ZIARAH MAHABBAH MADANI IKIM SANTUNI MANGSA NAHAS KEBAKARAN GAS PUTRA HEIGHTS

KUALA LUMPUR, 7 April (IKIM) – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyantuni mangsa nahas kebakaran letupan gas di Putra Heights, Selasa lalu dalam Majlis Ziarah Mahabbah IKIM di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini hari ini. 

Kunjungan yang turut disertai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil itu bagi mendekati mangsa nahas dan berkongsi juadah sarapan tajaan QSR Brands (M) Holdings Bhd. berupa pek Pizza Hut dan KFC. 

Dr. Zulkfili ketika ditemui pemberita berkongsi antara hasil perbincangan bersama pihak Masjid Putra Heights dalam menyediakan pengisian dan aktiviti buat mangsa nahas yang berlindung di PPS ini. 

Beliau dalam pada itu memuji usaha Kerajaan Persekutuan, Kerejaan Negeri dan sukarelawan yang telah bertungkus lumus dari awal kejadian dalam membantu memudahkan urusan mangsa nahas. 

Beliau meluangkan masa sekitar sejam mendengarkan kisah dan perkongsian mangsa nahas bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan mereka serta keperluan yang masih diperlukan.

Sementara itu, Dr. Mohamed Azam berkongsi kunjungan ini bagi memberi sokongan moral disamping bantuan pek makanan kepada mangsa yang terlibat. 

“Ziarah Mahabbah Madani IKIM ini bersama YB Timbalan Menteri dan pihak QSR bagi sama-sama dapat memberi sokongan dan yang paling penting adalah bersama mereka untuk terus kuat semangat dan mendoakan mereka,” ujar beliau. 

Manakala, Ketua Pegawai Penjenamaan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Ridzwan Othman berkongsi kegembiraan dapat bersama-sama IKIM dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam bersama-sama santuni mereka yang memerlukan.

WhatsApp
Scroll to Top