatuh, ada yang terselamat, manakala ada juga yang terus terjatuh ke dalam neraka. Sewaktu tercampak dan melayang ke dalam neraka, kedengaran bunyi api marak yang akan memusnahkan dirinya. Datang penjaga neraka dan bertanya kepadanya: “Tidak adakah orang yang mengajar dan memberitahumu tentang agama ketika hidup di dunia dahulu?”. Dijawabnya: “Ya aku pernah mendengarnya dahulu, sudah datang segala peringatan untuk kami. Tapi sayangnya kami dusta dan tidak mempedulikan apa yang berlaku, menjadikan kami sesat dan tidak mendengar terhadap pengajaran agama ini sendiri”.

Manusia yang menyelamatkan orang mukmin daripada menjadi munafik atau menyelamatkan orang mukmin daripada kejahatan orang munafik akan melihat kelebihan amalannya melalui malaikat yang diutuskan untuk melindunginya daripada neraka Allah. Tetapi sesiapa yang memburuk-burukkan dan menuduh orang mukmin melakukan kejahatan, dia akan ditahan di atas titian sirat sehingga dia mengakui perbuatannya itu. Rasulullah SAW juga menggambarkan tempoh masa manusia akan berada di atas titian sirat sekurang-kurangnya selama 100 tahun dan ada yang menitinya selama 1000 tahun. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Faraj bin al-Jawzi, orang yang paling ramai terhumban jatuh ke dalam neraka ketika melalui titian sirat ialah di kalangan wanita kerana tidak menjaga Allah dan Rasul serta tidak menjaga hati suami.

Rasulullah SAW bersabda, ketika manusia melalui titian, malaikat daripada bawah Arasy akan memanggil: “ Wahai hamba Allah, seberangi sirat itu. Kamu bergerak sekarang! Siapa yang melakukan kezaliman dan kemaksiatan maka hendaklah dia kekal di atas titian sirat itu.” Pada ketika itu suasana amat menakutkan dan keadaannya sangat panas. Orang yang lemah dan hina ketika berada di dunia dahulu dengan sentiasa ke masjid dan membaca Quran akan menjadi laju ketika melalui titian sirat, sedangkan mereka yang ketika di dunia di dalam keadaan mulia akan menjadi orang yang terakhir. Semua akan melalui titian mengikut baik dan buruknya amalan mereka dan apabila tiba giliran umat Baginda, akan didoakan, “Ya Allah, selamatkanlah umatku”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 November 2016
\"2016-11-10\"
Scroll to Top