Perjuangan Nabi Ibrahim AS

ISLAM mengajar kita erti perjuangan dan pengorbanan. Pelbagai bentuk pengorbanan kita perlu lakukan demi berada dan tetap di jalan Allah SWT. Menghayati makna disebalik Islam dan pengorbanan, pasti banyak berkait rapat dengan kisah Nabi Ibrahim AS.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menyebut menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm, mengenai bagaimana begitu dekat nama Islam ini dengan Nabi Ibrahim AS. Ia digambarkan apabila terdapat beberapa ayat di dalam Al-Quran, apabila disebut mengenai kisah Nabi Ibrahim AS, maka disitu juga disebut mengenai perkataan Islam, salam dan muslim.

Kisah pengorbanan yang segar dalam lipatan sejarah dan ingatan kita serta sangat berkait rapat dengan jiwa kita ketika musim Aidiladha atau lebih kita kenal sebagai Raya Haji dan Raya Korban. Mari kita hayati ayat Surah As-Saaffaat ayat 103 yang bermaksud : Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),. Ini mendefiniskan Islam yang sebenar-benarnya. Perhambaan kepada Allah SWT dengan menuruti segala perintahnya.

Melihat kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dalam peristiwa mengorbankan anaknya seterusnya menjadi syariat kepada kita untuk melakukan ibadah korban dan penyembelihan ini, kita dapat hayati bagaimana sekalipun perkara itu adalah sesuatu yang sangat kita cintai ketika di dunia, namun demi Islam dan demi meraih kebahagiaan di akhirat, kita akan korbankan segala kecintaan kita di dunia ini.

Sebelum kita berkorban demi agama Islam yang kita cintai, kita perlu benar-benar hayati apakah Islam itu agar ia meresap ke dalam jiwa kita untuk kita lakukan sebanyaknya perjuangan dan pengorbanan. Kita hayati makna Islam melalui lima rukun Islam yang merupakan legasi kepada Nabi Ibrahim AS. Baginda meninggalkan legasi kelima-lima rukun Islam ini kepada keturunan Baginda.

Pertamanya, mengucap dua kalimah Syahadah. Nabi Ibrahim AS satu-satunya saksi Allah SWT itu Esa dalam peristiwa Baginda mendekati kaumnya di Ur. Baginda merupakan satu-satunya pemuda yang beriman yang diheret oleh Namrud untuk menjadi saksi siapakah yang memecahkan berhala-berhala itu. Peristiwa tersebut menjadi kesaksian Nabi Ibrahim AS kepada keesaan Allah SWT.

Rukun Islam yang kedua ialah solat. Bagaimana Nabi Ibrahim AS berdoa dalam al-Quran menerusi surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud : \”Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”. Rupanya solat begitu dekat dengan Nabi Ibrahim AS dan ini diwariskan kepada zuriatnya. Namun, solat ini kemudiannya dicemari oleh kaum Quraisy dengan menyembah berhala di hadapan Kaabah lalu datanglah Nabi Muhammad SAW untuk membawa erti solat yang sebenar yang merupakan legasi Nabi Ibrahim AS.

Kaitan Nabi Ibrahim AS dengan rukun Islam ketiga iaitu, zakat dapat kita lihat menerusi anak Baginda. Menerusi surah Maryam ayat 55 yang bermaksud : Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! Daripada mana datangnya Ismail mengajarkan anaknya dan isterinya zakat kalau tidak daripada Nabi Ibrahim AS yang berpesan kepadanya.

Rukun Islam yang ke-4 menyebut berpuasa. Sebelum kita mengaitkan ibadah puasa di Bulan Ramadan dengan Nabi Ibrahim AS, kita perlu dulu untuk melihat mengapa Ramadan ini penting. Ramadan ini apabila kita lihat menerusi ayat Surah Al-Baqarah menceritakan ianya bulan yang diturunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Peristiwa penurunan Al-Quran ini merupakan doa Nabi Ibrahim AS yng boleh kita lihat melalui surah Al-Baqarah ayat 129 yang bermaksud : \”Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana\”. Inilah makna kaitan Ramadan dengan Al-Quran dan kemudian kaitannya dengan doa Nabi Ibrahim AS.

Rukun Islam ke-5, haji. Tidak ada perbuatan seorang hujjaj melainkan ianya perbuatan Nabi Ibrahim AS, melontar Jamrah adalah simbolik perbuatan Nabi Ibrahim AS melontar syaitan ketika syaitan melambat-lambatkan Baginda untuk mengorbankan anaknya. Manasik haji semuanya datang daripada kisah Nabi Ibrahim AS. Sa’i menggambarkan perbuatan isteri Baginda dan tawaf kita pada binaan yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS.

Semoga apa jua legasi yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS kepada kita melalui zuriat keturunannya, dapat menjadi kita hamba yang sanggup berkorban dan berjuang di jalan Allah SWT dan meninggalkan segala kecintaan kita kepada dunia semata-mata demo meraih kegembiraan dan kebahagiaan di akhirat kelak. Jadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS kepada agama inspirasi buat kita dalam berkorban meninggalkan segala kemaksiatan kita kepada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 September 2016
Scroll to Top