ZULKIFLI HASAN MILIKI PENGALAMAN LUAS DALAM BIDANG SYARIAH, KEWANGAN ISLAM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — Dr Zulkifli Hasan yang diumumkan sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam rombakan Kabinet hari ini, memiliki pengalaman luas dalam bidang syariah dan kewangan Islam.

Dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jun 1977, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ITU menyandang pelbagai jawatan akademik seperti editor perundangan untuk Jurnal Malaysia Syariah dan Undang-undang; panel syariah untuk Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa USIM, dan penyemak jurnal untuk Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Perniagaan dan Kewangan, dan Jurnal Antarabangsa Kewangan dan Pengurusan Islam dan Timur Tengah.

Beliau memperoleh ijazah undang-undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebelum menamatkan pengajian Sarjana Undang-undang Perbandingan (MCL) di universiti yang sama, selain ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Durham, United Kingdom.

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Editorial bagi Laporan Undang-undang Syariah dan Majalah Kewangan Islam Global, di samping penasihat akademik untuk Diploma Takaful bagi Kolej Dar al Hikmah, Selangor.

Di sebalik komitmen akademiknya yang padat, Zulkifli juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi, Biro Hal Ehwal Antarabangsa Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Scroll to Top