Hari Melayang Suratan Amalan

BERIMAN dengan hari kiamat satu perkara yang perlu ada di dalam diri setiap individu muslim dan mendorong kita untuk bersedia menghadapinya dengan melakukan pelbagai amalan ketika hidup di dunia ini. Jangan sesekali kita leka di dalam melayari kehidupan ini dan akhirnya mati di dalam keadaan hanyut dengan permainan dunia. Lebih menyedihkan apabila ramai yang mati tanpa dapat mengucapkan dua kalimah syahadah.

Di dalam kitab karangan Sheikh Abdullah Haddad, menceritakan perlunya kita kepada syafaat Rasulullah sehingga Baginda di tanya oleh Allah SWT, sampai bilakah Baginda akan memberikan syafaat kepada umatnya. Rasulullah berkata, sehingga tiada lagi ada di kalangan umatnya mengucapkan kalimah lailaha illallah muhammadar rasullullah dengan penuh keikhlasan berada di dalam neraka. Sesungguhnya syafaat diperlukan oleh umat manusia untuk diadili di Padang Mahsyar dan membebaskan mereka yang ditetapkan sebagai ahli neraka sehingga dimasukkan di kalangan ahli syurga.

Menerusi perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, selain syafaat, di antara perkara yang akan berlaku kepada manusia di Padang Mahsyar nanti menurut para ulama ialah melayangnya suratan amalan manusia. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Inshiqaq, ayat 6-8: “Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan kehidupanmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya). Kemudian sesiapa yang menerima surat amalannya dengan tangannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan”. Ketika berada di Padang Mahsyar, Allah akan turunkan ribut yang kuat sewaktu ingin mula menghitung suratan amalan manusia. Lalu diperintahkan agar arasy Allah digerakkan, manusia terkejut dan tergamam apabila melihat melayangnya suratan amalan masing-masing.

Hadis yang diriwayatkan oleh Yazid bin Thabit menyebut, Rasulullah SAW bersabda orang yang pertama menerima suratan amalannya dengan tangan kanan adalah Saidina Omar al-Khattab. Apabila ditanya para sahabat kenapa bukan Saidina Abu Bakar al-Siddiq tidak menerima suratan amalannya terlebih dahulu, Baginda menjawab bahawa beliau telah terlebih dahulu berada di dalam syurga tanpa dihisab dan diazab oleh Allah SAW. Mereka yang menerima amalan dengan tangan kanannya adalah di kalangan ahli syurga dan mula mencari ahli keluarga masing-masing untuk menyampaikan khabar gembira itu serta hilanglah segala azab dan keletihan sepanjang penantian di Padang Mahsyar.

Ada pula di kalangan manusia yang suratan amalannya datang melayang daripada belakang dan menerimanya di sebelah tangan kiri. Dia akan meraung dengan raungan yang penuh kebinasaan pada dirinya dan sudah pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Perkara itu terjadi kerana sepanjang hidupnya dahulu, mereka bergembira dengan ahli keluarga mereka seolah-olah tidak ada akhirat di dalam hidupnya. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan setiap perkara yang dilakukan manusia di atas dunia ini.

Di dalam riwayat Saidina Umar al-Khattab, katanya, hisablah diri kamu sebelum dihisab di hari kiamat nanti dan beramallah untuk akhirat, maka banyakkanlah menghisab diri  ketika hidup di dunia. Jadikan al-quran sebagai amalan ketika hidup kerana ia akan menjadi peneman kehidupan ketika berada di alam barzakh dan memberi syafaat kepada manusia di Padang Mahsyar kelak. Aisyah RA  di dalam riwayatnya menyebut, Rasulullah  bersabda, “Sesiapa yang diperincikan hisabnya di Padang Mahsyar nanti, pasti akan dimasukkan ke dalam neraka Allah”. Lalu Aisyah bertanya kepada Baginda, “Tidakkah Allah menyebut orang ini akan dihisab dengan cara mudah di Padang Mahsyar?”. Rasulullah menjawab, “Ya, aku maksudkan dengan hisab itu di mana Allah perincikan setiap amalan-amalan kamu.”

Baginda juga menceritakan pada Hari Kiamat manusia dihadapkan kepada Allah sebanyak tiga kali. Pertemuan pertama dan kedua penuh dengan pertengkaran melawan Allah SWT dengan membantah dan membela diri masing-masing. Namun pada pertemuan yang ketiga, diserahkan kitab kepada dirinya  melalui tangan kanan dan kirinya sehingga tidak mampu lagi berbicara dan tergamam kerana ditunjukkan Allah segala bukti amalannya tanpa dapat membela dirinya lagi. Amalan manusia dicatat malaikat Raqib dan Atid ketika manusia hidup di dunia dahulu. Tulisan yang pertama yang terdapat di dalam surat amalan setiap manusia ialah “Bacalah kitab surat amalan kamu hari ini, cukuplah pada waktu ini sebagai hisab buat kamu untuk mendiamkan dirimu”. Bermula pada saat itu hanya anggota badan berbicara untuk membuktikan segala perlakuan dan amalan yang dilakukan oleh manusia.

Aishah RA bercerita, “Pada suatu hari aku teringat akan neraka dan berlinanglah air mataku, kemudian Rasulullah bertanya kenapa aku menangis. Lalu aku menjawab, aku teringatkan neraka dan menjadi takut adakah semasa Kiamat nanti, setiap orang masih mengingati ahli keluarganya. Baginda menjawab, pada hari itu setiap orang masih teringat akan ahli keluarganya kecuali pada tiga masa. Waktu pertama ialah semasa ditimbang suratan amalan, apabila dia mengetahui sama ada timbangan amalannya ringan atau berat. Waktu kedua ialah semasa diterbangkan kitab suratan amalan, kerana timbulnya perasaan takut, dan waktu ketiga ialah ketika mengetahui suratan amalan itu diterima sama ada menerusi tangan kanan atau kiri.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Ogos 2016
\"2016-08-18\"
WhatsApp
Scroll to Top