HATI yang mengingati ALLAH SWT akan membawa kepada ketenangan jiwa, kekuatan hati untuk menempuh cabaran hidup. Bantuan dari ALLAH SWT untuk membantu manusia mengingati-Nya akan memperoleh kejayaan dan ketenangan melalui ganjaran syurga dimana itulah yang paling tinggi nilai harganya di akhir zaman ini bagi menghadapi ujian dan dugaan yang tidak pernah surut serta tidak pernah berkurang bahkan makin bertambah. Setiap laluan dugaan dan cabaran yang dilalui itu perlu mempunyai pengukuhan diri agar setiap tindakan dan perbuatan berada dalam ruang lingkup yang diredhai ALLAH. Sejajar dengan itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang bersiaran menerusi rancangan ‘Islam Itu Indah’ pada setiap hari Rabu jam 10.15 yang lalu telah membicarakan topik ‘Umpama Bangunan Yang Kukuh’.
Beriman secara bersunguh-sungguh kepada ALLAH SWT merupakan satu pertalian yang kukuh bersama-Nya yang juga dapat dijadikan prinsip ‘amal makruf nahi mungkar’. Dalam elemen untuk mengukuhkan diri, manusia memerlukan rujukan kepada syariat atau undang-undang ALLAH SWT yang memperkuatkan hati dan jiwa kepada ajaran Islam yang merupakan juga suatu bimbingan terhadap ketetapan iman. Allah berfirman melalui surah As-saf ayat 4 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. Kehidupan yang kukuh dari segi keimanan, kebersatuan hati dan semangat bekerjasama bukan sahaja merupakan fitrah tetapi ia merupakan suatu perintah.
Perpaduan yang erat dijalinkan antara sesama manusia yang memegang prinsip ‘Hablun Minan Nas’ boleh diibaratkan seperti struktur bangunan yang kukuh. Sebuah bangunan yang juga dikaitkan seperti suatu perpaduan memerlukan sifat terbuka dan sedia menghadapi perbezaan. Jika dilihat melalui struktur binaan bangunan yang kukuh itu semestinya tidak dapat diroboh dengan mudah kerana diantara bahagian-bahagian banggunan tersebut saling berpaut erat diantara satu sama lain serta di hubungkan dengan begitu kuat. Ianya juga dibina dengan pelbagai bahan yang berlainan seperti simen, besi keluli, kayu, paku, cat dan sebagainya bagi membentuk sebuah struktur binaan yang kukuh. Oleh itu, selagi bernama manusia, selagi itulah mempunyai perbezaan. Hakikat perbezaan manusia itu bukan sahaja perlu diterima malah ianya juga perlu diraikan.
Hikmah perbezaan manusia bukanlah sebuah kekurangan atau kelemahan tetapi akan menjadi sesuatu sumber kekuatan kerana diantara sifat kekurangan dan kelemahan itu boleh ditampung diantara masing-masing. Perkara ini bukanlah juga dijadikan sebab untuk bermusuhan tetapi perlu digunakan untuk saling melengkapkan antara sesama manusia yang menjadi sebuah keindahan unik digabungkan melalui pelbagai kaum, agama dan bangsa. Manusia yang hidup dalam keadaan yang berbeza itu juga tidak boleh menghina, mengejek, merendah dan menjatuhkan sesuatu kaum, bangsa dan agama.
Penghinaan yang berpunca dari sifat ego merasakan dirinya lebih baik dari sesuatu kaum merupakan satu sifat yang keji dan dipandang hina oleh ALLAH SWT. Sebagai contoh, jika dilihat dalam bentuk tersirat, bahan-bahan yang berlainan untuk membuat bangunan tidak dapat diasingkan kerana sifat perbezaan yang ada itulah merupakan satu kepentingan dalam membentuk satu rekabentuk yang kukuh. Pemasangan simen, batu, besi yang keras tidak perlu rasa hebat kerana ianya perlu dicampur dengan air untuk dijadikan sebuah kongkrit. Oleh itu, kebenaran tidak akan tertegak jika masih terdapat penghinaan antara satu sama lain.
Allah SWT menjelaskan perkara ini dalam surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.
Sifat bersatu-padu memerlukan kelembutan yang penuh keikhlasan dalam hati seseorang untuk membentuk hati dan jiwa yang sama. Kelembutan hati juga mengajar manusia supaya menerima antara satu sama lain serta menghormati dan memaafkan diatas kekurangan dan kesalahan sesama manusia. Allah SWT menerangkan perkara tersebut dalam surah Al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud, “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan”.
Sifat kelembutan hati boleh digambarkan melalui bahan binaan bangunan yang terdiri daripada air yang menjadi bahan cecair mencantumkan bahan-bahan yang lain seperti simen, batu dan besi untuk bersatu menjadi struktur binaan yang kukuh. Perselisihan faham dan keruntuhan perpaduan manusia adalah berpunca daripada kata-kata yang keras dan memerlukan sebuah kelembutan menyelesaikan persengketaan itu. Oleh itu, sifat kelembutan tersebut mestilah datang dari pembinaan iman yang akan membentuk perpaduan berasaskan keperibadian mulia.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 September 2016