KUALA LUMPUR, 22 Jun (IKIM) – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) melancarkan Kempen Rayuan Gempa Bumi Filipina bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 untuk membantu mangsa gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang melanda wilayah Mindanao pada 10 Jun lalu.
Bencana itu telah meragut sekurang-kurangnya 68 nyawa setakat 8 Jun, manakala 33 lagi masih dilaporkan hilang. Lebih 1.4 juta penduduk yang melibatkan lebih 340,000 keluarga turut terjejas akibat gempa tersebut.
Menurut IR Malaysia, wilayah Sarangani antara kawasan paling teruk terkesan dengan puluhan ribu keluarga kehilangan tempat tinggal selepas lebih 74,000 rumah mengalami kerosakan, termasuk lebih 13,000 yang musnah sepenuhnya.

Selain kediaman, kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan turut rosak, menyebabkan lebih 3.2 juta pelajar terjejas akibat penutupan sekolah.
Islamic Relief Philippines kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kemanusiaan bagi menyelaras bantuan kecemasan berdasarkan keperluan semasa mangsa.
Pengurus Program dan Kemanusiaan IR Philippines, Ronald Cabalquinto berkata bantuan tunai kecemasan menjadi keperluan paling mendesak ketika ini bagi membolehkan keluarga terjejas mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian mengikut keutamaan masing-masing.

Selain bantuan kecemasan, Islamic Relief turut memberi tumpuan kepada penyediaan tempat tinggal sementara, bekalan air bersih, sanitasi, barangan keperluan asas serta sokongan psikososial kepada mangsa.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi Kempen Rayuan Gempa Bumi Filipina yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia.




