KUALA LUMPUR, 21 Jun (IKIM) – Program Zakat & Wakaf Run 2026 berjaya menghimpunkan lebih 2,500 peserta dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan zakat dan wakaf di samping membudayakan gaya hidup sihat.
Program anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Koperasi PPZ Berhad (KoPPZ) itu berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena Program Kuala Lumpur Car-Free Morning (KLCFM).
Ketua Pengarah JAWHAR, Dato’ Mohd Zaidi Ramli menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara larian yang memasuki tahun kelima penganjurannya di bawah KoPPZ.

Menurut penganjur, program tersebut bukan sahaja menjadi platform mempromosikan gaya hidup sihat, malah berperanan sebagai medium mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai kebajikan menerusi instrumen zakat dan wakaf yang menjadi teras pembangunan ummah.
Para peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori larian iaitu 3 kilometer, 5 kilometer dan 7 kilometer yang disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, kakitangan sektor swasta, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat.

Turut hadir Pengerusi Ko-PPZ, Tn. Haji Azhan bin Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Wakaf MAINPP); Tn. Haji Abdul Mohsein bin Mohd Shariff dan Tn. Haji Norazman bin Amat, Pengarah Jabatan Wakaf & Mal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) serta pelbagai badan korporat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara berkenaan.

Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi agama dan sektor korporat tersebut dilihat mampu memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap peranan zakat dan wakaf dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Pada masa sama, program seumpama ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembudayaan amalan kebajikan, pengukuhan interaksi sosial yang inklusif serta pemerkasaan kesejahteraan masyarakat melalui gaya hidup sihat dan aktif.




