Antara Sirah dan Surah

SETIAP perkara yang berlaku di atas muka bumi ini telah diatur dengan sebaiknya oleh Allah SWT. Kita sebagai hamba perlu yakin akan apa yang telah dijanjikan da direncanakan oleh Allah SWT.

Tugas kita juga untuk sentiasa mencari hikmah di sebalik apa yang telah berlaku di atas muka bumi ini.

Ustaz membuka segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada minggu lalu, ustaz membacakan ayat al-Quran daripada surah Al-Israa’, ayat 106 & 107 yang bermaksud : “Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): \”Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);”

Perlbagai peristiwa-peristiwa kebesaran Islam yang kita ketahui. Namun, pernahkah kita bertanya, mengapakah kita memperlajari sirah. Adakah kita mempelajari sirah hanya untuk mengetahui mengenai apa yang terjadi kepada seorang manusia yang bernama Muhammad SAW. Kita tidak boleh meletakkan cerita yang berlaku kepada Rasulullah SAW seperti kisah-kisah lain yang pernah kita ketahui. Menurut Sheikh al-‘Allamah Said Ramadan al-Buti menerusi kitabnya, Fiqhus Sirah menyebut kita mempelajari sirah untuk menghargai  al-Quran.

Ustaz membawakan kisah seorang budak yang ingin belajar lalu bertemu dengan Socrates lantas budak ini memberitahu, dia ingin belajar dengannya. Socrates kemudiannya bertanya kepada budak ini agar melihat ke dalam sungai dan bertanya apa yang dilihat. Lalu dia menjawab tidak melihat apa-apa. Ketika budak ini melihat sekali lagi ke dalam air, Socrates dengan segera menyelamkan kepala budak itu ke dalam sungai dan keluarkannya sehingga dia hampir lemas. Lalu Socrates bertanya, apakah yang kamu perlukan ketika kamu hampir lemas? Kata budak itu, udara. Lantas Socrates berkata, adakah kamu benar-benar perlukan aku sebagai guru engkau sebagaimana kamu perlukan udara ketika kamu hampir lemas.

Apa kaitan surah dengan sirah. Setiap wahyu yang turun kepada Rasulullah SAW datang ketika Baginda benar-benar memerlukan. Setiap surah itu kita umpakan seperti oksogen yang hadir ketika Rasulullah SAW amat memerlukan oksigen itu. Setiap surah yang turun mempunyai sirahnya dan mempunyai situasi tertentu ketika ia turun kepada Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, surah yang ustaz bacakan di awal pertemuan segmen Ibrah. Surah al-Israa’ turun kepada Rasulullah SAW mengapa peristiwa Israk dan Mikraj itu berlaku agar Baginda menghargai al-Quran. Laluan Baginda Rasulullah SAW dari bawah naik ke atas, itulah laluan turunnya al-Quran, dari atas turun ke bawah.

Kenapa penting ada sirah ketika sesuatu surah itu turun. Menurut Sheikh Ramadan al-Buti, ianya agar kita benar-benar ketahui duduknya al-Quran itu. Sirah ini adalah filem yang membuatkan kita sedar akan siapa diri kita yang sebenar. 23 tahun Rasulullah SAW bejuang dan setiap tahun pada ketika itu, Allah SWT sentiasa memberikan kepada Baginda pelbagai surah.

Harus kita muhasabah kembali, adakah kita membaca surah-surah ini di saat kita benar-benar memerlukannya atau kita membacanya sekadar mengikut apa yang orang lain baca. Kalau kita baca kerana mengikut apa yang orang lain baca, maka kita tidak akan jadi seperti orang yang disebutkan menerusi ayat 107 surah al-Israa’, yang terus tunduk sujud sayu dan hiba tatkala membacakan ayat-ayat Allah SWT. Kita perlu hargai, mengapa surah ini pada waktu ini dan mengapa ia turun di lokasi ini.

Antara hikmahnya al-Quran itu turun secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah SAW pada setiap waktu, keadaan dan ketika, ianya agar Rasulullah SAW benar-benar dapat merasakan apa yang akan disampaikan kepada kaumnya. Setiap surah yang turun, ada nilai sentimentalnya buat Rasulullah SAW.

Hikmah lain Allah SWT turunkan al-Quran ini berperingkat-peringkat secara perlahan-lahan agar Rasulullah SAW dalam keadaan tenang. Sekalipun kelompok pertama tidak mendengar dan menerima apa yang ingin disampaikan, lantas Rasulullah SAW punyai masa untuk menyampaikannya kepada lokasi yang lain. Surah yang sama, tetapi Rasulullah SAW bergerak ke serata arah seperti hujan yang turun. Nabi SAW kena gunakan cara yang pelbagai untuk menyampaikan mengenai ayat yang sama. Kerana itulah Rasulullah SAW memerlukan masa melalui penurun al-Quran secara perlahan-lahan.

Semoga kita mempelajari dan mampu mengikut seperti Rasulullah SAW dalam menghargai dan menghayati ayat-ayat Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 November 2016
\"2016-11-08\"
Scroll to Top